TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Pelajar Malaysia Di Mesir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelajar Malaysia Di Mesir. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Februari 2011

5 penerbangan MAS dari Mesir hingga Sabtu

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Malaysia Airlines System (MAS) akan meneruskan misi membawa keluar penuntut dan rakyat Malaysia dari Mesir melalui Ops Piramid sehingga Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu mengumumkan akan melakukan lima lagi penerbangan membawa mereka yang terlibat dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.

"Sehingga kini MAS melakukan 11 penerbangan. Ramai lagi dijangka pulang ke tanah air pada hujung minggu ini," ujar kenyataan itu.

Pada fasa pertama operasi itu, MAS berjaya membawa keluar 3,431 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah sementara sehingga semalam seramai 1,274 orang sudah sampai ke tanah air dari Jeddah.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin memberitahu, seramai 14,000 penuntut Malaysia dilaporkan mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk dibawa keluar dari Mesir.

Menurutnya, MAS akan terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan misi membawa pulang penuntut dan rakyat Malaysia dari negara bergolak itu.

Kata Tengku Azmil, kesudian Mesir dan Arab Saudi membenarkan MAS mendarat di lapangan terbang negara itu adalah kunci kelancaran operasi tersebut.

Jelasnya, sudah bertahun-tahun MAS membina dan berusaha mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua negara itu.

Source: Utusan Malaysia Online

Rabu, 9 Februari 2011

Operasi kedua bantu penuntut keluar dari Mesir

PEKAN 9 Feb. - Kerajaan akan menimbang bagi mengadakan operasi pemindahan kedua untuk penuntut Malaysia yang enggan keluar dari Mesir jika pergolakan di negara itu tidak menemui jalan penyelesaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini kumpulan terbabit diminta menjaga diri dan berhati-hati ketika berada di negara bergolak itu serta tidak melakukan perbuatan yang boleh mendedahkan risiko lebih tinggi kepada mereka.

"Sepatutnya mereka perlu balik (keluar dari Mesir) semasa operasi pemindahan baru-baru ini tetapi kalau keadaan begitu cemas maka kerajaan boleh pertimbangkan bantuan untuk membawa mereka keluar dari negara itu," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Ops Piramid yang dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dalam membawa keluar lebih 6,000 penuntut Malaysia dari Mesir.

Najib memberitahu, misi yang dilakukan itu bersifat nasional dan beliau berpuas hati dengan tindakan diambil bagi membawa keluar para penuntut berkenaan.

Tambahnya, operasi itu bukan sahaja melibatkan kerajaan tetapi juga pihak-pihak lain yang memberi kesan bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Ramai yang tidak menjangka bahawa kerajaan bawa balik para pelajar terbabit dalam tempoh singkat dan kita berjaya melakukannya," katanya.

Mengenai kebajikan penuntut yang pulang ke negara ini Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan beberapa langkah tertentu diambil supaya pelajaran mereka tidak terjejas.

Tambahnya, perkara itu diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan seterusnya.

Ditanya mengenai peranan kerajaan Malaysia dalam menjadi orang tengah antara Pertubuhan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang bermula hari ini, Najib berkata, peranan Malaysia masih lagi diperlukan.

Menurutnya, rundingan itu diteruskan berikutan kedua-dua pihak bersetuju memilih Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi ketika ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Malaysia Mesir patut cari kesepakatan selesai urusan pengajian pelajar

2011/02/09

TANGGUNGJAWAB kerajaan
menguruskan lebih 9,000 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir belum selesai, walaupun misi membawa keluar dari negara itu dan pulang ke tanah air sudah disempurnakan sejak tiga hari lalu.

Ketika ini aspek kritikal pengurusan pelajar terbabit ialah menentukan status cuti dan pengajian mereka serta mencari penyelesaian segera masalah pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan di universiti masing-masing yang dijadual minggu depan. Usaha itu sedang dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membabitkan kira-kira 1,200 pelajar Malaysia jurusan perubatan di Universiti Al-Azhar dan Universiti Tanta yang dijangka terlepas menduduki peperiksaan mulai 12 Februari ini.

Dengan bantuan MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Petronas, diharapkan KPT dapat menyelesaikan urusan berkenaan dalam tempoh terdekat dengan pihak universiti di Mesir. Sebarang keputusan mengenai masa depan pelajar yang terjejas perlu berlandaskan banyak faktor, termasuk aspek keselamatan kerana kebanyakan pelajar kita di Mesir tinggal di luar kampus.

Dengan keadaan negara yang tidak stabil dan kedudukan politik tidak menentu, selain pihak berkuasa Mesir yang tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan, KPT dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Kaherah perlu mencapai kata putus mengenai kedudukan cuti dan peperiksaan pelajar terbabit. Ketiga-tiga pihak MARA, JPA dan Petronas perlu membuat pendirian dan keputusan sebulat suara bagi mencerminkan komitmen mereka dalam perundingan bersama KPT dengan pihak terbabit di Mesir.

Kita berharap semua usaha kerajaan membantu pelajar Malaysia di Mesir tidak akan dipersoal, apatah lagi difitnah atau dipolitikkan.

Kita yakin ibu bapa dan pelajar terbabit dapat menilai antara kaca dan permata, walaupun ada pihak cuba mengelirukan mereka berbanding keprihatinan kerajaan melaksanakan misi menyelamat yang begitu mencabar dan berisiko. Poster dan sepanduk ucapan terima kasih yang dipaparkan pelajar ketika menuruni tangga pesawat dan berkumpulan dengan keluarga membuktikan bahawa tanggungjawab kerajaan itu benar-benar bermakna dan dihargai. Penghargaan begini sudah pasti menggembirakan semua pihak, termasuk pasukan petugas menyelamat kerana penat lelah mereka dihargai.

Sebenarnya masih banyak perlu diurus kerajaan dalam tempoh terdekat ini, termasuk menyelesaikan soal kos tiket penerbangan dan kemudahan lain ketika urusan pelajar kembali ke Mesir apabila keadaan mengizinkan kelak. KPT juga boleh memikirkan alternatif lebih praktikal seperti membenarkan pelajar terbabit menghabiskan baki pengajian di Malaysia. Untuk meramalkan keadaan politik semasa dan akan datang di Mesir terus aman masih samar, sedangkan pelajar perlu meneruskan pengajian dalam suasana kondusif dan keselamatan terjamin.

Pada masa sama, soal keselamatan kira-kira 2,000 lagi pelajar kita di Mesir yang mengambil keputusan tidak mahu pulang melalui Operasi Piramid perlu terus dipantau bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku ke atas mereka. Sememangnya satu tanggungjawab berat kerajaan bagi memastikan pelajar terbabit selamat dan dapat meneruskan pengajian bagi menghadapi peperiksaan semester dan tahun akhir.

Sudah tidak timbul lagi tuduhan kononnya kerajaan tidak prihatin pada nasib rakyat kita di Mesir, wujud diskriminasi politik atau kenegerian sepanjang urusan membawa mereka pulang kerana sudah terpancar pada muka setiap pelajar tanda terima kasih dan bersyukur atas segala usaha dilakukan kerajaan.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Jasa baik Arab Saudi dihargai

JEDDAH 8 Feb. - Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berusaha mengeluarkan lebih 5,000 pelajar dari Mesir yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini, sebelum Ahad ini.

Pengarah MKN Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata, bagi menghargai jasa baik kerajaan Arab Saudi, pihak sekretariat yang bertanggungjawab membawa keluar para pelajar Malaysia dari Mesir cuba menamatkan misi ini lebih awal.

"Ini adalah kali pertama kerajaan Arab Saudi mengeluarkan visa pada hari ketibaan atas semangat hubungan baik Kuala Lumpur dengan Riyadh.

"Namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempergunakan kemudahan yang disediakan untuk melengahkan usaha membawa keluar rakyat kita di negara ini," katanya ketika dihubungi di Jeddah hari ini.

Beliau yang tiba dengan penerbangan terakhir misi membawa keluar pelajar menggunakan pesawat Hercules C130 TUDM semalam berkata, meskipun operasi di Mesir sudah ditamatkan, ia tidak bermakna Kerajaan tidak memantau perkembangan keselamatan di negara itu.

"Masih ramai pelajar kita yang mengambil keputusan tidak mahu pulang kerana misi ini adalah sekadar mengeluarkan mereka dari sana secara sukarela," katanya.

"Kita akan membuat keputusan lain andai keadaan bertambah buruk termasuk langkah memaksa mereka keluar dari Mesir. Bagaimanapun ketika ini keadaan di sana masih terkawal," kata beliau.

Tajudeen berkata, para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan dihantar pulang dalam masa terdekat kerana sudah tiada lagi keperluan untuk mereka berada di sini.

"Andai keadaan memaksa kita tiada masalah untuk menggerakkan mereka semula ke sini, berpandukan kepada pengalaman kita sebelum ini sewaktu Operasi Piramid bermula," menurutnya. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.

Selasa, 8 Februari 2011

Gambar-Gambar Sekitar Proses Pemindahan Pelajar Malaysia Dari Mesir



Source: Utusan Malaysia Online.

Gambar-gambar sekitar proses pemindahan pelajar Malaysia dari Mesir





Source: Berita Harian Malaysia Online.

Penghantaran pulang 5,000 pelajar di Mesir selesai sebelum Ahad

08/02/2011 6:12pm

JEDDAH 8 Feb.
- Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berusaha mengeluarkan lebih 5,000 pelajar dari Mesir yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini, sebelum Ahad ini.

Setiausaha MKN, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata, bagi menghargai jasa baik kerajaan Arab Saudi, pihak sekretariat yang bertanggungjawab membawa keluar para pelajar Malaysia dari Mesir cuba menamatkan misi ini lebih awal.

"Ini adalah kali pertama kerajaan Arab Saudi mengeluarkan visa pada hari ketibaan atas semangat hubungan baik Kuala Lumpur dengan Riyadh.

"Namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempergunakan kemudahan yang disediakan untuk melengahkan usaha membawa keluar rakyat kita di negara ini,” katanya ketika dihubungi di Jeddah hari ini. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online

Ahad, 6 Februari 2011

Operasi Piramid diteruskan walaupun keadaan di Mesir semakin pulih- Kohilan

2,000 Tak Balik
Oleh Faiza Zainudin, faiza@bharian.com.my
2011/02/07



KUALA LUMPUR: Operasi Piramid bagi membawa rakyat Malaysia di Mesir keluar daripada negara bergolak itu diteruskan, walaupun lebih 2,000 pelajar dan mereka yang bekerja di sana tidak mahu pulang kerana beranggapan krisis semakin pulih dan akan berakhir dalam masa terdekat.

Kebanyakan pelajar yang enggan pulang tinggal di kawasan zon selamat seperti di Tanta, Mansurah dan Damanhur yang jaraknya beratus-ratus kilometer dari tempat rusuhan sekitar bandar raya Kaherah dan Iskandariah.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata pelajar berkenaan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran kerana akan menghadapi peperiksaan penting tidak lama lagi serta khuatir sukar mendapat rumah sewa baru jika pulang ke tanah air dan perlu menyediakan wang mencukupi untuk kembali semula.

“Kita sudah minta mereka balik dan menyediakan segala kemudahan diperlukan termasuk membiayai kos perjalanan, tapi mereka tetap tidak mahu pulang.
Keputusan membawa pulang bukannya wajib. Jika keadaan kritikal pada tahap merah memang kita paksa mereka keluar, tetapi sekarang tahapnya sudah jatuh antara oren ke kuning, jadi kita tidak boleh paksa mereka.

“Jika mereka nak terus duduk di sana, kita benarkan dengan syarat isi borang pengesahan daripada keluarga atau diri sendiri. Pada masa sama, keadaan keselamatan mereka akan terus dipantau pegawai kita kerana pusat operasi terus dibuka sehingga pergolakan selesai,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Kohilan yang baru pulang dari Kaherah pagi semalam berkata, pemantauan sehingga semalam, mendapati keadaan di negara itu sudah mula pulih dengan aktiviti ekonomi mulai rancak beroperasi berikutan kesediaan Presiden Mesir, Hosni Mubarak berundur daripada kerajaan dan memberi laluan kepada barisan pentadbiran baru.

“Keadaan semakin tenang, kedai sudah mulakan perniagaan, pasar pun sudah beroperasi dan begitu juga bank yang ditutup sejak lapan hari lalu.

Bagaimanapun, sukar diramal dan keadaan mungkin kembali tegang jika rakyat tidak suka dengan kepemimpinan kerajaan baru,” katanya sambil menambah jika ia berlaku, misi bantuan menyelamat pelajar yang tidak mahu pulang akan digerakkan semula.

Katanya, sehingga semalam, kerajaan berjaya membawa keluar lebih 7,000 pelajar dan rakyat Malaysia ke Jeddah, Arab Saudi.

Misi menyelamat dilakukan dalam tempoh empat hari bermula Rabu lalu membabitkan hampir 300 sukarelawan daripada 70 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Hari ini saja, kita akan cuba pindahkan 2,000 pelajar ke Jeddah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Jika tak dapat pindah semua, operasi akan disambung sampai esok. Yang setuju nak balik dan daftar dengan kita lebih 9,000 daripada jumlah keseluruhan rakyat berdaftar di Mesir seramai lebih 11,000 orang.

“Esok (hari ini), kita akan tumpukan misi membawa mereka pulang dari Jeddah ke tanah air yang penerbangan pertama dijangka sampai jam 9.30 pagi esok menerusi MAS (Malaysia Airlines),” katanya.

Dua penerbangan ditaja anakanda Raja Saudi

MIRI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan dua penerbangan ditaja oleh anakanda Raja Arab Saudi, Putera Turki Abdullah Al-Saud, untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Jeddah ke negara ini.

"Saya di sini (Miri) dan belum menerima laporan terkini. Saya cuma mendapat pengesahan penerbangan ditawarkan anakanda Raja Abdullah iaitu Putera Turki, sudah disahkan.

"Dua pesawat beliau tawarkan. Jadi saya akan sampaikan butirannya kepada pihak berkenaan," katanya pada sidang media di Miri, semalam.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Sabtu, 5 Februari 2011

Gigih urus pemindahan pelajar

Oleh Johardy Ibrahim

''Dicampak ke Jeddah macam binatang,'' tertera ayat daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang jelas memaparkan rasa tidak puas hati seseorang mengenai layanan yang diterimanya semasa misi pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Mesej ringkas tersebut menjadi perbualan di kalangan petugas dan sukarelawan yang membantu menguruskan pemindahan kira-kira 11,400 pelajar yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Mesir. Itu bilangan yang berdaftar. Dianggarkan lebih 5,000 lagi yang berada di Mesir tetapi tidak mendaftarkan diri mereka.

Bagaimanakah rungutan sedemikian boleh timbul tatkala semua pihak di Kaherah dan Jeddah memerah tenaga bagi memastikan kelancaran misi Ops Piramid tersebut?

Pemerhatian Mingguan Malaysia di Jeddah mendapati sistem sokongan di situ adalah memuaskan. Para pegawai Kedutaan Malaysia diketuai Dutanya, Datuk Dr. Mohd. Fakhirudin Abdul Mukti yang dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan khususnya Tabung Haji telah mengatur penyediaan bas yang selesa menuju ke Madinatul Hijjaj, iaitu kompleks haji yang boleh memuatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

Tabung Haji juga telah mengenal pasti maktab dan hotel tertentu di sekitar Jeddah untuk memuatkan keseluruhan 11,400 pelajar Malaysia dari Kaherah. Bagi Tabung Haji, ia memiliki pengalaman mengendalikan 35,000 jemaah haji, jadi setakat 11,400 orang adalah dalam bidang keupayaannya.

Sebagai lokasi penempatan bagi jemaah haji juga, Madinatul Hijjaj adalah sebuah kompleks penginapan yang dilengkapi dengan keperluan asas merangkumi klinik perubatan dan restoran makanan.

Ketibaan rombongan media menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C-130 pada tengah malam Khamis adalah serentak dengan ketibaan kumpulan pertama pelajar yang dikeluarkan dari Mesir melalui Penerbangan Malaysia dan AirAsia. Kami bersama-sama menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah ke Madinatul Hijjaj.

Pada saat dan tika artikel ini ditulis, operasi pemindahan dilakukan serentak menerusi dua pesawat komersial iaitu masing-masingnya dari MAS dan AirAsia; tiga pesawat Charlie milik TUDM dan sebuah kapal TLDM.

Kesukaran sememangnya wujud. Ini kerana ia adalah operasi pemindahan besar-besaran yang julung kalinya dilakukan oleh kerajaan Malaysia dari sesebuah negara. Apatah lagi, di peringkat permulaan hanya terdapat lapan pegawai di Kedutaan Mesir yang ditugaskan mengatur urusan ketibaan dan pelepasan pesawat, mengendalikan senarai pelajar dalam bilangan sebegitu besar dan tidak dilupakan, reaksi daripada negara tuan rumah (Mesir) serta negara yang memberi tumpang (Arab Saudi).

Beban

Hanya pada Jumaat, bantuan tenaga manusia tiba bagi mengurangkan sedikit beban tugas pegawai Kedutaan Mesir. Dua pegawai Wisma Putera dari ibu pejabat turut sama mengikuti penerbangan yang tidak selesa tetapi cekap menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia Charlie C-130 dari Kuala Lumpur pada 9 malam Rabu lalu ke Maldives, kemudian ke Abu Dhabi sebelum ke Jeddah dan akhirnya tiba di Kaherah pada pukul 6 petang waktu tempatan (hampir 48 jam untuk tiba ke destinasi!).

Bantuan juga didatangkan dari Kedutaan Malaysia di Kuwait, Jordan dan Libya selain sebilangan pelajar Malaysia yang menawarkan diri menjadi sukarelawan. Turut serta ialah petugas dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang membantu mengendalikan urusan makanan dan minuman sepanjang pelajar menanti giliran menaiki pesawat di lapangan terbang Kaherah.

Malah kehadiran bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga membantu melancarkan lagi usaha memberi keselesaan kepada para pelajar terbabit. Kami melihat kedua-dua pemimpin tersebut mengeluarkan duit sendiri untuk mengadakan peralatan atau makanan tambahan yang diperlukan.

Menurut wartawan TV3, Razali Awang yang tiba di sini sejak empat hari lalu, beliau telah menyaksikan para petugas kedutaan bertungkus-lumus selama 24 jam menguruskan operasi pemindahan besar-besaran tersebut.

Malah, ia disaksikan sendiri oleh Utusan Malaysia yang mendapati empat pegawai kedutaan dibantu oleh pelajar sukarelawan masih terus menyusun dan mengatur senarai pelajar sehingga 5 pagi waktu tempatan. Razali berkata, mereka telah bekerja sejak pagi lagi tanpa henti.

Pegawai-pegawai kedutaan telah bekerja keras bagi memastikan keselesaan semua pelajar. Hinggakan terpaksa melanggar perintah berkurung demi untuk membawa bekalan makanan kepada para pelajar di lapangan terbang. Terdapat kes terpencil bila pelajar yang diberikan makanan roti, merungut sambil berkata, ''kami tak makan roti, kami nak nasi lemak''.

Wartawan yang mendengar ayat itu pada mulanya tidak mengendahkan rungutan sebegitu. Ia mungkin hanya luahan dari pelajar yang penat menunggu. Tetapi ia juga secara tidak langsung menggambarkan watak pelajar Malaysia itu sendiri yang 'terlampau manja'.

Para pelajar haruslah mengerti bahawa apa yang mereka lalui iaitu proses pemindahan tersebut adalah dilaksanakan ekoran suasana darurat di Mesir. Bila waktu darurat, segalanya tidak akan dapat dinikmati seperti layanan kelas perniagaan. Akan ada makanan yang tidak menyelerakan, akan ada penerbangan yang lama tersadai di landasan dek kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan dan akan ada bas yang terlewat menghantar ke destinasi.

Tatkala di pihak Malaysia berusaha gigih, harus diketahui bahawa apabila berurusan dengan negara asing masih wujud kerenah birokrasi yang luar biasa tebalnya di hari ini. Namun, ia diatasi dengan penuh diplomasi oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman dalam hubungan dua hala.

Para pelajar terbabit, hendaklah bersabar jika tidak mahu berterima kasih sekali pun kepada kerajaan atas inisiatif yang diusahakan. Janganlah mencemuh dan membidas, menceritakan rasa tidak puas hati yang tidak munasabah bila yang biasa dinikmati tidak dapat disediakan. Ingatlah ini adalah waktu darurat.

Source: Mingguan Malaysia Online

Pemindahan pelajar ke Jeddah dijangka selesai hari ini

06/02/2011 8:35am

KAHERAH 6 Feb
— Operasi memindah keluar semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dijangka berakhir hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya sedang berusaha membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu kembali ke tanah air.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra akan berusaha menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok, katanya kepada pemberita Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya kelewatan mungkin berlaku jika pemindahan itu mengalami masalah birokrasi, cuaca buruk dan kebenaran berlepas yang lewat diberikan oleh pihak berkuasa lapangan terbang di mana pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia beroperasi. — Bernama

Source: Mingguan Malaysia Online

Jumaat, 4 Februari 2011

Asrama haji negara lain jadi alternative

Mampu tampung 2,200 penghuni

KUALA LUMPUR:
Kerajaan menimbang untuk menggunakan kemudahan asrama jemaah haji milik Arab Saudi di Jeddah sebagai penempatan sementara rakyat Malaysia yang dibawa dari Kaherah, jika asrama milik Lembaga Tabung Haji tidak mencukupi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun yakin asrama Tabung Haji di Jeddah mampu menampung 2,200 penghuni pada satu-satu masa. “Kita boleh tambah katil dan tilam tetapi jika perlu dan andai tempat masih tidak mencukupi kita akan meminta bantuan kerajaan Arab Saudi untuk menggunakan asrama haji negara lain yang ada di situ.

“Alternatif lain, misalnya menggunakan penempatan yang berhampiran dengan asrama milik Tabung Haji seperti dilakukan sebelum ini (musim haji),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, kemudahan itu penting berikutan kedudukan Jeddah sebagai transit atau penempatan sementara bagi rakyat Malaysia sebelum dihantar pulang ke tanah air yang dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata, kerajaan akan membawa keluar semua pelajar terbabit secepat mungkin berikutan suasana yang semakin tidak stabil akibat pergolakan yang semakin meruncing.
"Kita sedang mengambil langkah terbaik untuk membawa mereka dengan selamat dan ini adalah amanat Perdana Menteri yang mahu supaya semua yang terbabit dengan misi ini memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia di sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay, berkata seramai 3,000 lagi pelajar akan dibawa keluar hari ini menggunakan penerbangan ihsan terbabit dan akan dibawa ke Jeddah.

“Kita akan membawa keluar mereka secara secara berperingkat-peringkat.
Hingga kini sebanyak 1,000 pelajar sudah dibawa keluar melalui laluan air ke pelabuhan Suez untuk menaiki KD Bunga Mas ke Jeddah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa rakyat Malaysia yang dipindahkan ke Jeddah dikenakan bayaran untuk makanan dan kos pengangkutan, beliau berkata dakwaan itu adalah tidak benar.

“Kepada pihak yang membuat dakwaan itu saya kira eloklah mereka hentikan perbuatan itu, kerana mereka (rakyat Malaysia) tidak minta perkara ini berlaku dan ibu bapa hanya mahu anak mereka pulang dengan selamat.

“Kilang fitnah asyik berjalan, dalam situasi kini apa yang kerajaan lakukan adalah melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Pelancong Arab bimbang pergolakan di Asia Barat

2011/02/05

KUALA LUMPUR:
Segelintir pelancong Arab di Malaysia rata-rata sedih dan takut dengan pergolakan yang berlaku di Kaherah dan juga beberapa negara Asia Barat lain.

Pelancong dari Mesir, Mustafa Mohamad, 24, berkata rusuhan yang berlaku di Kaherah itu sudah lama dijangka berlaku berikutan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak yang teruk dan tidak mencapai sasaran terutama terhadap pembangunan ekonomi di Mesir. “Hosni Mubarak seharusnya memikirkan bagaimana menyelesaikan pergolakan yang berlaku dan pada pendapat saya sekarang bukanlah masa yang sesuai bagi beliau berundur kerana boleh menyebabkan banyak lagi masalah berlaku terhadap pemerintahan Mesir,” katanya ketika ditemubual di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Pelajar dari Makkah, Abdullah Aidaros, 27, berkata pergolakan negara Islam Asia Barat menunjukkan penduduk mahukan perubahan terutama pada corak pemerintahan sedia ada.

“Di sana, rakyat menjadi mangsa berikutan kepemimpinan yang tidak telus daripada kerajaan dan rusuhan yang berlaku itu menunjukkan rakyat sudah tidak tahan dengan kepemimpinan sedia ada.

“Di Yaman misalnya, pendapatan bulanan penduduk di sana rata-rata RM14 bersamaan 1,000 riyal berikutan keadaan ekonomi yang teruk,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Iran, Behrood Mohammadi, 45, berkata beliau terpaksa menetap lebih lama di Malaysia berikutan penerbangan untuk pulang ke negaranya tergendala akibat konflik yang berlaku di Mesir itu.
“Banyak lapangan terbang terpaksa ditutup dan ini menyukarkan kami untuk pulang ke negara, tambahan keadaan huru-hara yang berlaku boleh mengancam keselamatan kami,” katanya.

Omid Azizmoein, 25, berkata konflik sama juga berlaku di Iran di mana rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintah dan pergolakan di Asia Barat mempunyai tujuan yang sama iaitu mengubah kepimpinan yang kotor kepada yang lebih baik.

Rakannya, Makhatan Alireza, 31, berkata sebagai seorang Muslim, beliau berasa sedih terhadap pergolakan yang berlaku di Mesir yang juga membabitkan pergaduhan sesama Islam.

“Rusuhan bukanlah satu jalan penyelesaian yang sesuai kerana ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan juga kerosakan harta benda awam.

“Mereka perlu mencari jalan yang sesuai seperti berunding dan mengadakan perbincangan damai agar sesuatu perkara dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Pergolakan yang masuk hari ke-10 semalam memperlihatkan angka bilangan yang terkorban meningkat dan masih belum menunjukkan tanda akan reda.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Mubarak mahu letak jawatan

KAHERAH 4 Feb. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, beliau mahu meletakkan jawatan tetapi khuatir huru-hara akan meletus jika beliau berundur sekarang.

Mubarak, 82, memberitahu wartawan ABC News, Christiane Amanpour dalam wawancara lewat semalam bahawa beliau 'sudah bosan menjadi Presiden dan ingin melepaskan jawatan sekarang, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khuatir negara ini akan terjerumus ke dalam kancah huru-hara'.

Bagaimanapun akhbar New York Times melaporkan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sedang berunding dengan para pegawai Mesir untuk membolehkan Mubarak berundur dengan serta-merta.

Mengikut cadangan itu, Mubarak akan menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan peralihan diketuai Naib Presiden Omar Suleiman dengan sokongan tentera Mesir, lapor NYT dengan memetik kenyataan pegawai White House dan diplomat Arab.

Ketika berhadapan dengan tentangan paling hebat di dalam pemerintahannya, Mubarak baru-baru ini berjanji untuk berundur pada September ini, melantik Suleiman sebagai Naib Presiden dan menawarkan rundingan mengenai pembaharuan.

Namun konsesi itu tidak memadai bagi penunjuk perasaan yang berharap untuk menghimpunkan beribu-ribu rakyat Mesir hari ini bagi demonstrasi pusingan terbaru dalam usaha memaksa Mubarak berundur serta-merta.

Konfrontasi itu menjadi ganas apabila kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir diserang oleh penyokong Mubarak kelmarin, menyebabkan AS meningkatkan tekanan ke atas Mubarak supaya memulakan peralihan kuasa sekarang.

Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berharap mereka akan disertai beribu-ribu orang lagi untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran yang mereka gambarkan sebagai 'Jumaat Hari Pengunduran'.

Sementara itu dalam wawancara berasingan dengan Amanpour, Suleiman menafikan anasir prokerajaan menembak mati kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dalam keganasan kelmarin.

Beliau sebaliknya mendakwa puak prokerajaan 'berkelakuan sangat baik'.

"Tidak. Tiada sesiapa yang mati ditembak dengan raifal atau oleh penembak curi. Tidak mungkin," kata Suleiman

Source: Utusan Malaysia Online.

Pelajar Malaysia ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj

2011/02/05

JEDDAH:
Sebuah bilik gerakan dibuka di pusat transit Madinatul Hujaj di sini yang menempatkan pelajar Malaysia yang dibawa keluar dari beberapa bandar di Mesir yang sedang bergolak.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Mohd Hidayat Abdul Hamid, berkata pusat transit itu mampu menempatkan 3,000 orang pada satu-satu masa. Katanya, setakat ini lebih 300 pelajar telah pun tiba di sini dan jumlah itu akan bertambah berikutan beberapa lagi penerbangan MAS, AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka tiba lewat hari ini. Mohd Hidayat berkata, ibu bapa pelajar yang dipindahkan ke pusat transit itu boleh menghubungi bilik gerakan di talian 009-6626-301678 atau 009-6626-726191 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, sekiranya keadaan memerlukan, pelajar juga akan ditempatkan di Maktab Tabung Haji di sini.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang tentang kebajikan anak mereka ketika berada di pusat transit berkenaan.

Seorang pelajar yang ditemui di pusat berkenaan, Eizat Rejab, 20, berkata bahawa mereka berkumpul di Rumah Negeri Perlis di Kaherah sebelum dibawa oleh pegawai kedutaan Malaysia ke lapangan terbang Kaherah.

Beliau berkata, kumpulan pertama pelajar yang dibawa masuk adalah dari Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan di mana majoritinya adalah wanita.

"Kumpulan kedua pula difahamkan terdiri daripada pelajar dari Selangor dan Sarawak," katanya yang juga penuntut Pengajian Syariah Islami Universiti Al-Azhar Kaherah.

Mohd Ainur Rabbani, 19, penuntut Pengajian Usul Fiqh di Universiti Jordan, berkata beliau yang berada di Mesir untuk bercuti pada mulanya tidak begitu yakin akan dapat keluar dari Kaherah.

Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, merasa lega dengan tindakan kerajaan Malaysia membawa beliau dan rakan-rakan keluar dari negara itu. - BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online

Pesawat TUDM tiba di Mesir

05/02/2011 2:29am

KAHERAH 5 Feb
.
- Pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraha Malaysia (TUDM) mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kaherah di sini, kita-kira jam 6 waktu petang (12 tengah malam waktu Malaysia).

Pesawat yang membawa 180 pegawai termasuk media baru tiba setelah memulakan perjalanan pada Rabu lalu dari Malaysia ekoran pelbagai 'cabaran dan rintangan' di beberapa persinggahan.

Dua pesawat TUDM dijangka memulakan operasi pemindahan pelajar Malaysia serta-merta ke Jeddah di Arab Saudi. Satu lagi pesawat membawa pelajar dari Iskandariah. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Semua perbelanjaan bawa keluar pelajar ditanggung kerajaan

2011/02/04

Daripada Nazmi Yaakub

KAHERAH:
Semua perbelanjaan untuk pemindahan keluar pelajar Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khair Baharom, berkata perbelanjaan itu termasuklah pengangkutan ke lapangan terbang, makanan semasa menanti penerbangan, cukai lapangan terbang sebanyak $AS100 dan penginapan serta makanan di Jeddah.

"Saya beri ingatan apa-apa yang dibesar-besarkan tentang pelajar perlu membayar adalah tidak benar dan tidak memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Ini adalah fitnah (yang dilemparkan) ketika kita dalam keadaan darurat sehingga kita terpaksa jawab fitnah yang sepatutnya tidak berlaku," katanya pada sidang media di Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

3,600 rakyat Malaysia dipindahkan menjelang 6.00 pagi

04/02/2011 @5:05pm

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN


KOTA KINABALU 4 Feb. - Seramai 3,600 rakyat Malaysia di Mesir akan dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi menjelang 12 malam ini (waktu Mesir) atau 6 pagi waktu Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pemindahan yang bermula sejak semalam itu melibatkan tiga pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia dan empat pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Jangan politikkan usaha kerajaan selamatkan rakyat Malaysia di Mesir - Muhyiddin

04/02/2011 @ 4:51pm

MUAR 4 Feb.
- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan pelan tindakan menyelamat dan membawa pulang 11,000 rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir.

Beliau menegaskan, usaha menyelamat itu bukan perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan perancangan rapi.

"Kita mahu mengambil langkah secepat seperti yang kita mahu, tetapi kerana ada peraturan-peraturan tertentu bukan sahaja di Mesir bahkan kita perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Arab Saudi untuk menempatkan anak-anak kita di Jeddah.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mendapat kebenaran Arab Saudi, tetapi bukan mudah untuk melaksanakan,” katanya pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan kawasan Dewan Undangan Negeri Jorak di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Bukit Pasir di sini hari ini. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Perintah berkurung dan hak pendaratan sulitkan operasi

04/02/2011 @ 5:02pm

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Misi ”Ops Piramid” untuk memindahkan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir berhadapan dengan kekangan perintah berkurung dan hak pendaratan di lapangan terbang terlibat.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, perintah berkurung yang sebelum ini bermula dari pukul 4 petang hingga 8 pagi keesokannya kini telah dipercepatkan kepada pukul 1 petang.

"Kita terpaksa bergerak cepat untuk memastikan ramai pelajar dan rakyat kita (Malaysia) dapat dipindahkan kerana waktu yang ada begitu terhad dan ketika itulah kita nak bawa semuanya ke lapangan terbang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hak pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah juga agak sukar diperolehi akibat daripada keadaan tegang di Mesir.

Kohilan berkata, operasi hari ini akan mula bergerak ke kawasan luar Kaherah antaranya ke Iskandariah, Mansura, Tanta, Zagazig serta daerah lain untuk memindahkan rakyat Malaysia. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Khamis, 3 Februari 2011

Indonesia minta negara ASEAN saling melindungi di Mesir

Tarikh: 04/02/2011 3:37am

JAKARTA, 4 Feb
— Indonesia semalam meminta negara anggota ASEAN supaya saling memberi kemudahan dan bantuan dalam melindungi keselamatan rakyat rantau itu yang terperangkap dalam pergolakan di Mesir.

Menteri Luarnya, Marty Natalegawa berkata semua negara anggota ASEAN perlu mengadakan koordinasi dalam memantau keadaan di Mesir serta mengambil tindakan memindahkan rakyat masing-masing dari negara itu.

Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran