TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Tun Abdul Razak Hussein.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Abdul Razak Hussein.. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Januari 2011

Bila Kuan Yew buka mulut

Bersama Mior Kamarul Shahid
2011/01/16

Buku singkap hubungan Singapura-Malaysia


DALAM prognosis untuk masa depan, saya mengatakan, jika saya diminta memilih mana-mana tempat di Asia Tenggara sebagai tempat kekal yang berpanjangan dan dalam banyak hal yang terbaik, saya kata ia adalah Malaysia.

Begitulah salah satu daripada kumpulan petikan kata bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Kata-kata yang diucapkannya pada 14 Jun 1962 di Pusat Kajian Politik, Singapura itu terkandung dalam buku Confucius Confounded, The Analects of Lee Kuan Yew diterbitkan Berita Publishing Sdn Bhd, 2010.

Petikan kata Kuan Yew sejak 1960-an hingga 1990-an itu dikumpul oleh bekas Peguam Cara Negara, Francis T Seow. Dalam satu lagi petikan kata yang boleh dianggap kata-kata hikmat Kuan Yew mengenai Malaysia ialah bila beliau mengatakan: Kita perlu buat keputusan jersi apa yang kita pakai, Sama ada anda untuk Malaysia atau anda tidak berpihak kepada Malaysia.

Ketika berucap di Royal Society of International Affairs, London, pada Mei 1962, pula Kuan Yew mengatakan: Jika saya ahli perniagaan, saya rasa Malaysia adalah negara yang selamat, tetapi saya bukan ahli perniagaan, Saya hanya berminat kepada Malaysia untuk memastikan saya selamat. Begitu juga dalam satu sidang media, beliau mengatakan: Setiap kita memerlukan Malaysia untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Pada Hari Guru, 5 Ogos 1961, beliau mengatakan: Kita adalah satu negara dan satu rakyat. Kita mesti bersatu semula, persoalannya ialah bila dan bagaimana. Petikan kata ini dibuat ketika perdebatan isu penggabungan Malaysia dan Singapura awal 1960an.

Dalam Hansard, 30 Julai 1963, Lee menyebut: Biasanya penggabungan adalah hakikat sejarah dan mereka yang menentangnya, menurut frasalogi Marxis, akan dibenam oleh sejarah. Penggabungan Malaysia-Singapura nampaknya memberi kesan kepada beliau kerana pada Hansard 1963, ada mencatatkan kata-kata Kuan Yew: Tidak ada lagi Rejimen Infantri yang menabik saya, seolah-olah ingin memberitahu kehilangan sesuatu.

Pada perhimpunan pilihan raya 22 Mac 1964, Kuan Yew menyatakan pula bahawa penggabungan Singapura dan Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan walaupun pemimpin UMNO tidak suka. Kata-kata ini memerlukan kajian untuk mengetahui latar masa ketika itu atau ia adalah kenyataan politik.

Petikan kata Kuan Yew yang pelbagai jenis, bentuk serta boleh dijadikan teladan dan sempadan ini menceritakan banyak perihal kaitan sejarah sepanjang pembabitannya dalam politik, hubungan Singapura-Malaysia dan pelbagai perkara lain yang dicakap, diucap atau menyatakan pendapatnya mengenai sesuatu perkara. Untuk tujuan tulisan ini, petikan kata ini dipilih secara rawak sekadar memberi gambaran bahawa banyak perkara yang disebutkannya dalam buku setebal 334 halaman itu, menceritakan pelbagai peristiwa dan rentetan sejarah.

Buku ini, walaupun meletakkan kepada pembaca supaya membuat tafsiran sendiri, ia bolehlah dianggap sebagai falsafah Kuan Yew. Membaca buku ini bagi membolehkan seseorang memahami pemikiran, sikap, pendirian, tindak tanduk, kecenderungan politik dan bukan politik bekas Perdana Menteri, Kuan Yew yang kini Menteri Mentor kerajaan pimpinan anaknya, Lee Hsien Loong. Ada kata-katanya yang boleh dipertahankan hingga hari ini, ada juga yang sesuai hanya pada zamannya dan tidak kurang juga pandangan beliau yang tidak boleh diterima. Ada petikan kata yang serius, bergurau, sinis dan sebagainya.

Antara perkara yang disebut ialah mengenai Malaysia dan rakyat Malaysia, perjuangan bagi penggabungan dengan Tanah Melayu, Perlembagaan, komunisme dan komunis, demokrasi, media, hubungan kaum, budaya, sekolah, pelajar dan biasiswa, Singapura dan rakyat Singapura, ASEAN dan Asia, pemimpin dunia serta soal-soal lain yang berkaitan.

Bagi generasi baru, untuk memahami buku ini memerlukan pengalaman sejarah memandangkan penulis buku ini mengumpul kata-kata daripada pelbagai sumber sejak 1960-an. Ia berlatar belakangkan sejarah sebelum dan sewaktu Malaysia bergabung dalam Malaysia dan selepas berpisah serta pelbagai peristiwa berikutnya. Disebabkan ada kata-kata beliau dipetik daripada Hansard Parlimen, pembabitan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu dalam politik Malaysia adalah sangat jelas terutama bila beliau bercakap soal Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Alhaj.

Sama ada kata-kata beliau itu masih relevan atau sudah ditenggelami zaman, bergantung kepada bagaimana seseorang menilai beliau. Ini satu lagi kata-kata beliau yang dipetik dalam satu perbahasan di Parlimen Malaysia, 19 November, 1963 yang berbunyi: Peranan PAP di Parlimen Malaysia adalah sebagai kawan, pembangkang setia dan pengkritik. Kami adalah pembangkang setia yang bertujuan untuk memperbaiki perjalanan sistem demokrasi.

Mengenai media, beliau berkata: Saya baca Berita Harian. Saya tidak baca Utusan (Melayu) kerana ia dalam tulisan Jawi. Tapi saya baca terjemahan yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, setiap pagi. Ini adalah petikan kata Lee Kuan Yew pada majlis makan malam perayaan Hari Nasional.

Di Geylang Serai, 25 Ogos 1966, walaupun pelbagai petikan kata yang pelbagai nada, ada juga yang menjurus kepada dirinya. Semua kawan-kawan saya sudah tiada. Hanya saya seorang dari pasukan lama. Saya kekal untuk seketika untuk membantu peralihan, petikan kata beliau di World Link, Davos, Switzerland, Februari 1990.

Beliau juga berkata: Saya akan kekal sebagai menteri kanan selepas Timbalan Perdana Menteri pertama, Goh Chok Tong mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dan akan kekal selagi Goh mahukan saya. Nilai prinsip saya kepada pemimpin baru ialah saya tidak menentukan dasar, tetapi membantu untuk memberi penjelasan kepada mereka, katanya kepada Thomas Hon, Yazhou Zhoukan, Hong Kong, pada Mac 18, 1990.

Mengenai sikapnya terhadap generasi muda, beliau menyatakan: Saya memberitahu pengganti saya bahawa jika mereka menolak generasi muda yang bijak yang tidak bersetuju dengan mereka mengenai dasar, akan tiba masanya mereka akan menjadi penentang sebenar, University of Mauritius, November 7, 1992.

Kalau kita menolak mereka yang semula jadi aktivis dengan idea, kemampuan, dedikasi, maka PAP merosakkan sistem. Ia tidak boleh menolak mereka yang komited dengan idea dan kebolehan. Ia mesti diterima dan membenarkan perubahan berlaku dari dalam kerana parti tidak boleh mempunyai pandangan jauh untuk memasukkan dalam program dan dasarnya terhadap semua perubahan yang akan berlaku di dunia.

Mengenai Melayu, beliau ada mengatakan: Di Singapura, di mana undi Melayu hanya 15 peratus, kami telah tunaikan hak Melayu dan memberi semua orang Melayu pendidikan percuma dari sekolah rendah hingga peringkat universiti, sesuatu yang Kerajaan Pusat tidak boleh lakukan, katanya pada Perhimpunan Pilihan Raya, Petaling Jaya, 11 April 1964.

Kuan Yew banyak bercakap mengenai Tunku Abdul Rahman, antaranya: Tunku selalu berbicara dengan lembut. Tetapi orang mengambil serius kata-katanya kerana mereka tahu di belakangnya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail. Masing-masing membawa tongkat besar atas nama Tunku. NUS Political Association Forum, Straits Times Julai 24, 1990.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Jumaat, 14 Januari 2011

Falsafah pemikiran Tun Abdul Razak Hussein


Oleh AZMAN ANUAR, rencana@utusan.com.my

PADA 14 Januari 1976, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia di London kerana penyakit leukemia.

Pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak adalah satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia. Sebab itu rakyat berbilang kaum tidak putus-putus memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara sebelum disemadikan di Makam Pahlawan.

Tun Abdul Razak adalah seorang negarawan yang ulung dan banyak berjasa. Sehingga hari ini nama Allahyarham masih disebut-sebut, apatah lagi anak sulungnya, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menjadi Perdana Menteri dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang disenangi rakyat.

Banyak kupasan dibuat mengenai sumbangan Allahyarham kepada bidang politik, ekonomi dan sosial negara. Tetapi jarang pihak mengupas falsafah pemikiran Tun Abdul Razak.

Menurut Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi Management & Science University (MSU) Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Datuk Othman, falsafah pemikiran Perdana Menteri kedua itu berasaskan kepada sifat-sifat keperibadian yang sangat terserlah iaitu mempunyai sifat integriti dan amanah yang tinggi, mempunyai sifat kebijaksanaan dalam membuat penilaian dan perhitungan; sifat dahagakan kebenaran yang sebenar dan bukan kebenaran yang direka-reka; sifat kasih dan sayang kepada rakyat melebihi diri sendiri dalam menunaikan kehendak rakyat.

"Tun Abdul Razak dilihat seorang yang rendah hati, tawaduk, penuh dengan sifat kedamaian dan bencikan konfrontasi. Sifat lembut dalam perwatakan, pertuturan tetapi tegas dalam tindakan membentuk minda dan dirinya. "Allahyarham dilihat seorang pejuang rakyat yang tulen, tidak membatasi dirinya dengan kepentingan politik kepartian tetapi berjuang atas asas rationality, praktikaliti, "outcome base leadership". Tiada gimik, tiada slogan yang gempaq; tiada protokol yang dibawa bersama.

"Tun Abdul Razak berjuang untuk rakyat dengan turun ke padang dalam waktu banjir, ribut, hujan lebat yang membasahi dirinya, lecak, menyinsing seluar untuk bersama rakyat tidak mengira bangsa pun," tegas Dr. Mohd. Zainul Fithri merangkap Pengarah Institute of Leadership and Human Analysis Malaysia (ILHAM).

Allahyarham bukan pemimpin yang sibuk mengkayakan diri, anak-anak, sahabat handai, puak-puak, kaum-kaum, kerana Tun Abdul Razak takut tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya dipersoalkan Yang Maha Esa Allah SWT.

Sifat luhur ini menyentuh setiap sanubari dan hati rakyat sehingga kini. Legasinya bukan untuk ditinggalkan untuk rakyat tahun 1970-an tetapi juga untuk rakyat di abad ke-21 dan abad-abad yang mendatang.

Malaysia bangun dan bangkit dari kemunduran, perpecahan kaum, dengan ketidak keseimbangan sistem sosial adalah kerana dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak. Mana mungkin rakyat Malaysia tidak mengenang jasa yang tidak terbalas itu.

Allahyarham Tun Abdul Razak ada berpesan: "Kebebasan bererti tanggungjawab. Tanggungjawab bererti berusaha, bertindak serta berdikari, dan kejayaan yang tercipta daripada usaha seseorang itu adalah tidak ternilai harganya," kata Dr. Mohd. Zainul Fithri.

Tun Abdul Razak meletakkan tanggungjawab sebagai asas kepimpinan dengan digarapkan dengan usaha dan tindakan yang tepat. Membina rakyat yang kuat dan berketrampilan serta boleh berdiri di atas kaki sendiri. Bagi Allahyarham kejayaan seseorang itu adalah kerana dia mahu berusaha dan setiap usaha sama ada gagal atau berjaya adalah satu kejayaan yang tidak ternilai harganya.

Ungkapan seumpama ini adalah kata-kata hikmat yang hendak difahami oleh setiap rakyat yang cintakan kedamaian, kemakmuran dan kesejahteraan hidup di negara ini. Kefahaman ini harus juga menular kepada setiap genap pemimpin di negara ini tidak kisah sama dia pemimpin parti pemerintah mahu pun pemimpin parti pembangkang.

Razak telah meletakkan dirinya sebagai legasi di kalangan kawan dan lawan, parti pemerintah dan parti lawan. Kejayaan Tun Abdul Razak memujuk Pas menyertai Barisan Nasional membuktikan kejujuran hati dan keluhuran jiwanya yang menjadi elemen penting sehingga berjaya memikat hati pemimpin Pas.

Allahyarham Tun Abdul Razak tidak merasa segan silu bertemu pemimpin Pas demi rakyat. Tidak menunggu parti lawan menemuinya tetapi dirinya dibawa menemui mereka. Tiada syarat dan prasyarat demi rakyat. "He his a Political Mastery".

Tidak takut kepada cemuhan dari pihak dalaman, atau takut popularitinya menjunam jatuh, tidak gentar dengan desakan dan tekanan kawan atau sahabat politik, kerana semuanya dilakukan untuk perpaduan ummah, untuk kesejagatan dan kemakmuran rakyat secara total.

"Tun Abdul Razak percaya dengan mempunyai sistem politik yang stabil, ekonomi yang adil dan saksama, perpaduan rakyat akan tercapai. Kejayaan Dasar Ekonomi (DEB) adalah kejayaan rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar yang menumpukan hanya kepada orang Melayu tetapi ia adalah untuk segenap lapisan.

Cuma secara kebetulan, ketika DEB dilancarkan, keadaan ekonomi dan kadar kemiskinan yang meruncing adalah di kalangan orang Melayu. Adalah salah mengatakan DEB adalah dasar yang dikhususkan untuk orang Melayu sahaja.

Keadaan DEB pada ketika itu berbeza dengan keadaan sekarang. Sekarang dasar DEB itu diberikan roh dan nafas baru melalui ETP, GTP dan RMK-10 yang membuka ruang dan peluang yang lebih besar dan luas mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Pelbagai dasar yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak demi rakyat dari Red Book kepada Buku Hijau, Laporan Razak, DEB dan pelbagai lagi dilakukan demi kesejahteraan rakyat. He is a creator, innovator and inventor.

Namun demikian, bertolak dari sifat keperibadian inilah beliau mengasaskan empat perkara menjadi fokus dalam kepimpinan beliau semasa menjadi Perdana Menteri, pertama memastikan agar kadar kemiskinan negara ini dapat diturunkan; memastikan pengagihaan ekonomi adalah saksama dan adil; melakukan Manhaj atau pendekatan yang praktikal untuk membina negara dan rakyat; memenuhi setiap aspirasi rakyat dan memastikan wujudnya keadilan sosial di kalangan rakyat. Tun Abdul Razak adalah Perdana Rakyat. Memastikan keselamatan negara terpelihara dan apabila semua ini dapat disatukan maka negara boleh diurus tadbir dengan stabil dan aman.

Kebijaksanaan Allahyarham dalam mengatasi masalah konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia amat terserlah. Kebijaksanaan diplomasi amat dikagumi di seluruh dunia kerana berjaya menyatukan semula saudara serumpun ini kembali bertaut.

Lawatan beliau ke negara China membuka mata ramai negara jiran bahawa persahabatan boleh dimulakan jika mempunyai hati yang ikhlas dan jiwa yang luhur. Tidak ada ruginya jika kita mencari jalan persahabatan demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat semua.

Kekuatan minda yang berteraskan ilmu pengetahuan amat terserlah dalam kehidupan. Sebab itu, Allahyarham mahu memastikan semua rakyat di negara ini mendapat asas pendidikan yang sempurna. Beliau percaya dengan mengilmukan rakyat, negara akan boleh dipacu dengan pantas dan mantap.

Secara peribadi, ketika masih kecil Dr. Mohd. Zainul Fithri mempunyai kenangan dan interaksi secara peribadi dengan Tun Abdul Razak. Bapanya, Othman Abdullah ketika itu Ketua Penerangan UMNO sering ke Sri Taman melakukan perbincangan secara tertutup dan peribadi dengan Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO.

"Hampir setiap minggu saya dibawa ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Taman. Di Sri Taman selalunya selepas selesai mesyuarat, Tun akan memanggil saya dan sering memberikan pesanan, "jadi macam bapak tau.. bila besar nanti" "ingat pesan uncle, bila jadi pemimpin nanti di muka hari, jagalah hati rakyat dan jangan sesekali mementingkan diri sendiri, berjuanglah untuk keadilan demi rakyat…berani dan tegas macam bapak..dan jadilah orang yang berilmu..study hard ok Fithri!" cerita Dr. Mohd. Zainul Fithri mengimbau kenangannya bersama Allahyarham Tun Abdul Razak.

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran