Wartawan
Sinar Harian
23 September 2012
Terminal Amanjaya di Meru Raya, Ipoh.
IPOH – Terminal bas baru Meru Raya yang bernilai RM140 juta bakal memulakan operasi pada 25 September ini setelah siap sepenuhnya.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata,
terminal bas yang juga dikenali sebagai Terminal Amanjaya bukan sahaja
menyediakan pengangkutan awam malah dilengkapi dengan kemudahan hotel bajet,
kedai makanan, tempat rekreasi dan kiosk.
Menurutnya, terminal bas ini berkonsepkan lapangan terbang yang mana bas akan menurunkan penumpang di lobi ketibaan di tingkat satu manakala penumpang yang akan menaiki bas ditempatkan di tingkat bawah bagi mengelakkan kesesakan.
“Bagi petunjuk prestasi utama (KPI) dari segi pengangkutan
awam, saya yakin ia menepati ciri KPI yang hendak kita capai. Jadi, saya
berharap penumpang dan sesiapa sahaja dapat menggunakan terminal ini
sebaiknya,” katanya ketika sidang media sempena lawatan ke terminal bas itu,
kelmarin.
Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 58 syarikat pengusaha bas
bersetuju untuk beroperasi di terminal itu.
Sementara itu, Pengurus Eksekutif The Combine Bus, Mohamad
Mat Isa berkata, terminal yang juga di bawah Unit Kerjasama Awam dan Swasta
(Ukas) ini turut menjadi salah satu
daripada 11 ‘touch point’ dalam negara ini.
Mohamad berkata, terdapat 60 kaunter tiket bas manakala tujuh
kaunter e-Ticketing yang memudahkan
pengguna untuk membeli tiket bas, mengetahui bas yang akan dinaiki dan melihat
jadual perjalanan secara 'online'.
“Terminal ini boleh memuatkan 2,000 orang dan dianggarkan 300
orang dalam satu-satu masa selain menyediakan 400 tempat letak kereta,"
katanya.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan