Sumber: Mingguan Malaysia Online.
Tarikh siar: Ahad 12 September 2010.
Oleh Dr. Lim Swee Tin
Sastera Melayu ialah teras sastera kebangsaan Malaysia. Sastera Melayu yang lahir dan tumbuh subur sejak zaman-berzaman telah membuktikan keupayaannya mengungkapkan pelbagai persoalan, baik kemasyarakatan mahupun kenegaraan. Dua buah karya agung yang penting dan terkenal ialah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Kedua-duanya merakamkan pelbagai sisi kehidupan manusia Melayu dan masyarakatnya, serta susur galur kerajaan dan sistem pemerintahannya dengan begitu teliti dan terperinci. Dengan itu, kita kini mengetahui status sosialnya, aktiviti kehidupan masyarakat dan sistem pentadbiran negaranya, selain menikmati nilai estetiknya sebagai karya sastera yang sangat indah.
Keupayaan mengungkapkan sejarah kehidupan dan kenegaraan sebagaimana yang disebutkan di atas telah menjadi tradisi yang kukuh dalam kesusasteraan Melayu. Dalam era yang lebih terkemudian, sastera Melayu telah membuktikan keupayaannya mengungkapkan denyut nadi kehidupan dan hasil interaksi antara masyarakat, termasuk hubungan manusia dengan alam, dan kesan perubahan-perubahan budaya baharu yang melanda.
Dalam konteks inilah karya sastera menjadi wadah yang penting untuk merekodkan pelbagai hal yang menyentuh kehidupan masyarakat Malaysia di samping memancarkan sistem pemerintahan, ekonomi, budaya, pendidikan, dan lain-lain, sesuai dengan kedudukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Masyarakat ini mengamalkan pelbagai budaya warisan dan menuturkan berjenis-jenis bahasa, sama ada secara lisan mahupun penulisan.
Selain itu, masyarakat majmuk ini mengamalkan agama yang jauh berbeza antara satu sama lain, misalnya orang-orang Melayu menganut agama Islam, sebilangan orang Cina dan India menganut agama Kristian, manakala yang lain mempercayai ajaran Buddha, Hindu dan Taoisme.
Sejak awal abad ke-20, semua yang dinyatakan di atas telah menjadi bahan garapan yang begitu menarik oleh para pengarang. Sajak Gurindam Dengan Angan-Angan yang dikarang oleh Omar Mustaffa pada tahun 1913 menunjukkan kecenderungan mengungkapkan realiti kehidupan sosial masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, terutama Melayu dan Cina.
Walaupun sajak ini memberi peringatan kepada orang-orang Melayu supaya jangan terus leka kerana kemajuan bidang ekonomi menuntut mereka supaya bekerja keras, dengan membandingkannya dengan pencapaian orang-orang Cina, sajak ini tidak menunjukkan apa-apa sikap permusuhan. Realiti masyarakat berbagai-bagai bangsa rupa-rupanya sejak lama dahulu telah dikutip untuk dihidangkan dalam karya seni. Cara ini membolehkan pembaca memahami keadaan sebenar masyarakat.
Pada sekitar tahun 50-an, Usman Awang mengungkapkan banyak perkara yang berkaitan dengan hubungan antara kaum. Dalam sajak-sajak Anak Jiran Tionghoa, Suasana, Pemuda dan Gadis Tionghoa, Penjual Pisang di Kaki Lima, misalnya dikisahkan hubungan antara kaum Melayu dengan Cina dengan begitu halus.
Karya seperti di atas bukan terhenti setakat itu. Dalam penulisan cerpen, novel dan drama, pengungkapan kehidupan masyarakat berbilang kaum, keharmonian, perpaduan dan interaksi yang aktif antara mereka tersaji untuk tatapan khalayak. Melalui penghayatan terhadap karya-karya tersebut, khalayak dapat meraih pemahaman tentang erti perhubungan yang harmonis dan masyarakat yang sejahtera.
Dalam novel-novel Melayu yang pernah dihasilkan, seumpama Salina oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, terdapat watak-watak yang berketurunan Cina dan India yang hidup bersama-sama dengan orang-orang Melayu. Dalam karya-karya Jong Chiang Lai, pengarang mapan Sarawak, diperkenalkan watak-watak berketurunan Iban dan Melanau.
Amil Jaya, pengarang mapan Sabah, pula menggunakan banyak watak berketurunan KadazanDusun dalam karyanya. Semua ini membuktikan bahawa sastera Melayu berupaya memberi pemahaman yang besar dan luas tentang kehidupan dan aspirasinya serta suka duka masyarakat. Pemahaman ini dapat menjadi jambatan penghubung yang ampuh kepada para pembaca dalam mengukuhkan penghayatan semangat 1Malaysia.
Pemahaman dan penghayatan semangat 1Malaysia sebenarnya tidak terbatas kepada saling mengenali dalam kalangan antara kaum di Malaysia sahaja, akan tetapi ia menuntut pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya sesuatu kaum, agama anutan, dan falsafah kaum tersebut. Dalam hubungan inilah karya sastera, baik puisi (sajak) mahupun cerpen, drama dan novel mampu menjadi wadah pengucapan yang ampuh.
Melalui novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, sebagai contoh, pembaca dibawa mengikuti dengan penuh keharuan tentang kehidupan keluarga Lahuma dan Jeha, iaitu petani miskin di Banggul Derdap. Melalui novel ini, pembaca disedarkan bahawa bangsa Melayu amnya atau golongan petani khususnya menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam kehidupan mereka. Ertinya, bukan semua orang hidup selesa tanpa menghadapi apa-apa masalah atau kesusahan.
Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman pula secara kasarnya menceritakan budaya masyarakat Melayu yang mempercayai perubatan tradisional, yang menjalankan aktiviti kesenian, dan terdedah juga kepada pelbagai permasalahan hidup.
Sebagai kesimpulan, sastera Melayu yang menjadi sastera kebangsaan Malaysia sangat sesuai dihayati dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Pada hari ini, hampir seluruh rakyat Malaysia terutamanya yang memperoleh pendidikan formal melalui sistem pendidikan negara dapat membaca, memahami dan menguasai bahasa Melayu. Mereka juga sudah tentu dapat menghayati hasil sastera Melayu. Seandainya semua pihak mengambil langkah yang proaktif menjadikan sastera Melayu bahan bacaan utama seisi keluarga, sudah tentu ia meninggalkan kesan pemahaman yang mendalam tentang pelbagai aspek sebagaimana yang telah nyatakan, yang kelak membantu membina kesedaran yang besar dalam konteks perpaduan bangsa Malaysia di negara yang indah dan gilang-gemilang ini.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Ahad, 12 September 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Sumber: Berita Minggu Malaysia Online. Oleh Mohd Azis Ngah , azis@bharian.com.my Tarikh: 2010/08/08 Aktiviti perlombongan emas punca penghij...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan