Oleh TAN MING WAI , tan.mingwai@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong kembali
ke alam persekolahan semalam, dengan diselubungi rasa teruja bercampur
cemas.
Mana tidaknya, ia adalah kali pertama gadis Bidayuh berusia
19 tahun itu kembali belajar selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dua tahun lalu.
Bersama rakan sebaya yang juga penerjun kebangsaan, Wendy Ng
Yan Yee, mereka melapor diri pada hari pertama sebagai penuntut jurusan Sains
Sukan di Universiti Malaya (UM).
Gembira, teruja dan cemas. Gembira kerana akhirnya
bergelar mahasiswi, teruja kerana dapat mengenali rakan-rakan baru dan melalui
kehidupan harian baru, maklumlah kena belajar balik selepas dua tahun
meninggalkan SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil)," kata Pandelela ketika
ditemui di Pusat Sukan UM di sini, semalam.
Bagi semester pertama, Pandelela dan Wendy tidak perlu ke
kelas lima hari seminggu, sebaliknya hanya dua hari iaitu Selasa dan Khamis.
Kami telah diberi taklimat mengenai modul semester ini
dan kami rasa tiada banyak masalah untuk membahagi masa antara latihan dan
belajar. Kami akan cuba sesuaikan diri secepat mungkin," kata Pandelela.
Pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010, Wendy,
ditanya kenapa dia juga memilih Sains Sukan berkata: Dapat
belajar di UM yang merupakan universiti terulung negara adalah satu kebanggaan,
lagi pun semasa di SSBJ, kami sudah dibiasakan dengan bidang Sains Sukan, jadi
apabila ditawarkan saya bertanya kepada diri sendiri kenapa tidak?"
Pandelela dan Wendy bukan kumpulan atlet terjun pertama yang
menuntut di UM kerana senior mereka, Bryan Nickson Lomas juga merupakan
mahasiswa di institut pengajian tinggi awam berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UM, Dr. Mohd. Salleh Aman
mengalu-alukan dua penerjun Olimpik negara itu yang disifatkan sebagai aset
negara sebagai mahasiswi UM.
Perancangan kami untuk Pandelela dan Wendy sangat
fleksibel, mengikut keperluan latihan mereka sebagai atlet kebangsaan.
Mereka tetap akan belajar sama modul seperti lain-lain
penuntut, tiada keistimewaan cuma pendekatannya berbeza.
Apabila tiba masanya untuk membuat persiapan ke
kejohanan penting, mereka akan diberi pelepasan daripada menghadiri kelas tetapi
pensyarah kami akan berkunjung ke MSN (Majlis Sukan Negara) untuk mengajar
mereka," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan