TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 24 April 2010

Malaysia perlu bangunan tahan gempa

Sumber: Berita harian On-line
Penulis : Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
Tarikh: 25 April 2010.

UPM mulakan kajian reka bentuk hadapi kesan bencana negara jiran

SEJAK dikejutkan dengan malapetaka pada pagi 26 Disember 2004 di Aceh yang tempiasnya mengorbankan lebih 60 nyawa di Malaysia, secara tiba-tiba perkataan gempa bumi dan ukuran gegarannya, Richter mula meniti di mulut kebanyakan orang. Walaupun ia akhirnya dilupakan begitu saja seperti tragedi itu semakin terhakis daripada ingatan, perkataan bencana alam atau lebih khususnya gempa bumi sudah cukup menakutkan.

Malaysia yang sebelum ini tidak pernah terbayang kena tempias gegaran gempa bumi, seolah-olah baru tersedar bencana alam tidak lagi tertakluk kepada peraturan alam, sebaliknya disebabkan kerakusan manusia, ia sudah mula pergi lebih jauh daripada sepatutnya.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MSET), Prof Datuk Abang Abdullah Abang Ali, berkata sudah tiba masa semua jenis bangunan di Malaysia termasuk rumah dibina berasaskan andaian ia juga bakal dilanda bencana alam, bukan sekadar gempa bumi tetapi juga banjir dan angin kencang.

Katanya, kebanyakan bangunan di negara ketika ini dibina berdasarkan perkiraan Malaysia tidak dilanda gempa bumi dan angin kencang.

Justeru, ia tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang melindungi bangunan daripada roboh apabila ditimpa bencana alam itu.

Beliau berkata, walaupun tidak berada di luar Lingkaran Api Pasifik seperti Indonesia yang memungkinkan Malaysia kerap menerima ancaman gempa bumi, ia tidak bermakna negara boleh mengambil sikap tidak acuh dengan keselamatan bangunan kerana dunia sudah menyaksikan kecenderungan bencana alam untuk melangkau lebih jauh dan meninggalkan kesan lebih buruk.

Katanya, ia terbukti apabila sejak akhir ini bangunan di Malaysia turut bergoyang jika Sumatera dilanda gempa bumi berskala tinggi. Ia berlaku kerana bangunan di negara tidak dibina bercirikan keselamatan apabila gempa bumi berlaku. Malah bukti lebih jelas ialah dalam tragedi 26 Disember 2004 apabila gempa bumi kuat di Aceh yang mencetuskan tsunami turut meninggalkan kesan mendalam kepada Malaysia.

“Bencana alam yang berlaku sekarang bukan lagi seperti dulu. Ia bukan sekadar meninggalkan kesan kepada negara yang dilanda tetapi kawasan sekitar dan negara berhampiran. Kita tidak boleh lagi beranggapan berada di luar Lingkaran Api Pasifik kita sudah selamat.

“Skala gegaran gempa bumi semakin tinggi dan ia semakin kerap, sedangkan tahap keselamatan bangunan kita tidak dapat menahan kekerapan dan kekuatan gegaran yang semakin meningkat. Begitu juga dengan angin kencang sehingga mampu menumbangkan pokok.

“Fenomena itu tidak berlaku suatu masa dulu tetapi sekarang sudah kerap berita mengenai angin kencang menerbangkan bumbung rumah. Banjir juga tidak ketinggalan semakin buruk.

“Pembinaan bangunan sekarang ini termasuk rumah perlu mengambil kira perkiraan Malaysia juga akan dilanda gempa bumi pada skala antara rendah dan pertengahan, kalau tidak pun gegaran paling tinggi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menambah, kebanyakan bangunan di seluruh dunia sebenarnya dibina berdasarkan perkiraan dilanda bencana pada tahap rendah dan pertengahan tetapi senario kini sudah berubah dengan skala gempa bumi semakin tinggi.

“Siapa sangka letusan gunung berapi di Iceland mampu melumpuhkan industri penerbangan di seluruh Eropah tetapi itulah yang berlaku. Disebabkan itu, tidak boleh tidak, Malaysia terpaksa memandang serius perkara itu berbanding sebelum ini.

“Bangunan yang dianggap sensitif seperti hospital, kem tentera dan empangan serta bangunan tinggi perlu mengambil kira semua keadaan itu,” katanya sambil menambah kebanyakan bangunan di Malaysia tidak selamat diduduki kerana pembinaan berdasarkan perkiraan negara tidak diancam gempa bumi.

Prof Abang Abdullah, yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata risiko bangunan tinggi untuk runtuh jika negara dilanda gempa bumi menyebabkan pembinaan rumah kurang diberi perhatian walaupun kajian menunjukkan ramai orang meninggal dunia apabila bencana itu melanda.

Katanya, rumah yang tidak direka bentuk dengan baik berisiko besar untuk roboh apabila dilanda gempa bumi dan menyebabkan penghuni terperangkap.

“Menyedari hakikat itu, UPM sudah memulakan kajian Reka Bentuk Rumah Tahan Gempa Bumi yang menekankan penggunaan bahan dan rekaan untuk meminimumkan ia runtuh.

“Dalam bidang kejuruteraan, istilah rosak atau gagal membawa maksud bangunan runtuh atau sekadar mengalami keretakan ketika bencana. Tumpuan penyelidikan lebih kepada meneliti apa yang membawa kegagalan kepada pembinaan rumah,” katanya.

Dalam konteks bangunan tinggi pula, katanya, ia lebih kepada mencari jalan untuk mengawal ia bergoyang ketika gegaran berlaku. Kajian mengenai kegunaan damper yang bertindak seperti penyerap kejutan pada kenderaan berfungsi mengurangkan bangunan bergoyang.

“Secara teknikal, ia boleh digunakan untuk pembinaan rumah tetapi tidak praktikal kerana terlalu mahal. Bagi rumah, cara terbaik ialah reka bentuk cara ia menyerap gegaran untuk memastikan bumbung tidak runtuh. Ia kerana seluruh rumah berisiko tinggi untuk roboh jika bumbung runtuh.

“Bangunan yang sudah siap dibina tanpa ciri-ciri keselamatan tahan gempa juga masih boleh diselamatkan dengan cara retro fitting iaitu meletakkan perembat dalam bangunan untuk memperkukuhkan tiang rasuk. Sudah tiba masanya reka bentuk bangunan di Malaysia berpandukan kepada tahap gempa bumi paling rendah hingga ke peringkat sederhana.” katanya.

Pihaknya juga sudah berjaya mempunyai cara mengenal pasti bangunan paling tidak selamat di ibu kota dan mencadangkan retro fitting untuk tujuan keselamatan.

Beliau akan menghadiri satu persidangan di Medan minggu depan anjuran Institut Penyelidikan Getah Malaysia untuk mempromosikan penggunaan rubber barring pada struktur seperti bangunan dan jambatan kerana ia mampu menyerap gegaran serta mengurangkan risiko runtuh.

Katanya, ada dua senario ketika gempa bumi iaitu bangunan bergoyang ke kiri kanan atau ke atas ke bawah. Jika bergoyang ke kiri kanan, kawasan meletak kenderaan paling mudah runtuh kerana ia cuma diperkuatkan dengan tiang, bukan dinding seperti bahagian pejabat.

“Gegaran menyebabkan tiang mudah patah dan itu menyebabkan bangunan boleh tumbang. Jika ia bergerak ke atas dan ke bawah, bumbung paling berisiko untuk tercabut dan seterusnya membuatkan bangunan ranap,” katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiaperlubangunantahangempa/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran