IPOH 15 Jan. - Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias
menyelar tindakan pihak tertentu yang menyifatkan sambutan Maulidur Rasul yang
diraikan setiap tahun bagi menghayati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah
bidaah serta meniru agama Kristian.
Ustaz Mohamad Kazim Elias
Beliau berkata, berdasarkan pandangan ulama, sambutan
Maulidur Rasul bukan amalan bidaah iaitu menokok tambah dalam bidang agama atau
ibadat, sebaliknya memberi manfaat dalam banyak aspek, terutama memupuk
perpaduan dalam kalangan ummah dan mengingatkan kembali terutama generasi muda
tentang sirah Rasulullah.
Ustaz Mohamad Kazim Elias
Tegas Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim,
perbuatan meraikan sambutan itu juga membuktikan rasa cinta dan sayang kepada
junjungan besar tersebut yang wajib dilakukan semua umat Islam.
"Harus hukumnya kita meraikan sambutan Maulidur Rasul,
namun ada pula tok guru mana entah kata kita sambut Maulidur Rasul macam orang
Kristian sambut Nabi Isa dan amalan bidaah. Maka, apabila kita pergi negeri dia
tak ada sambutan Maulidur Rasul sedangkan semua negeri lain dari Sabah sampai
ke Perlis menyambutnya.
"Macam mana dia kata tiru orang Kristian sedangkan 25
Disember itu mereka sambut bagi meraikan kematian Nabi Isa yang kemudiannya
diangkat ke langit sedangkan dalam Islam kita tak kata begitu, kita kata Nabi
Isa diangkat ke langit oleh Allah sebab mereka (Kristian) nak bunuh Nabi Isa.
"Adakah sama kita dengan Kristian, tidak sama
sekali," katanya ketika menyampaikan ceramah dalam sambutan Maulidur Rasul
Peringkat RISDA Negeri Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah RISDA Perak, Mohd. Hussin
Yusoff.
Jelas Mohammad Kazim, orang Kristian juga menganggap Nabi Isa
adalah anak tuhan manakala dalam sambutan Maulidur Rasul tidak langsung membawa
maksud Nabi Muhammad SAW dianggap sedemikian.
Tambahnya, begitu juga dalam hal kematian Nabi Isa apabila
golongan itu menganggap perbuatan tersebut bagi menghapuskan dosa Nabi Adam
serta anak-anaknya yang telah berbuat salah.
''Adakah Islam pula mempercayai kewafatan Nabi Muhammad SAW
atau kelahiran baginda dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Tidak sama sekali, setiap dosa yang kita lakukan akan mendapat balasan begitu
juga pahala hasil kebaikan yang dilakukan semuanya atas diri masing-masing.
''Jadi mana yang kata kita meniru agama Kristian. Orang
Kristian menyambut Krismas menjadikan mereka itu syirik kepada Allah, sedangkan
kita pula menyambut Maulidur Rasul mendatangkan kasih sayang pada Rasullullah
dan perbuatan itu wajib kita lakukan dan berdosa jika kita ingkar,'' katanya.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan