Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
UNITY in diversity memang sedap disebut dan asyik didengar. Bagi yang berkepentingan, kata-kata ini dijaja merata-rata. Namun, bagi yang mengkaji, pahit untuk dibicara, jika fakta akademik terus disembunyikan demi kepentingan politik.
Lihatlah keberanian Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu lalu, kenyataannya mengenai multi-culturalism yang selama ini menjadi polisi negara itu telah gagal dalam pembinaan negara bangsa. Katanya, kebebasan keterlaluan mengikut budaya dan cara hidup masing-masing secara berasingan tidak berjaya membentuk rakyat Britain yang diidamkan. Budaya yang dimaksudkan itu termasuk undang-undang dan peraturan peraturan yang sedia ada.
Kini, mereka yang ingin tinggal di Britian didesak supaya menghormati budaya British (majoriti), yang dikenali dalam sejarah sebagai "luas pemandangan" atau liberal. Kerajaan Britain bertindak mengejar mereka yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan kerana menimbulkan banyak masalah.
Walaupun ucapan tersebut dirujuk kepada orang Islam, tetapi implementasinya adalah untuk semua yang ingin mendiami di sana. Dalam kata lain, gesaan Cameron itu tidak banyak bezanya dengan kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini yang berbunyi "Tanah Melayu adalah milik orang Melayu". "Negara British adalah untuk orang British". Justeru, budaya dan bahasa majoriti mesti didaulatkan dan diterima bagi mereka yang ingin hidup bersama dalam sebuah negara.
Secara kebetulan pula, saya baru sahaja menonton cerita Shaolin yang sedang hangat ditayangkan di pawagam. Kata-kata "negara China milik orang Cina" begitu jelas sekali diungkapkan oleh hero filem Shaolin, Andy Lau. Babak tersebut langsung tidak dipotong oleh Lembaga Penapis Filem Malaysia, walaupun dari sudut pembinaan jati diri, babak tersebut sepatutnya boleh dipotong. Begitulah liberalnya kita hidup dalam negara berbilang kaum. Saling hormat-menghormati.
Justeru, apakah salah jika Tun Dr Mahathir berkata "Tanah Melayu adalah milik orang Melayu" dari segi fakta akademik? Sama ada Mahathir Melayu tulin atau tidak, serangan peribadi yang selalu dilakukan, itu bukanlah persoalan utama. Sejarah memang tidak boleh dipadamkan, walaupun diungkap oleh sesiapapun. Ia mesti diperakui seperti kata Einstein. Itulah hakikat kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah SWT.
Setiap negara ada sejarahnya sendiri. Rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah asal usulnya milik orang Melayu, termasuk Singapura. Sepatutnya, kita hendaklah berlapang dada menerima budaya dan bahasa masyarakat yang mendominasi itu.
Berbilang bangsa bukan berlaku secara semulajadi atau telah wujud berbilang bangsa sejak dunia ini diciptakan. Kajilah negara mana sekalipun yang berbilang bangsa, semuanya berlaku disebabkan oleh migrasi. Dengan makna, setiap negara atau sesebuah kepulauan, ada penunggunya. Persoalannya, kenapa setiap kenyataan atau ungkapan hendak dipolitikkan?
Mual
Saya berada begitu mual apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri agar memberi reaksi kepada kenyataan Mahathir mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini. Pendapat David Cameron pun hampir sama dengan Mahathir. Kenapa Cameron tidak dipertikaikan oleh mereka yang tinggal di sana? Saya yakin, pemimpin Britain berjaya melahirkan rakyat yang bersyukur.
Perdana Menteri tidak perlu memberi reaksi, kerana itu bukan pendapatnya? Ia datang daripada bekas Perdana Menteri, pendapat peribadi seorang negarawan. Mahathir bebas memberikan pendapat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, seperti mana pembangkang dan orang lain memberikan pendapat.
Bacalah pendapat dan komen-komen dalam laman web Malaysian Insider, Malaysiakini, Malaysia Today, cpiasia dan sebagainya. Pendapat mereka langsung tidak bertamadun. Tetapi ia terus disiarkan dengan megah oleh laman web tersebut dan diberi markah yang tinggi. Tiada tindakan diambil. Saya yakin jika mereka berada di Singapura, sudah lama dihumbankan dalam penjara. Kenapa mereka bebas menulis, orang seperti Mahathir tidak boleh?
Inilah nasib yang menimpa penulis seperti kami. Setiap kali menulis, keturunan kami dihina dan diungkit. Cacian dan makian yang kotor dihemburkan tanpa meneliti fakta terlebih dahulu. Saya tidak hairan, sebab masyarakat kita telah ditanam dengan pemikiran etnosentrik, prejudis dan stereotaip, yakni memandang rendah kepada cara hidup atau budaya orang lain. Pada segelintir golongan ini, budaya mereka sahaja yang baik, orang lain tidak.
Yang lebih memelikkan, kenapa bila DAP (termasuk PAP) mempertikaikan tentang kedudukan Islam dan menghina Islam, pemimpin Pakatan Rakyat tidak ditanya supaya memberi reaksi akan pendapat sekutunya itu? Malah dipuji pula pendapatnya.
Lebih menjijikkan, bila ada sahaja pendapat yang agak kontroversi, gagasan 1Malaysia dijadikan batu loncatan untuk mematahkan apa juga perkara yang dikira bertentangan dengan pendirian ultra kiasu ini. Tidakkah gagasan 1Malaysia mesti difahami dalam konteks sejarah negara ini dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama?
Saya boleh bayangkan jika tiadalah idea gagasan 1Malaysia, mereka akan cari seribu satu alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.
Bukankah lebih baik kata-kata Mahathir itu dikaji dan hujahkan dari sudut akademik daripada memaki dan mencaci? Sekurang-kurangnya berlaku percambahan ilmu. Ini tidak, mereka seolah-olah tiada kerja lain, hanya mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.
Saya ingin mencadangkan, selain daripada mengkaji sejarah asal-usul Tanah Melayu, pada masa sama, perbandingan sejarah hendaklah juga dibuat dengan negara lain.
Jika tidak mahu lihat negara jiran yang berdekatan, cuba tinjau negara yang berjauhan seperti New Zealand, Fiji, Australia dan sebagainya. Adakah negara ini berbilang bangsa dari segi asal-usul. Saya tidak perlu ulang lagi akan sejarah asal-usul Tanah Melayu, kerana nanti pembaca akan mengatakan seolah-olah saya sudah tidak ada idea lagi untuk menulis.
Di New Zealand, pribumi Maori tidak memerintah, tetapi diperintah oleh Pakeha, imigran kulit putih. Begitu juga di Fiji. Pribumi Fijian diperintah oleh imigran India. Namun, hak-hak pribumi tetap dijaga dan dipelihara, supaya tidak timbul konflik.
Malangnya, Maori dan Fijian telah terlambat, kerana mereka tidak memerintah tetapi telah diperintah. Apalah erti hak terjaga, jika kampung telah tergadai. Iktibar di dua negara ini perlu dijadikan teladan. Inilah yang menjadi ketakutan orang Melayu, setelah terlepasnya Singapura.
Nenek moyang
Saya yakin selepas ini, pihak ultra kiasu akan berhujah, pribumi Tanah Melayu adalah orang Asli, sama seperti Maori di New Zealand. Jika itulah hujahnya, maka saya berani mengatakan semua negara ada Orang Asli.
Mahathir berkata lagi, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.
Kenyataan tersebut adalah benar berasaskan fakta sejarah. Ia tidak boleh diubah. Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional. Jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigran ke negara ini.
Dalam konteks politik, kenyataan ini memang tidak boleh dinafikan. Kiblat kita mesti Malaysia, bukan lagi negara lain jika benar-benar gagasan 1Malaysia hendaklah direalisasikan dengan jayanya.
Source: Mingguan Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 12 Februari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan