Oleh Mior Kamarul Shahid, mkamarul@bharian.com.my
2011/02/06
Demonstrasi tuntut Mubarak undur elemen luar jangka, lakar sejarah
MINGGU ini, media seluruh dunia memberi liputan meluas berhubung peristiwa tunjuk perasaan anti-Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Hosni Mubarak. Penunjuk perasaan besar-besaran yang mencetuskan rusuhan rakyat menuntut supaya Mubarak, yang memerintah Mesir selama 30 tahun sejak 1981, mengundurkan diri. Cara tindakan dan sepanduk yang mereka bawa sewaktu tunjuk perasaan itu menunjukkan mereka tidak boleh lagi menerima Mubarak dan mahu presiden keempat Mesir itu berundur serta-merta.
Media cetak dan elektronik dari seluruh dunia mengerahkan wartawan dan jurugambar mereka ke Mesir untuk membuat liputan berita yang pastinya mencatat satu lagi sejarah dunia. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke Mesir, misi untuk mendapatkan berita dari Mesir menjadi keutamaan walau apa pun terjadi. Wartawan yang masuk ke Mesir juga sedar tiada jaminan keselamatan ke atas mereka. Terbukti ada antara mereka ditahan dan dilayan dengan kasar. Misi wartawan kali ini berbeza berbanding sewaktu Perang Iraq-Amerika Syarikat dari segi perlindungan. Ketika Perang Iraq-Amerika Syarikat, wartawan mendapat perlindungan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kali ini wartawan tidak mendapat layanan tetapi perlu bergerak mengikut perancangan sendiri.
Dari segi kewartawanan, semua organisasi media tidak mahu ketinggalan daripada melaporkan peristiwa tunjuk perasaan yang sudah pun meragut ratusan nyawa dan mencederakan ribuan manusia kerana ia adalah peristiwa semasa yang meninggalkan banyak kesan kepada dunia. Negara di dunia berminat mengikuti peristiwa ini kerana mereka juga mempunyai kepentingan tertentu, setidak-tidaknya hubungan diplomatik. Dunia juga memerhatikan gelagat Amerika Syarikat yang biasanya dilihat mempunyai pengaruh dalam apa juga konflik di dunia. Sejak rusuhan bermula hingga ke hari ini, apa juga perkembangan yang berlaku di Mesir menjadi berita utama dunia di kebanyakan media. Setiap hari penunjuk perasaan dan perusuh meneruskan tindakan mereka selagi tuntutan mereka tidak dicapai.
Mubarak pula berada dalam dilema sama ada mahu melepaskan jawatan sekarang atau memberi tempoh tertentu untuk berbuat demikian kerana beliau juga bimbang rusuhan besar-besaran yang boleh mencetuskan perang saudara, akan berlaku apabila penyokongnya bertindak balas, juga secara besar-besaran. Penyokong Mubarak sudah tentu tidak mahu membiarkan presiden itu melepaskan jawatannya begitu saja sedangkan mereka banyak mendapat faedah daripada pemerintahan Mubarak.
Walaupun peristiwa ini berlaku di Mesir, ia menjadi berita dunia berasaskan nilai berita atau juga disebut kriteria beritanya yang tinggi. Apa juga kriteria berita yang digariskan dalam bidang kewartawanan, wujud pada peristiwa di Mesir ini. Media perdana di Malaysia menyiarkan peristiwa di Mesir ini di muka depan setiap hari kerana ia mempunyai nilai berita berganda disebabkan ramai rakyat dan pelajar Malaysia di negara berkenaan. Selain peristiwa di Mesir ini mempunyai nilai berita lain seperti elemen semasa, konflik, minat umum, membabitkan orang kenamaan dan sebagainya, ia juga mempunyai kriteria ‘proksimiti’ (proximity) atau bahasa mudahnya ‘dekat di hati.’
Kriteria proksimiti ini sangat penting dalam kewartawanan kerana berita seperti ini mendapat perhatian ramai pembaca. Kriteria proksimiti tidak semestinya berasaskan kepada jarak dan masa semata-mata. Ia juga boleh dilihat dari segi hubungan antara negara sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial, agama, kerjasama dalam bidang tertentu, kepentingan pelajaran dan sebagainya. Jika ia mempunyai kaitan dengan negara atau rakyat negara ini, ia mempunyai kriteria yang proksimiti yang jelas.
Sekiranya peristiwa itu berlaku di sebuah negara yang jauh dan langsung tiada kaitannya dengan Malaysia seperti tidak ada rakyat Malaysia menetap di negara itu atau tidak ada hubungan politik dan ekonomi, sudah tentulah media negara ini tidak akan menghantar wartawan mereka untuk membuat liputan. Jika menggunakan berita itu sekali pun, ia hanyalah sebagai peristiwa biasa.
Bila kerajaan mengumumkan misi menyelamatkan rakyat Malaysia di beberapa tempat di Mesir, nilai berita kepada media tempatan meningkat. Ada kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Mesir, kebanyakannya pelajar yang menuntut di beberapa universiti di negara itu. Tugas menyelamat rakyat yang begitu ramai di sebuah negara yang menghadapi krisis bukanlah mudah, apatah lagi menghadapi masalah saluran komunikasi. Disebabkan rakyat Malaysia tinggal bertaburan di Mesir, usaha untuk mengumpulkan mereka bukanlah tugas mudah. Peristiwa di Mesir menarik perhatian keluarga setiap rakyat Malaysia di negara itu. Selepas mendengar berita tercetusnya rusuhan di negara itu, mereka menjadi resah.
Mereka bimbang keselamatan anak dan saudara mereka di negara itu, apatah lagi jika mereka terbabit dalam rusuhan berkenaan. Keadaan ini membimbangkan lagi keluarga rakyat yang berada di negara ini. Selepas yakin dengan keselamatan rakyat dan pelbagai urusan dilakukan menggunakan pelbagai saluran, semua rakyat Malaysia dapat dikumpulkan dan dikeluarkan dari Mesir. Kerajaan terpaksa memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat sebelum dibawa pulang ke Malaysia walaupun terpaksa menggunakan belanja yang besar. Tindakan segera itu perlu dilakukan kerana bimbang keadaan politik di negara itu terus meruncing. Dalam keadaan negara yang tidak tenteram, pelbagai perkara boleh berlaku.
Peristiwa di Mesir menjadi berita prominen di seluruh dunia, walaupun berita tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di mana juga di dunia hari ini.
Biasanya peristiwa yang berulang-ulang seperti demonstrasi atau tunjuk perasaan yang berlaku di serata dunia, tidak lagi menjadi bahan berita. Tetapi apa yang berlaku di Mesir ini dianggap luar biasa kerana ia boleh menyebabkan sebuah kerajaan tumbang. Ia juga mempunyai elemen luar jangka. Ia boleh berlaku pelbagai perkembangan baru yang perlu diketahui dunia. Selain peristiwa di Mesir ini mempunyai kriteria negatif yang biasanya berita yang dicari-cari wartawan, ia juga mempunyai unsur prominen kerana ia membabitkan nasib seorang presiden dan masa depan sebuah negara.
Source: Berita Minggu Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Ahad, 6 Februari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan