TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 23 Mei 2011

Didik dengan amanah, ikhlas - Tokoh Guru Melaka


JASIN 22 Mei - Tiga Tokoh Guru peringkat negeri, menasihatkan generasi guru hari ini mengamalkan peribadi mulia iaitu amanah dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa sekiranya mahu menjadi guru cemerlang.

Menurut Hamidah Baba, 63, pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka adalah hasil daripada didikan guru yang ikhlas memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak muridnya.

''Ilmu pengetahuan yang diberi oleh guru yang ikhlas mendidik ini juga mudah diterima pelajar malah segala usaha yang disumbangkan oleh guru seperti ini tidak akan menjadi sia-sia kerana jasanya akan sentiasa dikenang oleh masyarakat," katanya selepas ditemui pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini, semalam.

Hamidah anak kelahiran Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dan memiliki pengalaman selama 32 tahun sebagai guru menerima kalung pingat, wang tunai RM3,000, sijil dan plak penghargaan sumbangan kerajaan negeri.

Selain Hamidah, turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Melaka tahun ini ialah Ahmad Mohamad Said, 66 dan Ab. Rasid Yaakop, 61, masing-masing mengabdikan diri selama lebih 35 tahun dalam profesion perguruan.

Kata Hamidah, keikhlasan sepanjang berkhidmat sebagai guru telah merapatkan hubungannya dengan murid dan kakitangan sehingga mereka lebih selesa mengelar beliau sebagai ibu.

Bagi Ahmad yang kini memegang jawatan Pengarah Al-Hikmah Training dan Consultancy, sesiapa yang pernah bergelar guru tidak akan mudah meninggalkan profesion tersebut walaupun sudah bersara dalam perkhidmatan.

''Walaupun sudah lama meninggalkan tugas mengajar, saya tetap tidak mahu berhenti dalam profesion ini kerana tugas mengajar amat seronok dan membahagiakan saya.

''Saya sendiri, walaupun sudah bersara menjadi guru, saya masih bekerja mendidik dan kini menjadi pensyarah di salah sebuah kolej swasta," katanya.

Bagi Ab. Rasid, yang menjadi guru Melayu pertama mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Yok Bin pada 1974, tugas sebagai guru amat berat kecuali kepada mereka yang mencintai profesion tersebut.

Katanya, tugas guru amat besar kerana ia memikul amanah daripada ibu bapa dan masyarakat yang mengharapkan murid yang dididik menjadi insan cemerlang.

''Oleh itu, guru perlu sentiasa ingat pada amanah itu, saya yakin, jika setiap guru mengingati amanah yang diberikan, mereka tidak akan sukar menyelamat profesion perguruan," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran