Oleh
KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
LENGGONG 15 Jan. - Siapa sangka Lembah Lenggong yang
diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan
Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu sebenarnya bukan sahaja
mempunyai tapak arkeologi prasejarah, malah turut memiliki warisan masakannya
yang tersendiri.
Lenggong yang terletak di Hulu Perak begitu sinonim dengan
topografi Sungai Perak yang membawa kepada pembentukan tasik seperti Tasik
Raban.
Ikan loma
Maka, tidak hairanlah sekiranya ikan air tawar seperti loma,
tilan, baung, keli, kaloi, lampam, sepat, tengalan, puyu, belida, temoleh,
kelah dan sebarau mudah didapati di sini.
Bahan aslinya seperti pucuk paku, keladi, ulam-ulaman serta
pucuk-pucuk kayu seperti salang dan cemperai pula boleh dipetik pucuknya untuk
dijadikan sayur.
Pada asasnya, warisan masakan Lenggong banyak dipengaruhi
oleh penggunaan bahan-bahan tempatan daripada tumbuh-tumbuhan, hasil sungai
serta hutan seperti rebung dan umbut rotan, yang boleh didapati di sekitar
kampung.
Difahamkan, terdapat 25 jenis masakan asli warisan Lenggong
yang diwarisi dan begitu dikenali dalam kalangan masyarakat di sini.
Antaranya termasuklah masak lemak pekasam loma, gulai daging
Patani, gulai umbut pisang hutan, ikan pindang, pais ikan keramat, belotak,
ikan sungai bakar cicah air kerabu, kerabu umbut rotan bakar, kerabu umbut
tepus gajah dan rendang daging masak hitam.
Penulis berpeluang menghadiri Pesta Makanan Lenggong yang
masuk kali kedua penganjurannya Pesta itu telah dirasmikan oleh Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz .
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.
Kadir dan Ahli Parlimen Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Kesempatan mengunjungi pesta itu orang ramai berpeluang
mengenali dua jenis masakan warisan di sini yang dikenali sebagai kebebe dan
cara memasak nasi di dalam buluh.
Nama kebebe cukup janggal sekali didengar, namun sebenarnya,
menu berkenaan merupakan makanan tradisi masyarakat Patani di Lenggong atau
mungkin lebih sesuai dikenali sebagai 'rojak'.
Seorang penduduk, Tayibah Ismail, 59, dari Kampung Teluk
Batu berkata, makanan tradisional itu begitu mudah untuk dihasilkan kerana
bahan-bahannya boleh didapati di tepi rumah mahupun kebun di sini.
Menurut Tayibah, bahan-bahan yang digunakan merangkumi cili
padi, belacan, garam, gula, jantung pisang, putik nangka, buah nenas, cermai,
belimbing, kelempong, cedong, dan jambu batu yang telah dipotong kecil.
"Caranya ialah kita masukkan cili padi, garam dan
belacan di dalam lesung kayu dan ditumbuk sehingga lumat. Kemudian, masukkan
bahan-bahan lain dan akhir sekali bubuh gula secukup rasa.
"Kebebe boleh dihidang dalam kelopak jantung atau daun
pisang. Masukkan dalam polisterin pun tak mengapa kerana boleh dimakan pada
bila-bila ketika bersantai," katanya.
Tayibah berkata, kebebe seringkali dibuat ketika terdapatnya
majlis kenduri sewaktu penduduk kampung bergotong-royong menumbuk kerisik
kerana penghasilannya boleh menghilangkan minyak yang terdapat di dalam lesung.
"Rasa kebebe ini semuanya ada. Ada rasa manis, masin,
masam, kelat dan masin. Saya pun tak tahu kenapa dipanggil kebebe, namun,
hidangan ini berkhasiat kerana kaya dengan vitamin C," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Chain di sini,
Ahmad Yusof Yahya, 48, pula memperkenalkan cara memasak nasi dalam buluh.
Ahmad Yusof yang juga seorang bekas tentera berkata, stail
masakan itu sangat sesuai dipraktikkan sekiranya masuk ke dalam hutan kerana
tidak perlu membawa sebarang peralatan memasak seperti periuk.
"Hanya perlukan beras dan mungkin sedikit garam.
Setelah beras itu dibasuh dan dimasukkan ke dalam buluh dengan dibungkus daun
lerek yang boleh didapati di lembah sungai di hutan. Saiz buluh berbeza-beza
tetapi sebatang buluh itu mungkin boleh memuatkan dalam lima ke enam bungkus
nasi dan dapat dimakan kira-kira 10 orang.
"Tempoh masaknya adalah dua jam, namun ikut juga kepada
ketebalan buluh. Apa pun, yang penting, pastikan tiada kebocoran pada buluh
ketika mengisi air," katanya.
Menurut Ahmad Yusof, perbezaan ketara antara nasi yang
ditanak di dalam buluh berbanding periuk adalah dari segi keharuman baunya.
"Sebenarnya, masak tom yam pun boleh dibuat dalam buluh
kerana sememangnya fungsinya sama seolah-olah sebagai sebuah periuk,"
katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140116/wu_01/Keistimewaan-makanan-Lenggong#ixzz2qc4AjpW5
Source: Utusan Melayu(M) Bhd
3 ulasan:
salam, hari tu saya makan kemahang masak lemak ayam di gerik ...sedap jugak...
Kemboja Putih Nasution,
Wa'alaikumussalam. Memang sedap gulai lemak kemahang, tambah pulak campur ayam.
Idris! Banyak maklumat dlm blog saudara nih! Saya dah tinggalkan blog kerana sejak/ipad /PC/NB dah tak berfungsi dgn baik!
Catat Ulasan