TAIPING: Keropok kulit rusa sebagai makanan ringan adalah antara produk terbaru yang dipamerkan kepada orang ramai sempena Ekspo Industri Halal Perak 2006 di sini, yang bermula semalam.
Keropok berkenaan yang diperkenalkan sejak dua bulan lalu oleh Pusat Ternakan Haiwan di Lenggong dekat sini, bukan sekadar menjadi makanan ringan sebaliknya menjadi makanan berkhasiat.
Pengurus Pusat Ternakan Haiwan Lenggong, Dr Rafiah Aini ketika ditemui di tapak ekspo berkata, kebiasaannya kulit rusa digunakan untuk membuat jaket dan dijual pada harga mahal sehingga ada yang mencecah RM500 sehelai.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya membuat kajian bagi membolehkan kulit haiwan itu dimakan.
"Lemak tidak tepu yang terkandung dalam kulit rusa baik untuk jantung serta membantu melancarkan peredaran darah selain mengandungi kolesterol baik.
"Walaupun ia mungkin mengakibatkan badan panas tetapi ia mempunyai kandungan protein yang tinggi," katanya.
Dr Rafiah bagaimanapun berkata, kadar `kepanasan' keropok bergantung sepenuhnya kepada komposisi kulit rusa yang diadun dengan tepung bagi menjadikannya sebagai keropok tetapi masih tidak menggunakan sebarang bahan perasa atau pengawet.
Beliau berkata, rasa keropok kulit rusa agak tawar kerana tidak mempunyai sebarang perisa tambahan dan kini dijual RM50 sekilogram, bagaimanapun tetap mendapat permintaan orang ramai yang ingin mencuba.
Selain keropok kulit rusa, pengunjung boleh mencuba dan membeli pekasam daging rusa yang turut dipamerkan pada ekspo yang berlangsung sehingga 9 Julai ini di Taman Tasik Taiping.
Keropok kulit rusa itu diusahakan sebuah syarikat tempatan dengan bantuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pusat ternakan itu sejak dua bulan lalu selepas mencuba beberapa kaedah menghasilkan produk makanan baru berasaskan rusa.
"Mereka yang berminat dan mempunyai idea baru untuk mempelbagaikan produk ini boleh menghubungi kami di talian 05-7982880," katanya.
FAKTA NOMBOR
Produk kulit rusa
RM500 - Harga sehelai jaket kulit rusa
RM50 - Harga sekilogram keropok kulit rusa
Sumber: http://www.jphpk.gov.my/Malay/Jul06%207b.htm