2011/02/11
DALAM hampir semua peradaban, komuniti ilmu dan sarjana sering mendapat layanan istimewa. Institusi dan kos pengajian disediakan. Malah biaya penyelidikan ditaja. Tidak salah rasanya jika dirumuskan bahawa dalam semua peradaban, kesarjanaan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat sebagai institusi penggerak minda, pembangun insaniah dan penyuluh zaman.
Itulah justifikasi kebanyakan sarjana dibiaya sepanjang pembabitan dalam dunia ilmu bermula dari proses pembelajaran sehinggalah akhirnya sampai pada tahap tertinggi dari segi pengembangan idea, pengajaran, penyelidikan dan penulisan. Justeru, dalam konteks moden, dunia kesarjanaan masih sinonim dengan layanan istimewa, pelaburan besar dan penajaan, khususnya dari kerajaan dan dermawan. Memang dunia kesarjanaan penuh keanehan.
Dalam keghairahan sarjana menekuni pelbagai disiplin ilmu, tidak ramai prihatin terhadap kerangka kewangan institusi ilmu. Apabila berbicara mengenai pengurusan, sarjana biasanya melihat ke luar dengan mengemukakan pelbagai teori mengenai pengurusan organisasi swasta dan awam; jarang sekali mengenai institusi pengajian tinggi. Apabila membahaskan mengenai model kewangan, mereka mendefinisikan pelbagai sistem dari Wall Street sehinggalah sukuk; jarang sekali mengenai kaedah untuk menampung program kesarjanaan.
Realitinya, dengan ratusan pakar dalam pelbagai subdisiplin ekonomi di universiti tempatan, mereka masih mengharapkan geran dan pelbagai bentuk subsidi untuk melengkapkan peralatan komputer di makmal fakulti. Malah di kalangan selebriti penerima Anugerah Nobel masih bergantung kepada sumbangan geran untuk menaja penyelidikan dan menampung kos aktiviti kesarjanaan.
Barangkali sudah menjadi resam dalam dunia kesarjanaan moden bahawa ahli akademik yang tersohor dan dianggap cemerlang adalah di kalangan mereka yang paling berjaya mendapat geran penyelidikan paling lumayan. Dengan kata lain, paling banyak mendapat ihsan dan bantuan pihak lain!
Itulah keanehan dunia akademia. Hal ini tidak terhad kepada universiti awam tempatan, malah di serata dunia. Sejak saya menjadi Naib Canselor UTM pada akhir 2008, persoalan ini sering ‘menghantui’ fikiran saya. Ini semakin ketara berikutan langkah kerajaan seluruh dunia mengurangkan defisit kewangan yang turut membabitkan pengurangan peruntukan kepada universiti dan aktiviti kesarjanaan.
Pada hemat saya, komuniti ilmu perlu mencari perspektif dan kerangka baru dari segi kewangan. Secara idealnya, institusi ilmu terutama universiti seharusnya menjadi model kepada sistem kewangan moden. Hal ini perlu membabitkan inovasi dalam semua aspek, termasuk kos operasi dan pembiayaan program kesarjanaan.
Pada hemat saya, kerangka kewangan pengajian tinggi dan pembangunan kesarjanaan boleh ditransformasi terhadap empat komponen utama, iaitu pembiayaan pengajian, emolumen, penyelidikan dan prasarana. Dalam konteks Malaysia, sebahagian sudah dirangka menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menerusi dasar autonomi.
Sehubungan itu pada 2 Februari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, melancarkan Biasiswa Endowmen UTM yang menyediakan peluang kepada 100 mahasiswa terbaik mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di UTM pada sesi akademik 2011/12. Biasiswa RM10,000 setahun untuk setiap penerima itu ditaja menerusi dana Endowmen UTM yang ditubuhkan pada 2010. Dijangka menjelang 2020, semua mahasiswa ijazah sarjana muda akan mendapat pembiayaan Biasiswa Endowmen.
Biasiswa Endowmen UTM bukan sekadar kemudahan penajaan pengajian malah satu inisiatif dalam kerangka untuk mentransformasi pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia. Biasiswa Endowmen juga adalah komitmen warga akademia untuk turut menyumbang dan mewarnakan dunia kesarjanaan menerusi sumbangan pelbagai pihak untuk menyemarakkan kesarjanaan di Malaysia. Secara tidak langsung akan mengurangkan pergantungan kepada Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN).
Selain penyediaan biasiswa, dana Endowmen UTM juga akan menaja kursi profesor, menyediakan kemudahan prasarana terbaik untuk pembelajaran dan pengajaran, dan dana penyelidikan berimpak tinggi. Pada suatu tahap nanti, menjelang 2020, dana Endowmen menyumbang lebih 10 peratus daripada kos operasi universiti.
Hal ini bukan suatu khayalan. Dalam sejarah banyak universiti ternama dan tidak begitu ternama, endowmen adalah mekanisme utama pembiayaan pengajian tinggi. Universiti Al-Azhar di Mesir adalah contoh terbaik. Model ini juga dilaksanakan di Harvard, Yale, Princeton dan MIT. Selain itu, banyak sumber kewangan lain dapat dijana menerusi pelbagai aktiviti berkaitan pengajian tinggi seperti komersialisasi harta intelek, pelaburan strategi dan penyediaan kemudahan prasarana.
Ringkasnya, untuk terus memacu kesarjanaan dan institusi pengajian tinggi negara, maka pergantungan kepada geran dan sumbangan pihak kerajaan perlu dikurangkan. Pengurangan ini tidak bermakna kerajaan boleh lepas tangan untuk tidak lagi berpartisipasi dalam pembiayaan pengajian tinggi, sebaliknya menyediakan ekosistem lebih mantap bagi menyemarakkan kesarjanaan.
Pembabitan pelbagai pihak untuk menyediakan dana pelbagai program dan komuniti ilmu menandakan komitmen seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama memartabatkan kesarjanaan.
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Akademia bagi Program Agenda Kritikal Pengajian Tinggi
Source: Berita Harian Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan