TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 14 Mei 2013

Malaysia destinasi kedua terbaik di ASEAN untuk menyambung pengajian.



KUALA LUMPUR 13 Mei - Malaysia diiktiraf negara ASEAN kedua terbaik selepas Singapura sebagai lokasi menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Perkara itu diperakui hasil kajian Ranking U21 Sistem Pendidikan Tinggi Antarabangsa 2013 yang turut meletakkan Malaysia di tangga ke-27 dalam kalangan 50 negara di dunia bagi kriteria sama dengan markah keseluruhan sebanyak 52.4 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, hasil kajian Institut Kajian Sosial dan Ekonomi Gunaan, Universiti Melbourne, Australia itu amat membanggakan kerana jauh lebih baik berbanding di tangga ke-36 yang dicapai tahun lalu.

"Pengiktirafan ini yang kita mahukan supaya sistem pendidikan kita dapat diperluaskan ke negara-negara Eropah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia-Eropah (ASEM) Keempat bertemakan Kerjasama Strategik Pendidikan ASEM di sini hari ini.

Persidangan itu disertai 140 peserta terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dari 20 negara Kesatuan Eropah, 17 negara Asia, Sekretariat ASEAN dan Sekretariat Pendidikan ASEM.

Ab. Rahim berkata, pengiktirafan itu mengambil kira usaha kerajaan yang komited menyediakan peruntukan besar kepada sistem pengajian tinggi selain melihat kepada persekitaran, jaringan dan hubungan antarabangsa dan keberhasilannya.

Aspek itu, jelas beliau, sekali gus memperlihat negara berjaya mengatasi Australia, Korea, Jepun, United Kingdom dan Jerman.

Sehubungan itu, menurutnya, Malaysia ketika ini menumpukan usaha memperluas sistem pendidikan negara dalam kalangan penuntut Eropah yang masih di tahap kurang memuaskan.

"Fokus perbincangan ASEM adalah kepada pengiktirafan kualiti, kerjasama perniagaan, mobiliti dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Diharap menerusi empat tumpuan utama ini budaya pembelajaran dalam kalangan penuntut negara Eropah akan berubah dan lebih berminat memilih negara-negara Asia sebagai pusat pembelajaran," katanya.

Beliau memberitahu, faktor lain yang turut menarik minat pelajar antarabangsa kerana Malaysia mempunyai bidang pengajian terbaik seperti kejuruteraan, perubatan, teknologi maklumat, kewangan Islam, sosial sains dan pengajian halal.

Artikel Penuh:Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran