TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 3 Februari 2011

Kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir tiba di Jeddah tengah malam ini

03/02/2011 4:02pm

KOTA KINABALU 3 Feb. - Dua penerbangan pertama - Malaysia Airlines dan AirAsia - membawa kira-kira 600 pelajar Malaysia yang menunggu untuk dipindahkan dari Kaherah, Mesir, dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi menjelang tengah malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pesawat Boeing 747 Malaysia Airlines dan A340 AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal hari ini menuju ke Kaherah.

"Sebaik sahaja kedua-dua pesawat ini tiba di sana, kami akan uruskan penerbangan membawa keluar kumpulan pertama pelajar Malaysia dan kami harap, jika semuanya berjalan lancar, mereka akan tiba di Jeddah menjelang tengah malam ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anifah berkata tiga pesawat pengangkut C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas ke Jeddah semalam, akan memulakan penerbangan membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir pagi esok.

"Ketiga-tiga pesawat ini perlu rehat selama 24 jam sebelum meneruskan aktiviti penerbangan biasa,” katanya. - Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Warga Malaysia di UAE tawar penginapan kepada pelajar dari Mesir

03/02/2011 4:40pm

DUBAI 3 Feb. - Rakyat Malaysia yang menetap di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah membuka kediaman mereka untuk pelajar Malaysia yang cuba meninggalkan Mesir ekoran tindakan rakyatnya mengadakan demonstrasi jalanan bagi mendesak Presiden, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Sukarelawan kini menawarkan kemudahan penginapan kepada pelajar berkenaan sementara menunggu ibu bapa atau penjaga mereka mendapatkan tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia menerusi beberapa lapangan terbang di negara Teluk ini.

"Maklum balas di kalangan penduduk Malaysia di sini amat menggalakkan... bukan sahaja mereka yang tinggal di Dubai tetapi juga wilayah lain seperti Sharjah, Abu Dhabi dan Ras Al Khaimah,” kata Presiden Persatuan Malaysia di UAE (My-UAE), Rusli Leman, ketika dihubungi. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 2 Februari 2011

Pemindahan pelajar & rakyat Malaysia dari Mesir - secepat mungkin


Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 2 Feb. – Kesemua rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan situasi sukar di Mesir, dijangka dapat dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam tempoh empat hari setengah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, pemindahan itu akan dilakukan secepat mungkin selepas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat khas milik Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia tiba di Kaherah.

Selain itu, katanya, Kapal Bunga Mas 5 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden juga akan digunakan untuk memindahkan rakyat Malaysia.

“Keutamaan kita adalah bagi memindahkan dahulu pelajar dan rakyat Malaysia ke Jeddah dan kemudiannya barulah dibawa balik ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

“Jika keadaan berjalan lancar, kita menjangkakan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia akan dipindahkan setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lebih 11,000 rakyat Malaysia direkodkan berada di Mesir dan pelajar mencatatkan jumlah tertinggi.

Menurut Anifah, tiga pesawat C-130 TUDM dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini manakala pesawat A320 milik AirAsia pula akan berlepas ke Kaherah pada pukul 2.30 petang ini.

Tambahnya, pesawat Boeing 747 milik MAS yang boleh membawa 285 penumpang pula dijadualkan berlepas ke Kaherah, Mesir, esok.

Katanya, turut serta dalam pesawat AirAsia yang membawa makanan hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menghubungi Raja Arab Saudi bagi membolehkan rakyat Malaysia yang keluar dari Mesir ke Jeddah dikecualikan daripada visa.

Tambahnya, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Mesir bagi memudahkan pemindahan rakyat Malaysia ke Arab Saudi.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam berhadapan situasi yang sukar ini, kerajaan turut bekerjasama dengan Indonesia bagi mengeluarkan rakyat kedua-dua negara itu ke Jeddah.

“Kita telah bersetuju untuk membantu antara satu sama lain, jika terdapat kekosongan di dalam pesawat (Indonesia), mereka akan turut membawa rakyat kita begitulah sebaliknya kita akan membuat perkara yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa pelajar supaya bersabar dan tidak pergi ke Mesir bagi mengelakkan mereka turut terkandas.

Source: Utusan Malaysia Online.

Semua mangsa bah dapat wang ihsan

Tarikh: 2011/02/02

Agihan bantuan selepas MKN nilai kerosakan


LABIS: Kerajaan akan mengagihkan wang ihsan bagi meringankan beban rakyat yang menjadi mangsa banjir di seluruh negara, termasuk kerosakan kawasan pertanian dan harta benda yang akan dibuat selepas banjir pulih, kata Datuk Seri Najib Razak


Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat 13,826 keluarga atau 60,389 mangsa banjir seluruh negara ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara sehingga semalam. Perdana Menteri berkata, nilai kerosakan itu akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut kadar dan formula sedia ada termasuk perbincangan dengan kerajaan negeri sebagai usaha Kerajaan Pusat membantu mangsa banjir.

“Kita membantu bukan saja dari segi makanan, tetapi bantuan wang ihsan supaya dapat membantu mereka kembali membersihkan rumah dan sedikit sebanyak membeli peralatan yang mereka perlukan.

“Kita akan bagi bantuan ehsan menggunakan kadar yang ada termasuk kerosakan sektor pertanian dan keadaan rumah bagi kadar seragam untuk mereka semua,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Ayer Panas, dekat sini semalam.

Turut serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof Jamilah Ariffin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.
Najib berkata, setakat ini kerajaan belum dapat membuat anggaran mengenai nilai kerosakan termasuk harta benda yang disebabkan banjir itu kerana yang penting ketika semua mangsa banjir dipindahkan ke tempat selamat dan diberi bantuan.

Katanya, banjir yang berlaku tahun ini adalah fenomena luar biasa susulan jumlah hujan dalam tempoh 24 jam menyamai kadar selama dua bulan dan ia adalah kesan pemanasan global serta perubahan iklim yang melanda hampir semua negara seluruh dunia sehingga menyebabkan berlakunya perubahan cuaca luar biasa berbanding masa lalu.

Beliau berkata, 20 platun anggota tentera dikerah membantu mengeluarkan mangsa banjir termasuk penggunaan trak 10 tan ke kawasan yang ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan lain.

Najib berkata, beliau berpuas hati dengan tindakan pantas diambil semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, negeri dan semua agensi berkaitan termasuk polis dan tentera yang membantu menyelamatkan mangsa banjir.

Katanya, apa yang menarik perhatiannya ketika membuat tinjauan di pusat pemindahan sementara itu apabila mangsa banjir memaklumkan mereka mendapat makanan segar seperti ayam, daging dan kambing.

“Mereka memberitahu hanya makan sardin pada hari pertama banjir saja, selepas itu mereka mendapat makanan segar termasuk kari dan keadaan itu adalah lebih baik daripada menu sardin dan biskut kering, " katanya.

Katanya, tinjauan dan peluang bertemu mangsa banjir sekitar Labis memberi kesempatan kepada beliau untuk mengucapkan terima kasih terhadap sokongan penduduk kepada Mohd Azahar selaku calon Barisan Nasional (BN) menerusi kemenangan memberangsangkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahad lalu.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Gerakan sepadu laut, udara keluarkan pelajar kita dari Mesir



2011/02/02
PM umum operasi selamat rakyat Malaysia dilancar


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada BERNAMA di sini, malam tadi.

Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serba guna yang dikawal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar berkenaan.

“Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiyah pada 5 Februari (Sabtu ini). Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” katanya.

Najib juga berkata, beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia bagi melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar Malaysia.
“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok (hari ini) mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.

“Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa pelajar kita ke Jeddah,” katanya sambil menambah kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa, hari ini.

Sementara itu, Kohilan ketika dihubungi Berita Harian malam tadi berkata, operasi membawa keluar rakyat Malaysia secara berperingkat dari Mesir yang menghadapi rusuhan politik bermula hari ini menggunakan pesawat komersial dan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Beliau yang mengetuai pasukan pegawai kanan bagi meninjau keadaan keselamatan di Kaherah, berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dianggap menghadapi ancaman paling serius serta wanita hamil.

“Setakat ini, saya hanya dapat mengesahkan mereka akan dihantar ke beberapa negara jiran terlebih dulu sebelum proses membawa mereka pulang ke tanah air,” katanya yang belum dapat mengesahkan berapa ramai yang terbabit dalam kumpulan pertama yang akan dibawa keluar dari Mesir menerusi misi itu.

Sementara itu, Berita Harian difahamkan tiga pesawat pengangkut C130 TUDM dari 20 Skuadron dan 14 Skuadron kini menunggu kebenaran diplomatik daripada Kerajaan Mesir. Pesawat berkenaan akan berlepas dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Pelajar Malaysia akan dibawa pulang

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.

“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada Bernama di sini.

“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada Bernama di sini.

Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5 iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan.

“Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” katanya.

Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.

“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar-pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, menurutnya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.

“Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa para pelajar kita ke Jeddah,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa esok.

Sementara itu, Kohilan yang berada di Kaherah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pesawat C-130 Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan digunakan bagi membawa keluar pelajar Malaysia di Mesir secara berperingkat ke negara jiran terdekat.

Katanya Dewan Malaysia Abbasiyah, Rumah-Rumah Negeri di Kaherah, dan Rumah Mara di Iskandariah menjadi kawasan perlindungan selamat kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

“Bagi memastikan keselamatan di sana (rumah perlindungan) serta keperluan harian mencukupi, kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan serta menyalurkan dengan segera bekalan makanan serta keperluan yang lain,” katanya.

Terdahulu, beliau dan Sahlan Ismail yang mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Rumah Negeri dan wakil-wakil pelajar di Mesir, mendapati rata-rata pelajar Malaysia berada dalam keadaan terkawal dengan moral mereka tinggi.

Sementara itu, Sahlan berkata, pegawai kedutaan ditempatkan dengan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk membantu pelajar dan warganegara Malaysia yang terkandas.

“Kami hadapi masalah untuk berikan bantuan makanan dan minuman ekoran laluan di bandar dan lorong dikawal oleh penduduk Mesir yang berdemonstrasi, jadi tugas pegawai kedutaan adalah untuk menyediakan makanan, dan minuman di samping membantu dalam urusan tempahan tiket,” katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini 150 pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak Sabtu lepas berjaya pulang ke tanah air dengan pembiayaan sendiri menerusi Oman, Abu Dhabi dan Amsterdam.

“Kami jumpa mereka di lapangan terbang dan beri kata-kata semangat sebelum mereka pulang, kami juga akan usahakan untuk (bawa pulang) yang lain,” katanya.

Sahlan berkata, dalam masa yang sama rakyat Malaysia atau ibu bapa khususnya dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Mesir memandangkan amat sukar untuk mendapatkan penerbangan pulang, di samping kesesakan lapangan terbang dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kerajaan dan pejabat kedutaan akan terus menyalurkan maklumat mengenai perkembangan semasa kepada semua pelajar dan pegawai-pegawai Malaysia di

Mesir serta kepada rakyat Malaysia. – BERNAMA

Source; Utusan Malaysia Online.

Selamat Tahun Baru Cina


Penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pembaca berketurunan Cina.

Selasa, 1 Februari 2011

Antara Dr. Mahathir, Nik Aziz dan Kuan Yew

Oleh Zaini Hassan

SAYA merasakan terlalu rugi jika tidak memetik penuh tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang terbaru dalam chedet.co.cc bertajuk “Nik Aziz dan Kuan Yew” bagi tujuan mereka yang tidak boleh mengikutinya melalui Internet.

Dr. Mahathir telah mengulas kenyataan Nik Aziz yang sentiasa diulang-ulangnya mengatakan Islam tidak boleh menerima perjuangan berteraskan Melayu atau kebangsaan. Istilah bangsa atau Melayu bagi Nik Aziz tidak wujud dalam dirinya. Baginya Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali bersatu kerana jika ia bersatu, ia akan menjadi UMNO. Maka sebaliknya, jika Pas pun mengakui kewujudan konsep kebangsaan, maka ia bukan lagi Pas.

Semasa kempen pilihan raya kecil Tenang, Nik Aziz menuduh perjuangan UMNO itu sebagai ‘jahiliyah’. Oleh itu, beliau meminta pengundi supaya jangan sokong UMNO atau orang Melayu kerana mereka itu ialah jahiliyah. Mengundi parti yang berteraskan kemelayuan atau kebangsaan ialah jahiliyah.

Sebaliknya, beliau menyokong dan mempertahankan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew alias Harry Lee, yang baru-baru ini meminta umat Islam republik itu supaya melonggarkan pegangan agama yang dianuti mereka jika mahu hidup dalam komuniti ultra-moden Singapura. Kuan Yew yang tidak percayakan Tuhan dan agama (agnosticism) cuba menerapkan doktrin itu di kalangan orang Islam Melayu republik itukah?

Bagi Nik Aziz konsep kepartian adik-beradik – PAP (Singapura) dan DAP (Malaysia) boleh diterima dan berteraskan aliran Islam Pas.

Salah seorang pembaca tulisan Dr. Mahathir itu menghantar satu komen dalam blog tersebut dengan memetik ucapan pengasas parti Pas, Dr. Burhanuddin al-Helmy pada Malam Merdeka 1960 yang berbunyi: “Dalam perjuangan kita (Pas) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus-menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.”

Penulis komen itu, satD, mengakhiri tulisannya dengan berkata: Apa sudah jadi sama Pas? (Komen-komen lain ikuti: http://chedet.co.cc)

Bagi saya: Bukan apa sudah jadi sama Pas, tapi apa sudah jadi sama Nik Aziz. Sebenar-benarnya, Nik Aziz ini hanyalah ahli politik bertaraf political animal, yang bermain kata mengikut kesesuaian politiknya.

Semalam semasa berucap di wacana bertajuk “Bangsa Melayu dan Masa Depannya” anjuran Mubarak di Memorial Tun Hussein Onn (bangunan Jabatan Perdana Menteri lama), Dr. Mahathir menegaskan: ‘‘Kali ini jika kita hilang kuasa, saya khuatir kita tidak boleh berdiri atas kaki kita sendiri lagi. Walaupun Hang Tuah telah berkata Melayu Takkan Hilang Di Dunia – namun pada masa itu semasa kita pergi ke kuburnya, kita akan berkata ‘‘maaf, Melayu sudah hilang...”

Berikut ialah petikan penuh tulisan terbaru Dr. Mahathir (bagi pembaca yang tiada talian Internet) bertajuk:

NIK AZIZ DAN KUAN YEW

1. Kata Nik Aziz, “Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew”. Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kuan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk keislaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.

4. Pas turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila Pas mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO, larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang Pas dari orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga Pas ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila Pas bertanding dalam Pilihan Raya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.

6. Kemudian Pas bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihan Raya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO dikeluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu Pas mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Source: Utusan Malaysia Online.

Majlis Makan Tengahari Di OUM Kuala Lumpur.

By Idris Ismail Talu.

Photo: Courtesy Dr Richard Ng.


Majlis makan tengahari bersama VVIP Open University Malaysia, iaitu bersama President/Vice-Chancellor – Professor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Datuk Ir. (Dr) Haji Ahmad Zaidee Laidin (ahli lembaga pengarah), Senior Vice President - Prof Dr. Mansor Fadzil, Vice President - Prof. Ir Dr Rosli Hamir, dan Deputy Vice President – Prof Dr Sha’ari Abd Hamid di kampus induk OUM Kuala Lumpur.

Penulis hadir bersama Pengarah OUM Perak, Dr Richard Ng dan beberapa orang pelajar lagi.

http://idristalu.blogspot.com/

Limau Tambun

By Idris Talu
Limau Tambun merupakan sejenis limau bersaiz besar yang banyak ditanam di sekitar bandar Ipoh terutamanya di sekeliling pekan kecil Tambun di Hulu Kinta.


Hentian Limau Tambun
Di Jalan Dr. Raja Nazrin Shah, Ipoh.

Hari sudah agak lewat malam,
ramai penjual telah pun menutup jualannya.

Buah limau Tambun yang besar dan segar,
yang baru dipetik dari pokoknya.

Di antara gerai jualan limau Tambun
yang masih dibuka.

Buah limau Tambun segar dari pohonnya.

Boleh didapati dalam pelbagai saiz.

Suasana sekitar pukul sebelas malam di Hentian Limau Tambun.
Limau Tambun atau juga dikenali sebagai limau Bali, yang nama saintifiknya ialah Citrus grandis Osbeck/maxima. Di kalangan mereka yang berbahasa Inggeris ianya dikenali sebagai Pummelo@Pomelo.






Limau Tambun dan kacang tanah merupakan barangan wajib untuk dibeli jika anda berkunjung ke Ipoh. Limau bali dan kacang tanah boleh dibeli di mana saja di Ipoh tetapi paling banyak ialah di sekitar Jalan Dr Raja Nazrin Shah (dulunya Jalan Gopeng) dan Jalan Tambun.

Suasana di depan Hentian Limau Tambun sekitar jam 11.00 malam tadi.


Buah limau Tambun dikatakan banyak mengandungi vitamin A dan C yang amat diperlukan badan manusia. Kulit buahnya yang tebal boleh dibuat halwa dan kudapan yang menyelerakan. Isi buah limau tambun yang telah dikopek biasanya menjadi campuran utama dalam makanan Cina yang disebut “Yee Sang” yang biasanya disediakan untuk menyambut Tahun Baru Cina. 

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran