TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 10 Mei 2011

Majalah Upin dan Ipin dalam bahasa Inggeris

Tarikh siar: 28/04/2011

KUALA LUMPUR 27 April - Untuk menggalakkan kanak-kanak membaca dalam bahasa Inggeris, syarikat Les" Copaque Production Sdn. Bhd. (Les" Copaque) hari ini melancarkan majalah Upin & Ipin: The Magazine dalam bahasa antarabangsa itu.

Majalah komik yang menyusul selepas komik Upin dan Ipin dalam bahasa Melayu itu dilancarkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di sini.

Ketika berucap melancarkan majalah itu, Noorainee berkata, penerbitan majalah berkenaan dalam bahasa Inggeris adalah untuk menarik minat kanak-kanak dalam membaca menggunakan bahasa antarabangsa dunia itu.

"Penerbitan majalah Upin and Ipin: The Magazine dalam bahasa Inggeris bukan bertujuan untuk mengetepikan bahasa Melayu yang sentiasa disanjung sebagai bahasa ibunda kita.

"Ia lebih kepada menambahkan lagi sumber bacaan bagi kanak-kanak. Ini kerana bagi kanak-kanak yang ingin mempelajari bahasa Inggeris, mereka boleh menggunakan komik ini sebagai satu kaedah mempelajarinya," katanya.

Noorainee berkata, siri animasi Upin dan Ipin sangat popular pada kalangan kanak-kanak termasuklah cucu-cucu beliau sendiri.

"Melalui program inilah mereka turut bercakap dalam bahasa Upin dan Ipin dan sekali gus mempelajari bahasa Inggeris melalui majalah ini dengan penggunaan bahasa dan intonasi serta gaya kedua-dua watak animasi itu," katanya.

Menurut beliau, majalah baru ini akan membuat pembaca lebih seronok sambil meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa itu.

"Justeru, anak-anak sekalian, semaikan minat membaca dan jadikan membaca satu amalan dan tabiat yang baik dan dilakukan secara berterusan kerana membaca adalah punca ilmu," katanya.

Siri animasi terkenal itu bukan setakat memberi hiburan tetapi telah berjaya memberi pengajaran dan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian kita selain mempromosikan konsep gagasan 1Malaysia, kata Noorainee.

"Upin dan Ipin juga memaparkan konsep 1Malaysia di mana kanak-kanak berbilang bangsa pergi ke sekolah bersama-sama, bermain bersama sambil mempelajari dan menghormati akan nilai budaya satu sama lain," katanya.

Majalah komik yang dihasilkan oleh Les" Copaque dengan kerjasama NYLA Sdn. Bhd. itu turut mengandungi berita, aktiviti, maklumat dan peraduan berkaitan karaktor kartun Upin dan Ipin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif NYLA Sdn. Bhd., Tunku Maziah Tunku Mukhtar dan Pengarah Urusan Les" Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Mohd. Radzi.

Majalah itu akan berada di pasaran minggu depan dengan harga RM5.90 senaskhah. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran