TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 7 Julai 2013

Indonesia dan Maghribi menjadi johan Qari dan Qariah Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa ke- 55 Tahun 1434H – 2013M




Kuala Lumpur: Qari Indonesia, Dasrizal Marah Nainin dan qariah Maghribi, Hajar Boussaq dinobat johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) kali ke-55, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Dasrizal Marah, memperdengarkan bacaaan Surah Thaha, memperoleh markah 93.26 peratus. Naib johan disandang qari Iran, Mohammad Mashmoul dengan 92.38 peratus, manakala tempat ketiga milik qari Malaysia, Anuar Hasin, memperoleh 89.55 peratus.


Hajar yang memperdengarkan bacaan Surah An-Nisa, memperoleh 91.27 peratus, manakala naib johan disandang peserta Malaysia, Hanimzah Jalaluddin (88.08 peratus) dan ketiga, Natipa Manasiya dari Thailand dengan 87.67 peratus.

Bawa pulang jongkong emas

Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah jongkong emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 selain wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.



Hadiah kepada qari disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah pula menyampaikan hadiah kepada peserta qariah.

Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
43 peserta terima RM3,000

Seramai 43 peserta tilawah lain turut menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

MTQA 2013 bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ berlangsung selama lapan malam mulai 29 Jun lalu disertai 59 peserta iaitu 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara.

Pelihara hukum tajwid

Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta memperdengarkan bacaan yang amat baik serta lancar dengan memelihara hukum tajwid.

Seramai 15 juri dari 10 negara antaranya Malaysia, Jordan, Mesir, Magribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar dipertanggungjawabkan menilai bacaan setiap peserta.

MTQA 2013 turut disiarkan secara langsung di TV1, TV al-Hijrah, Astro Oasis serta saluran radio IKIM.FM, Radio Klasik Nasional, Ai FM, Traxx FM dan Asyik FM.

JAKIM juga menganjurkan kuiz khas untuk pengunjung sempena tilawah kali ini. Seramai 10 pemenang dipilih setiap hari sepanjang program berlangsung.



Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran