TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 21 April 2010

Jangan mabuk dengan politik kelompok - Sultan Perak

Berita Dipetik Dari Utusan Malaysia Online

TAIPING 26 Feb 2010. - Sultan Perak mengingatkan umat Islam tidak terlalu mabuk dengan politik kelompok, sebaliknya membina hubungan persaudaraan yang kukuh supaya lebih kuat dan dihormati.

Baginda bimbang, sekiranya umat Islam terlalu taksub dengan pendekatan politik kelompok, masa depan mereka akan tergugat sehingga kehilangan hak bangsa serta agama di tanah air sendiri.

''Umat Islam di negara ini wajib merenung dan bertanya, memeriksa dan menyelidik kekuatan diri sendiri. Sudahkah kita ini berada dalam kedudukan yang boleh menjadi teladan kepada sekalian umat?.



''Adakah umat Islam pada hari ini telah kukuh bersatu dalam mempertahankan maruah dan kemuliaan agamanya jika cuba dipersendakan oleh orang lain?

''Dibimbangi jika umat Islam terlalu mabuk dilambung gelombang politik kelompok, nasib masa depan umat Islam akan tergugat. Akibatnya akan kehilangan apa yang telah menjadi hak kepada agama dan bangsanya di bumi ini," titah Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Perbandaran Taiping di sini.

Kira-kira 3,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir pada majlis itu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah; Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohamah Nor Mansor.

Baginda turut menekankan betapa pentingnya elemen-elemen disiplin, fokus dan keyakinan diterapkan di kalangan umat.

Mengimbau sejarah, baginda bertitah, peradaban dan tamadun Islam memuncak ketika bilangan umat Islam masih kecil.

Bilangan minoriti itu dapat mengatasi bilangan majoriti titah baginda, kerana umat Islam mengamalkan disiplin yang tinggi, memiliki fokus serta mempunyai keyakinan kuat terhadap Allah SWT.

Ini juga kerana jelas baginda, Islam berjaya mencipta kegemilangan kerana umatnya memilih untuk bersatu walaupun mereka mewakili bangsa, budaya serta bahasa yang berbeza daripada pelbagai negara.

Faktor penyatuan, menjadi teras serta kunci kekuatan umat agar terus kuat, gagah, digeruni dan dihormati, titah Sultan Perak.

''Bertepatan dengan tema 'Memantapkan Ukhuwah Memperkasakan Ummah' beta mengingatkan umat Islam untuk menghayati mesej yang terkandung di sebalik tema ini," tegas baginda.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran