TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 20 September 2010

1,400 guna khidmat ETS Ipoh-KL setiap hari.

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 20 September 2010.

1,400 guna khidmat ETS Ipoh-KL setiap hari.


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Sejak memulakan operasi 12 Ogos lalu, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menerima sambutan hangat penumpang terutamanya bagi perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.


Ketua Pegawai Operasi (COO) ETS, Azizullah Kinayatullah berkata, secara purata kira-kira 1,400 penumpang memilih perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur dari Ipoh yang hanya mengambil masa dua jam perjalanan sehala.

Katanya, dengan sambutan itu, pihaknya optimis matlamat untuk membantu lebih ramai penduduk menetap di Ipoh dan bekerja di ibu negara pada masa depan akan tercapai.

"Kami yakin matlamat itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai selain optimis jumlah pengguna ETS akan terus meningkat pada masa depan.

"Dengan tempoh perjalanan yang singkat selain perkhidmatan yang selesa, kami yakin rakyat negara ini tidak berasa 'janggal' untuk berbuat demikian (menetap di Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur).

"Disebabkan itu, kami tidak teragak-agak untuk menambah kekerapan perjalanan daripada cuma enam kepada lapan trip pergi dan balik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap hari bermula 1 Oktober ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun yang berkenan mencemar duli berangkat ke Ipoh dengan menaiki ETS dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ETS, Dr. Aminuddin Adnan.

Keberangkatan baginda berdua yang turut diiringi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria nyata menarik perhatian ramai selain mencatat sejarah selaku sultan pertama yang berkenan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Azizullah menambah, pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ETS turut menunjukkan minat menambah set tren sedia ada bagi membolehkan perkhidmatan dipanjangkan sehingga ke utara dan selatan tanah air.

"Setakat ini kami cuma memiliki lima set ETS dan ia tentunya tidak mencukupi sekiranya perkhidmatan mahu dilanjutkan hingga ke Padang Besar atau Johor Bahru. Rancangan untuk menambah set tren memang ada tetapi semuanya terserah kepada kerajaan.

"Selain itu, ia juga perlu bergantung kepada pembinaan projek landasan elektrik berkembar yang kini masih belum siap sepenuhnya.

"Ketika ini, projek Ipoh-Padang Besar sudah berjalan sementara projek ke selatan pula hanya sampai ke Gemas. Projek ini dijangka mengambil masa antara setahun hingga setahun setengah untuk disiapkan," ujarnya.

Ditanya mengenai kadar tambang yang akan dikenakan sebaik sahaja tempoh promosi berakhir tahun depan, Azizullah enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu komen kerana segalanya masih dalam pertimbangan. Kadar penumpang yang ramai disebabkan tawaran harga menarik ketika ini turut memerlukan kami membuat kajian secara mendalam.

"Secara jujurnya, kami akan berbincang dengan kerajaan mengenai harga ditawarkan selepas tempoh promosi berakhir. Pengumuman hanya akan dibuat setelah perbincangan bersama kerajaan kerana ini adalah pengangkutan milik awam," katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran