Wartawan
Sinar Harian
17 September 2012
JOHOR BAHRU - Pertubuhan
Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) mengecam keras penerbitan filem
anti Islam Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW diedarkan di
negara ini.
Presidennya, A Rahman Mahadi
berkata, perbuatan menghina Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan tidak boleh
diterima dan merupakan satu kesalahan besar bagi umat Islam serta mesti
ditentang dan diperangi habis-habisan.
Menurutnya, perbuatan itu
berniat jahat untuk mewujudkan pertembungan dan pergaduhan antara agama yang akhirnya
membawa kesan buruk kepada masyarakat dunia.
“Kami anggap filem tersebut
bertujuan memprovokasi masyarakat antarabangsa mengenai peribadi Nabi Muhammad
SAW sebagai kasanova dan Islam adalah barah.
“Kenyataan seperti ini
adalah biadab dan langsung tidak boleh diterima,” katanya selepas menghadiri
Majlis Perarakan Jalur Gemilang, di sini, malam kelmarin.
A Rahman berkata, terdapat
suatu manifestasi ideologi politik secara halus yang sengaja dilakukan oleh
kelompok Yahudi, termasuklah penerbitan filem yang mencetuskan kemarahan rakyat
Islam di serata dunia.
“Kami menyeru umat Islam
sedunia bangun bersatu menegakkan syiar Islam agar jangan berpecah-belah,
sebaliknya kembali merapatkan saf dan bangun menentang sesiapa sahaja yang cuba
mengganggu-gugat kita.
“Kita juga perlu sedar
bahawa elemen subversif yang telah menyerap masuk ke tanah air kita melalui
mubaligh Kristian yang sedang rancak mengkristiankan anak muda Islam di negara
ini,” katanya.
Kemuncak kemarahan ahli
PPPMM berakhir dengan tindakan memijak dan membakar bendera Amerika Syarikat
dan Israel sebagai bantahan keras penerbitan filem menghina Nabi Muhammad SAW.
Dalam pada itu, lebih 500
orang daripada 30 badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan Jalur Gemilang
dari perkarangan pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ke Bukit Timbalan.
Perarakan itu dilepaskan
Datuk Bandar MBJB, Burhan Amin di pekarangan MBJB dan disambut di Bukit
Timbalan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad.
Pengarah Program, Osmirizan
Melan berkata, program itu diadakan untuk menunjukkan rasa tanggungjawab kepada
negara, agama dan bangsa yang dicintai.
Menurutnya, penyertaan
secara sukarela daripada pelbagai lapisan peringkat umur menunjukkan kerjasama
dan perjuangan yang seimbang untuk mengekalkan keamanan negara.
“Kita ingin terjemahkan
kecintaan kepada negara melalui perbuatan indah seperti ini, bukannya sekadar
melalui laungan atau percakapan semata-mata.
“Alhamdulillah walaupun ada
insiden yang diduga semasa dalam perarakan, kumpulan kita selamat sampai,”
katanya.
Sumber: Sinar Harian MalaysiaOnline.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan