Wartawan Sinar Harian
20 September 2012
PARIT - Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) berjaya memungut
sebanyak RM87.4 juta zakat pada tahun lalu berbanding tahun 2010 sebanyak
RM70.2 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin
Syed Ikhsan berkata, jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun disebabkan
kesedaran masyarakat untuk mengeluarkan zakat semakin meningkat.
Menurutnya, bayaran zakat yang dibuat oleh pelbagai pihak itu
akan diagihkan kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk.
“Kita lihat dari tahun ke tahun jumlah pembayar zakat semakin
meningkat dan pada tahun ini juga kita jangkakan jumlah itu akan bertambah.
“Ini menunjukkan adanya peningkatan pembayaran tidak kiralah
daripada individu, peniaga, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa
majlis menaikkan papan tanda inisiatif pembinaan rumah terbakar program
‘National Blue Ocean Strategy (NBOS7) atau kejiranan indah di Kampung Tanjung
Medan Selasa lalu.
Katanya, daripada jumlah pungutan zakat itu, sebanyak RM40
juta telah diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin bagi tahun lalu.
“Bantuan ini merangkumi bantuan bulanan sebanyak RM13 juta
pada tahun lalu dan kita jangkakan jumlah itu akan meningkat kepada RM15 juta
pada tahun ini,” katanya.
Syed Omar berkata, pihaknya juga turut menyediakan sejumlah
peruntukan bagi bantuan baik pulih dan bina rumah baru.
“Pada tahun lalu kita telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta
bagi tujuan ini dan sehingga akhir Ogos lalu kita telah mengeluarkan sebanyak
RM5 juta untuk tujuan ini.
“Peruntukan untuk baik pulih rumah kami akan meluluskan
maksimum sebanyak RM12,000 manakala bina baru rumah pula terdapat dua jenis
iaitu rumah tiga bilik dengan jumlah RM33,000 manakala rumah dua bilik
RM28,000.
“Kita akan melihat kembali jumlah ini supaya relevan dengan
keadaan harga barang semasa dan jika perlu ia akan dinaikkan,” katanya.
Katanya, masyarakat diseru membuat bayaran zakat agar lebih
ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan