Teks dan gambar Kusyi Hirdan
TERUSKAN TRADISI...cucu Maznah antara yang meneruskan tradisi neneknya.
SETIAP tahun, Maulidur Rasul sentiasa dinanti terutama warga Kampung Kuala Sungai Baru, Melaka. Setiap tahun juga meja kecil ala Jepun yang berkaki pendek kembali popular.
Ini kerana di atas meja itu disusun pelbagai jenis makanan, lauk-pauk berwarna-warni dan enak rasanya. Mungkin mencecah lebih 30 jenis makanan bagi setiap meja. Hidangan disusun cantik bagai meraikan pengantin dan semua makanan itu akan dihantar secara kandar ke masjid Al-Hasaniah yang berdekatan laut membiru.
Bukan pengantin yang dirai kerana tiada siapa yang berkahwin waktu itu. Mereka yang dirai adalah jemaah masjid yang sama-sama menyambut Maulidur Rasul manakala jemaah pula makan hidangan yang dikandar itu bersama-sama.
Unik. Itulah tradisi Kampung Kuala Sungai Baru yang masih dikekalkan sehingga kini.
Seingat ibu lima anak, Saliam Mahat, 76, Maulud Nabi sebegitu sudah disambut sejak zaman emak dan neneknya.
"Memang sejak dulu lagi masjid kami tidak mahu cara memasak gotong-royong diadakan sempena maulud nabi, tetapi ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah mereka, kemudian dihantar ke masjid," kata Saliam.
Cara begini memang bagus kerana setiap masyarakat kampung bergabung menghantar makanan ke masjid dan menunya pelbagai membuatkan semua orang dapat merasa air tangan orang kampung yang hebat memasak. Cara ini juga dapat mengeratkan silaturahim.
"Dahulu jumlah meja lebih banyak yang dihantar ke masjid dan membabitkan seluruh kampung, membuatkan ruang dalam masjid penuh dengan meja hidangan, tetapi sekarang jumlahnya semakin berkurangan.
"Kebanyakan orang tua yang meneruskan budaya ini pun tidak ada," kata Saliam yang sibuk menyusun pinggan di atas mejanya.
Setiap tahun sepanjang umurnya, Saliam tidak pernah ketinggalan turut serta dalam budaya murni ini kerana ia hari yang paling dinantinya setiap tahun. Selalunya lauk-pauk yang dihantar keluarga Saliam melebihi 30 jenis. Ada pelbagai lauk seperti ikan, ayam, udang, sotong dan ketam dengan pelbagai cara masakan.
"Jika tidak muat meja kami menyusunnya berlapis-lapis supaya ia muat. Kemudian, setelah semuanya selesai dan setiap satu dihias cantik baharu dihantar ke masjid," katanya.
Saliam dan keluarganya sudah memasak juadah sejak jam 7 pagi. Ada juga jiran tetangga yang turut menumpang lauk-pauk mereka di atas meja Saliam. Kerjasama sesama jiran tetangga terjalin erat.
"Nanti ada sambutan maulud di surau dan ketika itu kami menghantar mangkuk tingkat pula," katanya.
Mengakui kemeriahan sekarang semakin berkurangan kerana kurangnya orang kampung yang turut serta tetapi semangat Saliam tidak pernah berkurang. Malah saban tahun, dia sentiasa setia menjadi antara penyumbang yang memeriahkan sambutan maulud nabi. Hatinya masih terkenang kemeriahan dahulu kala apabila setiap orang yang menghantar juadah turut menyediakan bunga telur.
"Setiap tahun suasana maulud nabi ini yang paling menyeronokkan kami sekeluarga dan tidak sabar menunggu tarikhnya untuk menyambut bersama-sama begini. Anak lelaki saya dan isterinya awal-awal lagi membeli bahan untuk kami memasak," katanya.
Anak lelaki Saliam, Hasni Jalaluddin, 42, dan isterinya Melly Maria Abu Bakar, 28, turut sibuk membantu ibu mereka menyusun hidangan di atas meja. Biar ia kemas dan mudah dikandar ke masjid.
Hasni juga berasakan suasana sambutan maulud di kampung itu sebahagian daripada pengalaman hidupnya kerana sejak dia kecil lagi ia sudah disambut sedemikian dan dia tidak mahu ketinggalan untuk menyertainya.
Tentu saja tidak ramai yang berkongsi rasa sentimental ini sebagaimana Hasni kerana orang muda sepertinya ramai yang sudah berhijrah ke tempat lain. Mungkin ada juga yang semakin lupa pada tradisi unik ini.
Sebagaimana Saliam, Maznah Osman, 71, juga setiap tahun bertungkus-lumus bersama keluarga dan jiran terdekat memenuhkan meja mereka untuk dihantar ke masjid pada maulud nabi.
"Tahun ini kami sediakan 24 juadah semuanya yang istimewa untuk dijamu pada jemaah yang hadir ke masjid," cerita Maznah sambil menambah, jam 6 pagi lagi mereka sudah mula memasak.
"Setiap tahun saya mesti turut serta bersama keluarga. Ini yang saya mahu buat selagi hayat dikandung badan dan saya sudah memesan kepada anak supaya meneruskan tradisi sedekah ini walaupun saya sudah tiada kelak. Dulu arwah emak saya pun berpesan begini kepada saya begitu juga nenek saya," kata ibu kepada dua anak ini.
Budaya turun temurun ini sangat berbekas pada keluarga Maznah membuatkan mereka begitu teruja menyediakannya setiap kali sambutan.
Bagi Maznah, sukar menggambarkan kepuasan yang dirasanya dapat menyumbang juadah pada maulud nabi setiap tahun.
"Saya seronok sangat kerana ini tradisi kampung ini sejak sekian lama. Anak dan cucu pun suka dan mereka balik untuk sama-sama membantu saya," katanya.
Cucu Maznah seperti Hasni dan adiknya juga menjadi jurukandar bagi pihak keluarga mereka bagi membawa juadah ke masjid yang jauhnya lebih kurang 300 meter dari rumah mereka.
Memang seronok melihat pelbagai meja dikandar ke masjid menjelang Zuhur. Ia dikandar perlahan-lahan dan berhenti seketika untuk melepas lelah dan membetulkan kedudukan lauk. Beberapa minit kemudian perjalanan disambung kembali.
Keluarga Yusuf Kidam, 62, juga tidak pernah ketinggalan turut serta setiap tahun meraikan maulud nabi dengan cara menghantar meja berlauk ke masjid.
"Meja kami kali ini dikongsi bersama tujuh jiran sekali gus dan kami menghidangkan makanan yang dihias cantik untuk tetamu istimewa iaitu jemaah di masjid," kata Yusuf.
Suasana memasak dan menghidang di rumah keluarga Yusuf memang sangat meriah kerana semua peringkat usia turut menyertainya, daripada warga emas sehinggalah ke anak kecil. Kemeriahan ini seolah-olah melebihi suasana menyambut hari raya.
Menu keluarga Yusuf 25 jenis semuanya yang sudah siap terhidang menjelang jam 12.30 tengah hari.
Majlis maulidur rasul yang biasanya dimulakan dengan tazkirah, solat Zuhur berjemaah dan berselawat bersama-sama diakhiri dengan jamuan menjamu selera.
Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil inisiatif menyambung apa yang sudah dilakukan turun temurun oleh datuk nenek mereka di Kampung Kuala Sungai Baru.
Ia demi tujuan murni dan makanan yang disedekah ke masjid tidak langsung membazir malah sentiasa habis dinikmati jemaah masjid bersama-sama.
Source: Harian Metro Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Isnin, 21 Februari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan