TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 21 Disember 2011

BNM perkenal wang kertas dan syiling baharu

SIRI wang kertas dan syiling baharu yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memperkenalkan satu siri wang kertas dan duit syiling baharu yang akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012.

Wang kertas itu melibatkan denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 manakala duit syiling itu pula dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Duit syiling itu dilancarkan pada 25 Julai 2011 tetapi hanya akan berada dalam edaran Januari ini. Pelancaran wang kertas dan duit syiling itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini. Ini kali keempat mata wang kertas baharu diperkenalkan dan kali ketiga untuk duit syiling.

Pelancaran wang kertas itu juga dilihat sebagai lanjutan kepada pengenalan wang kertas baharu dalam denominasi RM50 yang kini berada dalam edaran. Daripada semua wang kertas itu, hanya RM1 dan RM5 dihasilkan dengan penggunaan substrat polimer.

Menurut BNM, wang kertas siri baharu ini turut mengandungi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat sejajar dengan kemajuan terkini dalam teknologi wang kertas.

''Ciri-ciri keselamatannya termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya.

''Wang kertas itu juga boleh dikenal pasti melalui sentuhan untuk memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan,'' kata kenyataan itu.

Wang kertas siri baharu ini diinspirasikan daripada ciri-ciri unik negara dan memasukkan elemen kekayaan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara.

''Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri wang kertas ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, serta ekonomi,'' jelas bank itu lagi.

Sementara itu, BNM turut mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan pengenalan mata wang siri baharu ini.

Tiga jenis set wang kertas peringatan yang dijual adalah denominasi RM1 dan RM5 pada harga RM15 setiap satu, denominasi RM20 berharga RM30 setiap satu dengan jumlah terhad iaitu 500,000 set.

BNM turut menjual set premium (denominasi RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) - 50,000 set yang berharga RM300 setiap satu.

Ia mula dijual pada 22 Disember 2011 di Ibu Pejabat BNM (BNMLINK) dan cawangan-cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Source: Utusan Malaysia Online

Selasa, 20 Disember 2011

Nasi Lemuni @ Legundi

By Idris Ismail Talu

Nasi Lemuni @ Legundi

Lauknya - biasanya gulai ayam atau gulai ikan aye @ ikan tongkol

Saladnya - kerabu taugeh dengan daun silom atau daun ulam raja.


Timun tikus atau pepasan

By Idris Ismail Talu






Nama tanaman : Timun tikus
Nama lain : Pepasan atau papasan
Philippines : tamling
Indonesia : papasan, kemarongan, bolu teke
Cambodia : slök baahs
Laos : tam ling, tam nin
Thailand : phaktamlung, phakkhaep
Nama sainstifiknya : Coccinia grandis

http://idristalu.blogspot.com/

Buah Rambutan

By Idris Ismail Talu




Nama buah : Rambutan (kata dasarnya rambut)
Nama lain:
Thailand : เงาะ
Vietnam : chôm chôm
Nama sainstifiknya : Nephelium lappaceum.

http://idristalu.blogspot.com/

Burung Enggang @ Kenyalang

By Idris Ismail Talu




Nama burung : Burung Enggang
Nama lain : Burung Kenyalang
Nama dalam bahasa Inggeris : Rhinoceros Hornbill
Nama saintifiknya : Buceros rhinoceros.
Lokasi gambar : Negeri Perak Darul Ridzuan.

http://idristalu.blogspot.com/

Selasa, 6 Disember 2011

Bersatu pertahankan maruah – DYMM Sultan Selangor

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dicaci dan dihina.

Baginda bertitah, perpaduan itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan umat Islam bangkit mempertahankan kesucian dan maruah bangsa serta agama.

“Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain. Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu ‘berkahwin’ sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.

“Tetapi kita (orang Melayu dan umat Islam) bersatu apabila agama dan bangsa kita dicaci dan dihina,” titah baginda ketika mencemar duli berangkat melawat Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Baginda diiringi oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Ramli Alhaj dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Besar Pengeluaran, Ahmad Khairumuzammil Abd. Rahman.

Dalam lawatan yang mengembalikan nostalgia kunjungan baginda ke Utusan Melayu semasa menjadi Raja Muda pada 9 Mei 1974, Sultan Selangor diberi penerangan ringkas perkembangan semasa Kumpulan Utusan.

Baginda yang turut beramah mesra dengan kakitangan Utusan berkenan menekan butang operasi di meja kawalan mesin cetak yang mencetak 500 naskhah akhbar khas Utusan Malaysia lapan muka surat yang memuatkan pelbagai kisah menarik mengenai baginda.

Dalam titah baginda juga, Sultan Selangor menyeru kalangan korporat Melayu yang berjaya untuk membantu dan memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

Titah baginda, akhbar ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyedarkan masyarakat Melayu khususnya ke arah perpaduan bangsa serta mempertahankan agama Islam.

“Apabila beta bercakap tentang Melayu dan disiarkan Utusan Malaysia, rakyat kata beta orang Utusan Malaysia. Tapi beta tidak ada share (saham) pun dengan Utusan Malaysia.

“Begitu juga apabila beta menegur orang Melayu dalam kes derhaka terhadap Sultan Perak (Sultan Azlah Shah), ada kata beta orang UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO itu UMNO lah.

“Tetapi apa yang menjadi perhatian beta adalah supaya agama Islam dan bangsa Melayu itu dipertahankan. Orang Melayu kita biarlah beradab dan jangan kurang ajar,” titah baginda.

Sementara itu, dalam perutusan baginda sempena lawatan berkenaan, Sultan Selangor bertitah, peranan akhbar di negara ini masih penting dan relevan walaupun mendapat saingan hebat daripada akhbar dalam talian seperti portal berita, laman blog dan medium-medium berita lain.

Titah baginda, kehadiran Internet juga menyebabkan hampir semua akhbar kini bersaing memperkenalkan versi dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Source: Utusan Malaysia Online.

Isnin, 5 Disember 2011

Pisang Lemak Manis @ Pisang 40 Hari

By Idris Talu

Pisang Lemak Manis @ Pisang 40 Hari @ Pisang Lampung
@ Pisang Muli @ Pisang Berlian @ Inarnibal

Rupa bentuk buah pisang lemak manis agak hampir sama dengan pisang lilin atau pisang emas. Pisang lemak manis atau pisang empat puluh hari ini berbeza dengan pisang emas jelas kelihatan di bahagian hujung buahnya. Pisang lemak manis terkelompok dalam kelompok “AA” iaitu kumpulan “diploid”.

Buah pisang lemak manis agak tajam atau runcing di hujungnya sedangkan hujung buah pisang emas tidak runcing. Pisang emas biasanya lebih besar saiz buahnya dari pisang lemak manis.

Di Indonesia, pisang lemak manis juga dikenali sebagai buah “Pisang Lampung” atau “Pisang Berlin” atau “Pisang Muli”. Sementara di Filipina, buah pisang ini dikenali dengan nama Pisang Inarnibal”.

Biasanya pisang lemak manis dimakan mentah sebagai “pencuci mulut”. Namun begitu ada juga yang suka menggorengnya sebagai “cokodok” atau jejemput pisang.

Pisang Lemak Manis @ Pisang Lampung

Ada juga yang gemar menggaulkan atau mencampurkannya dengan beras pulut lembut (yang telah direndam dalam air selama dua jam) serta isi kelapa muda yang diparut, dibungkus dalam daun pisang, dan dilengat atau dikukus sehingga masak.

Kuih lengat ini dinamakan “lepat segan” kerana agak jarang (segan) orang membuatnya. Cuma bila sudah siap dimasak, biasanya habis dimakan orang - tak segan-segan lagi!

Ada juga yang melenyekkan pisang ini dengan tepung gandum dan dipanaskan atas kuali leper menjadi lempeng pisang.

http://idristalu.blogspot.com/

Isnin, 21 November 2011

Pasukan bola sepak Malaysia dijadual tiba pukul 2:30 pagi ini di KL

22/11/2011 12:01am

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Pasukan bola sepak Malaysia, yang baru sahaja memenangi pingat emas dengan mengalahkan Indonesia dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA XXVI malam tadi, dijadualkan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada kira-kira 2:30 pagi ini.

Baca seterusnya di
Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 13 November 2011

Raja Perlis kurnia Pingat Jaya Cemerlang kepada empat mahasiswa USM

ARKIB : 03/11/2011

ARAU 2 Nov. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada empat mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau di sini.

Baginda selaku Canselor USM menyampaikan anugerah tersebut kepada Mohammad Rahim Kamaluddin, T. Ramanathan, Karen Vou Kai Rou dan Nur Izzati Amir Hamzah, kesemuanya berusia 24 tahun.

Penganugerahan itu turut disaksikan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Penganugerahan tersebut diberikan sebagai menghargai kecemerlangan mereka dalam pengajian sehingga mengharumkan nama USM.

Sementara itu, Nur Izzati yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan berasal dari Pulau Pinang, menyifatkan doa dan sokongan ibu bapa dalam membantu menyediakan suasana pembelajaran kondusif sebagai faktor mendorong kejayaannya.

Menurut graduan Sains Gunaan Biologi itu, suasana selesa ketika belajar dan pengambilan makanan seimbang serta motivasi berterusan daripada ibu bapa menjadi pembakar semangatnya.

Seorang lagi pelajar, Mohammad Rahim yang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Criminology, berpendapat, sikap gemar membantu rakan-rakan serta aktif dalam aktiviti kokurikulum banyak membantu dirinya untuk maju.

Antaranya, Mohammad Rahim pernah memegang jawatan Exco dalam Persatuan Sains Kesihatan dan Setiausaha Persatuan Kebudayaan India.

Source: Mingguan Malaysia Online

Sultan Kelantan - Jangan main api

Oleh YULPISMAN ASLI, utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 12 Nov. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada, berhati-hati serta peka terhadap kemunculan iklim tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti-establishment dalam masyarakat.

Baginda bertitah, anasir-anasir terbabit cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap buat-buat lupa fakta sejarah ‘kontrak sosial’ yang telah dipersetujui bersama dengan mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.

“Beta berseru kepada semua pihak hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara,” titah Sultan Muhammad pada Majlis Perayaan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-42 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Sultan Muhammad berkenan menganugerahkan darjah kebesaran dan pingat kepada 213 penerima diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili I) (SJMK) membawa gelaran Datuk.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam titah sulung selaku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad turut mengingatkan rakyat mengenai perubahan iklim dunia yang boleh mengakibatkan pemanasan global dan bencana alam, pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin suram dan krisis hutang negara-negara Eropah yang sudah tentu memberi kesan tidak baik kepada ekonomi di banyak negara.

“Semua fenomena ini memberi implikasi kepada ekonomi negara dan negeri ini. Kesan tersebut sudah tentu dirasai oleh rakyat negeri ini.

‘‘Oleh itu, marilah kita semua menggemblengkan tenaga bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik.

‘‘Semua pihak perlu bangkit mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Menyentuh aspek pembangunan di Kelantan, baginda bertitah, sektor pembinaan dan pelaburan di negeri ini dijangka mempunyai prospek yang tinggi pada tahun-tahun akan datang sekiranya projek-projek seperti pembangunan dan pengindahan sungai di Kota Bharu dan Tumpat, projek jalan Persekutuan laluan lapan dan sembilan serta pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dilaksanakan.

“Dalam menghadapi risiko banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh, beta berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang sedang giat dilaksanakan itu akan dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Muhammad turut menarik perhatian, perlunya kerajaan negeri Kelantan memberi perhatian terhadap langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan walaupun belanjawan defisit adalah sesuatu kelaziman di kebanyakan negara.

“Beta berharap kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal.

‘‘Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar.

‘‘Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil,” titah baginda.

Source: Mingguan Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran