ARKIB : 09/02/2012
Ditulis oleh - Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanutara@utusan.com.my
KUALA KANGSAR 8 Feb.
Sungguhpun pepatah Melayu mengatakan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke
nasi, jarang ada anak yang mahu mewarisi kerjaya yang diusahakan oleh ibu bapa
kerana setiap orang mempunyai cita-citanya sendiri.
Namun, seorang pengusaha kraf seni tekat benang emas di
sini, Mardziah Abu Kasim, 41, mewarisi kemahiran membuat tekat daripada dua
generasi sebelumnya iaitu ibunya, Azizah Yusuf, 74, dan neneknya, Mahyah Majid,
99.
Menurut Mardziah, ibunya yang diiktiraf oleh Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Andi Guru mewarisi kemahiran tersebut
daripada Mahyah yang mengusahakan tekat benang emas tradisional sebelum ini.
Saya tidak perlu mencari tempat
untuk belajar kerana emak dan nenek merupakan institusi pendidikan yang lengkap
dengan prasarana termasuk latihan secara teori dan praktikalnya sekali.
Sebenarnya, saya tidak pernah
mendapat bimbingan secara khusus bidang tekad benang emas ini, tetapi sejak
kecil lagi sudah menceburinya, apa yang ibu buat saya buat, katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurut Mardziah, sebaik menamatkan pengajian di peringkat
menengah, dia terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membantu ibunya
menyiapkan tempahan tekat atau untuk dijual.
Saya juga selalu mengikut emak
menyertai promosi dan pameran kraf tangan yang diadakan di seluruh negara, tambahnya.
Anak kelapan daripada sembilan adik beradik itu kini membuka
perniagaan barangan tekatnya sendiri melalui syarikat Gesamas Sdn. Bhd.
Mardziah yang merupakan pengarah urusan di syarikat tersebut
berkata, kerjaya di bidang itu membolehkannya berjumpa dengan pelbagai status
individu, termasuk dalam kalangan kerabat diraja, menteri, ahli korporat yang
menjadi pelanggannya.
Kadang-kadang tak menang tangan untuk menyiapkan
tempahan, terutama sekali ketika musim perkahwinan dan kenduri atau majlis lain
yang memerlukan tekat benang emas sebagai hiasan dalaman atau luar.
Biasanya pada musim itu, saya
menggunakan tenaga pekerja antara 15 dan 30 orang lepasan kraf tangan yang
mahir dengan tekad benang emas untuk membantu saya dan mereka melakukan kerja
dari rumah masing-masing, katanya.
Bercerita tentang kraf tekat benang emas yang diusahakannya,
Marziah berkata, pelanggan boleh memilih barangan tekat buatan mesin atau
tangan yang harganya lebih mahal.
Antara barangan tekat yang
terdapat di kedai saya termasuk tudung saji, tepak sirih, cadar, bantal atau
sarungnya, tilam sila, kusyen dan kipas, jelasnya.
Katanya, sebagai generasi ketiga yang mengusahakan tekat
benang emas dalam keluarganya, dia mengakui seni kraf itu tidak akan pupus
kerana masih ramai meminatinya, di samping usaha kerajaan mempromosikannya.
Mardziah berkata, sebagai generasi ketiga mengusahakan tekat
benang emas di dalam keluarganya, dia berazam untuk memastikan legasi tersebut
akan diteruskan oleh anak-anaknya kelak.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm#ixzz325W2ViSc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan