TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label DYMM Sultan Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DYMM Sultan Selangor. Papar semua catatan

Selasa, 6 Disember 2011

Bersatu pertahankan maruah – DYMM Sultan Selangor

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dicaci dan dihina.

Baginda bertitah, perpaduan itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan umat Islam bangkit mempertahankan kesucian dan maruah bangsa serta agama.

“Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain. Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu ‘berkahwin’ sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.

“Tetapi kita (orang Melayu dan umat Islam) bersatu apabila agama dan bangsa kita dicaci dan dihina,” titah baginda ketika mencemar duli berangkat melawat Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Baginda diiringi oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Ramli Alhaj dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Besar Pengeluaran, Ahmad Khairumuzammil Abd. Rahman.

Dalam lawatan yang mengembalikan nostalgia kunjungan baginda ke Utusan Melayu semasa menjadi Raja Muda pada 9 Mei 1974, Sultan Selangor diberi penerangan ringkas perkembangan semasa Kumpulan Utusan.

Baginda yang turut beramah mesra dengan kakitangan Utusan berkenan menekan butang operasi di meja kawalan mesin cetak yang mencetak 500 naskhah akhbar khas Utusan Malaysia lapan muka surat yang memuatkan pelbagai kisah menarik mengenai baginda.

Dalam titah baginda juga, Sultan Selangor menyeru kalangan korporat Melayu yang berjaya untuk membantu dan memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

Titah baginda, akhbar ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyedarkan masyarakat Melayu khususnya ke arah perpaduan bangsa serta mempertahankan agama Islam.

“Apabila beta bercakap tentang Melayu dan disiarkan Utusan Malaysia, rakyat kata beta orang Utusan Malaysia. Tapi beta tidak ada share (saham) pun dengan Utusan Malaysia.

“Begitu juga apabila beta menegur orang Melayu dalam kes derhaka terhadap Sultan Perak (Sultan Azlah Shah), ada kata beta orang UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO itu UMNO lah.

“Tetapi apa yang menjadi perhatian beta adalah supaya agama Islam dan bangsa Melayu itu dipertahankan. Orang Melayu kita biarlah beradab dan jangan kurang ajar,” titah baginda.

Sementara itu, dalam perutusan baginda sempena lawatan berkenaan, Sultan Selangor bertitah, peranan akhbar di negara ini masih penting dan relevan walaupun mendapat saingan hebat daripada akhbar dalam talian seperti portal berita, laman blog dan medium-medium berita lain.

Titah baginda, kehadiran Internet juga menyebabkan hampir semua akhbar kini bersaing memperkenalkan versi dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Source: Utusan Malaysia Online.

Jumaat, 8 Julai 2011

Sultan titah tindakan tegas terhadap pengacau

DYMM Sultan Selangor

08/07/2011 2:44pm


HULU SELANGOR 8 Julai — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa baginda akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan api permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di negeri Selangor.

Baginda bertitah sebagai ketua negeri Selangor, baginda tidak akan membiarkan adanya anasir yang akan merosakkan bangsa dan agama.

"Di sini, beta ingin menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya hendaklah bersatu-padu dan janganlah berbalah-balahan antara satu sama lain disebabkan oleh ideologi politik yang berlainan.

"Kita orang Melayu bersatu dengan satu agama, iaitu agama Islam,” titah baginda ketika merasmikan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini.

Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Sultan Selangor bertitah baginda akan merasa sedih jika rakyat Melayu di negeri Selangor berpecah-belah disebabkan pendapat politik yang berlainan.

"Negara kita telah merdeka sebegini lama dan beta percaya rakyat Melayu di negeri Selangor ini telah banyak mempelajari dan mengetahui akan kemajuan hidup yang telah dicapai dan yang akan dicapai,” titah baginda. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran