TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Selasa, 31 Januari 2012
Melayu paling ramai tidak daftar mengundi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berdasarkan kajian pihaknya mendapati orang Melayu memandang remeh perkara itu dengan memberikan pelbagai alasan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan sebenar orang Melayu yang terbabit daripada jumlah terkini 3.7 juta orang yang layak mendaftar tetapi tidak berbuat demikian.
"Ada yang memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar. Malah ada yang mengatakan tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada pegawai pengurus pilihan raya negeri di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan golongan itu agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab pada pilihan raya umum nanti.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, hanya 50 responden memberikan maklum malas daripada 42,057 orang yang disenaraikan sebagai pengundi meragukan.
"Daripada 50 orang itu, 26 masih aktif manakala 24 lagi tidak dapat dipastikan status mereka," jelasnya.
Oleh itu, katanya, seramai 42,031 nama lagi akan digugurkan daripada senarai pemilih selepas tarikh semakan berakhir hari ini.
Sementara itu Abdul Aziz menjelaskan, cadangan untuk mengadakan proses pengundian awal bagi pengundi di luar negara tidak dapat dilakukan dan akan kekal dengan kaedah sedia ada iaitu undi pos.
"SPR ada meminta kerjasama Wisma Putra untuk melaksanakannya, namun mereka tidak dapat melakukannya kerana pelbagai faktor. Antaranya jumlah pengundi yang ramai selain kedudukan mereka yang berselerak," katanya.
Source: Utusan Malaysia Online.
Ahad, 13 Februari 2011
'Dilema Melayu belum berakhir'
2011/02/13
Kedudukan, hak istimewa terhakis jika tidak berani bersuara: Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Orang Melayu kini berada dalam dilema apabila mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak Melayu kerana boleh dianggap sebagai rasis. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi, orang Melayu pula tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan berundur demi keamanan. “Kita selalunya berdiam diri dan malu alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar. Ini merugikan kerana kita bukan merampas hak orang lain.
“Jika kita terus berpegang kepada nilai itu, maka semakin lama kedudukan kita akan terhakis. Selalunya hendak cakap malu, tidak cakap kalah.
“Akan tiba pada satu tahap nanti kita juga tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu dan seolah-olah adalah pendatang sama seperti pendatang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (ASPIRASI) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Dr Mahathir turut mengingatkan, masa depan orang Melayu di negara ini boleh menjadi buruk sekiranya masalah perpecahan berikutan perbezaan fahaman politik tidak dapat diselesaikan.
“Hakikatnya perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan hanya akan menjadikan kaum itu kian lemah sehinggakan ada pada satu peringkat kaum Melayu sanggup memberi apa saja sama ada hak atau tidak kepada pihak lain bagi meraih sokongan.
“Lebih malang lagi, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan kuasa mereka kerana pada masa itu pihak lain akan menguasai negara walaupun jawatan Perdana Menteri serta menteri masih berada di tangan kaum itu,” katanya.
Dr Mahathir turut mengakui ada orang Melayu yang sengaja menyalahgunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mendapatkan kekayaan dan kemewahan segera tetapi mahu supaya dasar itu tetap diteruskan.
Beliau berkata, tindak tanduk golongan itu menyebabkan sasaran Bumiputera mendapat 30 peratus daripada hasil kekayaan negara tidak akan tercapai sebaliknya memusnahkan segala usaha kerajaan memajukan Melayu.
“Saya malu...saya sering mempertahankan DEB tetapi jika Melayu menggunakan segala peluang yang diwujudkan dalam DEB, hari ini kita bukan saja mendapat 30 peratus kekayaan negara, malah, lebih dari itu.
“Masalahnya bukan polisi tetapi pelaksanaan. Sepatutnya jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,” katanya.
Source: Berita Minggu Malaysia Online
Agenda Melayu tetap relevan
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Kerajaan tidak akan berhenti daripada memperjuangkan agenda Melayu di sebalik pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, agenda perjuangan itu masih lagi relevan kerana pada hakikatnya kaum Melayu masih lagi ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia.
"Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai program pembangunan ekonomi seperti Model Baru Ekonomi, agenda perjuangan Melayu masih lagi relevan dan akan terus diperjuangkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan tengah hari sempena Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Simposium itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mustapa menambah, program pembangunan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini akan menambah lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan orang Melayu.
Katanya, ia sekali gus mampu membantu kerajaan menangani isu bumiputera yang masih lagi dihimpit dengan kemiskinan, ekuiti yang rendah dan kurang kompetitif.
"Dalam masa sama, orang Melayu juga akan mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi negara menerusi agihan kekayaan yang dinikmati oleh semua rakyat," katanya.
Source: Mingguan Malaysia Online
Sabtu, 12 Februari 2011
Melayu dalam dilema besar – Dr. M
KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.
Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.
Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.
“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.
“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.
Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.
Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.
Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.
Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.
“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.
Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.
Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.
Source: Mingguan Malaysia Online
Utamakan kepentingan bangsa - Aspirasi
Presiden Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, ia penting bagi meningkatkan kemajuan orang Melayu dari pelbagai aspek terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Selain itu, katanya, belia Melayu juga perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan agenda politik masing-masing dengan lebih menumpukan kepada usaha memberikan idea dan pelan bagi membangunkan bangsa Melayu pada masa depan.
''Ini penting demi memastikan kepentingan perjuangan anak bangsa, kini dan masa depan terus terjamin,'' katanya semasa berucap pada Simposium Dilema Melayu anjuran Aspirasi di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mohd. Shahar dalam pada itu memberitahu, anak muda Melayu kini juga sudah mula melupai sejarah tanah air sehingga ada yang menjadi perosak kepada usaha perjuangan tokoh Melayu sebelum ini.
Keadaan itu sekiranya tidak ditangani katanya, akan menjadi bom jangka yang boleh menghancurkan kemajuan dan kemakmuran Malaysia.
Justeru katanya, penganjuran simposium seperti ini kena pada masanya melihat kepada keadaan orang Melayu dan generasi muda Melayu masa ini.
''Jika ada pihak lain yang mengatakan simposium ini sebagai tindakan provokasi terhadap kaum lain dan usaha menidakkan 1Malaysia, ia adalah tidak benar kerana mereka berasa iri hati atas penyatuan anak-anak muda Melayu yang berhimpun atas satu cita-cita yang sama,'' katanya.
Source: Mingguan Malaysia Online
Khamis, 3 Februari 2011
ADUN Seri Muda ditahan di bawah Akta Hasutan
SHAH ALAM 3 Feb. - Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, hari ini, ditahan mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan berikutan tulisannya di laman blog; srimuda.blogspot.com yang disiarkan pada 30 Disember lalu.
Wakil rakyat PKR itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Beliau dibebaskan 10 minit kemudian dengan jaminan polis beserta seorang penjamin.
Shuhaimi perlu hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pukul 9 pagi Isnin ini untuk didakwa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob mengesahkan penahanan dan pembebasan Shuhaimi. – Utusan
Source: Utusan Malaysia Online.
Selasa, 1 Februari 2011
Antara Dr. Mahathir, Nik Aziz dan Kuan Yew
SAYA merasakan terlalu rugi jika tidak memetik penuh tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang terbaru dalam chedet.co.cc bertajuk “Nik Aziz dan Kuan Yew” bagi tujuan mereka yang tidak boleh mengikutinya melalui Internet.
Dr. Mahathir telah mengulas kenyataan Nik Aziz yang sentiasa diulang-ulangnya mengatakan Islam tidak boleh menerima perjuangan berteraskan Melayu atau kebangsaan. Istilah bangsa atau Melayu bagi Nik Aziz tidak wujud dalam dirinya. Baginya Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali bersatu kerana jika ia bersatu, ia akan menjadi UMNO. Maka sebaliknya, jika Pas pun mengakui kewujudan konsep kebangsaan, maka ia bukan lagi Pas.
Semasa kempen pilihan raya kecil Tenang, Nik Aziz menuduh perjuangan UMNO itu sebagai ‘jahiliyah’. Oleh itu, beliau meminta pengundi supaya jangan sokong UMNO atau orang Melayu kerana mereka itu ialah jahiliyah. Mengundi parti yang berteraskan kemelayuan atau kebangsaan ialah jahiliyah.
Sebaliknya, beliau menyokong dan mempertahankan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew alias Harry Lee, yang baru-baru ini meminta umat Islam republik itu supaya melonggarkan pegangan agama yang dianuti mereka jika mahu hidup dalam komuniti ultra-moden Singapura. Kuan Yew yang tidak percayakan Tuhan dan agama (agnosticism) cuba menerapkan doktrin itu di kalangan orang Islam Melayu republik itukah?
Bagi Nik Aziz konsep kepartian adik-beradik – PAP (Singapura) dan DAP (Malaysia) boleh diterima dan berteraskan aliran Islam Pas.
Salah seorang pembaca tulisan Dr. Mahathir itu menghantar satu komen dalam blog tersebut dengan memetik ucapan pengasas parti Pas, Dr. Burhanuddin al-Helmy pada Malam Merdeka 1960 yang berbunyi: “Dalam perjuangan kita (Pas) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus-menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.”
Penulis komen itu, satD, mengakhiri tulisannya dengan berkata: Apa sudah jadi sama Pas? (Komen-komen lain ikuti: http://chedet.co.cc)
Bagi saya: Bukan apa sudah jadi sama Pas, tapi apa sudah jadi sama Nik Aziz. Sebenar-benarnya, Nik Aziz ini hanyalah ahli politik bertaraf political animal, yang bermain kata mengikut kesesuaian politiknya.
Semalam semasa berucap di wacana bertajuk “Bangsa Melayu dan Masa Depannya” anjuran Mubarak di Memorial Tun Hussein Onn (bangunan Jabatan Perdana Menteri lama), Dr. Mahathir menegaskan: ‘‘Kali ini jika kita hilang kuasa, saya khuatir kita tidak boleh berdiri atas kaki kita sendiri lagi. Walaupun Hang Tuah telah berkata Melayu Takkan Hilang Di Dunia – namun pada masa itu semasa kita pergi ke kuburnya, kita akan berkata ‘‘maaf, Melayu sudah hilang...”
Berikut ialah petikan penuh tulisan terbaru Dr. Mahathir (bagi pembaca yang tiada talian Internet) bertajuk:
NIK AZIZ DAN KUAN YEW
1. Kata Nik Aziz, “Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew”. Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kuan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk keislaman mereka.
2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?
3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.
4. Pas turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila Pas mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO, larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang Pas dari orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga Pas ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.
5. Apabila Pas bertanding dalam Pilihan Raya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.
6. Kemudian Pas bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihan Raya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.
7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO dikeluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.
8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu Pas mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.
9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.
10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.
11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.
Source: Utusan Malaysia Online.
Jumaat, 28 Januari 2011
Siti Nurhaliza duta rumpun Melayu serantau?

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA, saharudin.musthafa@utusan.com.my
BANDUNG 28 Jan. - Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dicadang dilantik sebagai duta bagi memperkasakan rumpun Melayu serantau.
Cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami), M. Saiful Hadi Itu diharap dapat dilaksanakan segera kerana bangsa Melayu harus bangkit sebagai kuasa baru dunia.
Menurut beliau, Siti Nurhaliza merupakan individu terbaik untuk menggalas tugas itu berikutan personalitinya amat disenangi oleh semua pihak di negara serantau khususnya di Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia.
"Sejak permulaan kariernya sebagai anak seni, imej yang ditonjolkan oleh Siti Nurhaliza menawan hati banyak pihak. Lagu-lagu nyanyiannya pula cukup disenangi ramai.
"Siti Nurhaliza juga mempunyai pengaruh yang cukup besar di rantau ini, jadi beliau wajar diberi tanggungjawab itu," katanya pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia anjuran Iswami di sini hari ini.
M. Saiful yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia (Antara) memberi contoh penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu pernah menjadi penghubung kepada keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi seni yang diperjuangkannya selama ini.
Sementara itu, Siti Nurhaliza dalam reaksinya merakamkan penghargaan kepada Iswami kerana mencadangkan namanya sebagai duta rumpun Melayu.
Penyanyi yang cukup masyhur menerusi lagu Cindai itu memberitahu, beliau bersedia memberikan komitmen terhadap sebarang cadangan yang baik untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.
"Andai Iswami melihat saya boleh memainkan peranan memperkasakan bangsa Melayu, saya tentunya bersedia menerimanya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, penyanyi itu berkata, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikan idea pelaksanaan tugas itu.
Katanya, beliau seorang diri tidak mampu memikul tanggungjawab itu kerana rumpun Melayu mempunyai skop yang luas dan mencakupi banyak isu termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan.
Siti Nurhaliza mengakui, perkembangan kariernya sebagai anak seni selama 15 tahun banyak didokong oleh masyarakat Melayu serantau selain peminat daripada bangsa-bangsa lain juga.
"Semenjak terlibat dalam lapangan seni saya dapat melihat perubahan landskap sosial masyarakat Melayu.
"Justeru, seni seharusnya dijadikan sebagai instrumen penting oleh seluruh masyarakat serumpun untuk terus memperkasakan bangsa Melayu sehingga menjadi kuasa baru dunia," kata Siti yang turut mengambil peluang mempromosikan produk kecantikan yang diasaskannya, SimpySiti pada seminar yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. – Utusan
Source: Utusan Malaysia Online.
Sabtu, 11 Disember 2010
Suara Raja Melayu.
Pada sambutan Maal Hijrah Negeri Perak, 7 Disember, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka terhadap bangsanya.
Sehari selepas itu, Sultan Johor mahu orang Melayu bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu. Ketiga-tiga peringatan tersebut menjadi berita utama di muka depan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Apa yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu ini amat bertepatan pada ketika kedudukan Melayu makin diasak. Semua ini angkara muslihat golongan kaduk naik junjung yang berhasrat menjadikan Malaysia negara republik suatu hari nanti. Golongan tersebut kian membesar dan membentuk gelombang yang kuat. Semua tahu bahawa ada pemimpin pembangkang Melayu yang membuka pintu pengkhianatan untuk kepentingan politik diri sambil membawa keuntungan besar kepada kaum tertentu.
Maka Awang menjunjung kasih kepada Raja-raja Melayu yang tampil ke hadapan untuk membantu menyelamatkan kedudukan Melayu. Sejak merdeka, tidak pernah rasanya institusi raja kita sebegini lantang. Ternyata senario pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang begitu berisiko kepada masa depan umat Islam, tidak lagi boleh diambil mudah.
Titah Sultan Perak perlu dijadikan pemula kejutan. ‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu di bumi ini, untuk terus mempertahankan segala hak dan keistimewaan Islam dan orang Melayu daripada sebarang usaha menghakisnya.’’ Awang sudah lama sahut dan bangkit. Sesungguhnya, ia adalah semboyan untuk umat Islam dan orang Melayu. Kita tiada pilihan melainkan bersatu. Apa lagi...
Source: Mingguan Malaysia Online
Rabu, 8 Disember 2010
Jangan jadi penderhaka dan pengkhianat bangsa
SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah telah memberikan peringatan yang tegas dan jelas bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.
Persoalannya, sejauh manakah peringatan baginda ini akan difahami oleh individu dan kelompok tertentu yang kita tahu sanggup melakukan apa sahaja demi politik.
Sebenarnya, sudah acap kali puak-puak berkenaan diperingatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu tetapi semua itu tidak diendahkan.
Sebaliknya dari semasa ke semasa demi mencapai cita-cita dan matlamat politik kelompok tersebut berterusan mencabar perkara berkenaan.
Adalah sesuatu yang malang kerana orang Melayu terpaksa berhadapan dengan individu dalam kalangan mereka sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja, asalkan cita-cita mereka tercapai.
Kelompok seumpama itu sudah tidak lagi memikirkan kesannya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam.
Mereka akan menggadaikan apa sahaja dan sesiapa juga yang cuba mempertahankan ketuanan atau keistimewaan Melayu akan dianggap rasis.
Segala-galanya kerana mereka ingin merebut kuasa politik dan mencari pengaruh daripada kaum lain.
Kegelojohan dan kerakusan ini akhirnya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada orang Melayu.
Perasaan hormat terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan umat Islam dengan sendirinya akan luntur akibat daripada perbuatan orang Melayu sendiri.
Justeru adalah tidak keterlaluan jika dikatakan, kelompok yang berbuat demikian dengan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu bukan sahaja menderhaka malahan mengkhianati bangsa sendiri.
Apa yang anehnya, kelompok ini akan berasa marah apabila dianggap pengkhianat, sebaliknya akan memberi seribu satu alasan bagi mempertahankan tindakan mereka.
Tetapi semua orang Melayu maklum mengenai kerakusan berpolitik mereka. Apa yang mereka inginkan hanyalah kuasa.
Mereka sengaja melupakan sejarah mengenai perjuangan orang Melayu di bumi Malaysia ini dan kenapa orang Melayu diberikan hak-hak keistimewaan tertentu tetapi dalam masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan kaum lain.
Puak inilah juga memutar-belitkan fakta sewenang-wenangnya termasuklah mewujudkan tafsiran baru mengenai ketuanan Melayu.
Walaupun sudah berkali-kali diperjelaskan mengenai apa maksud ketuanan Melayu tetapi kelompok ini sanggup menderhaka kepada bangsa sendiri.
Mereka tidak mahu mendengar hujah dan fakta pihak lain, sebaliknya menganggap tafsiran mereka sahaja yang betul.
Oleh itu, kepada kelompok berkenaan, peringatan Sultan Azlan Shah tersebut tepat dituju kepada mereka. Mahu tidak mahu, mereka harus mengakui bahawa tindakan mereka sebenarnya meletakkan orang Melayu dalam bahaya.
Kalaulah isu keistimewaan atau ketuanan Melayu ditimbulkan oleh pihak lain tidak apa, tetapi ini dalam kalangan orang Melayu sendiri.
Tujuan mereka, kononnya ingin menunjukkan keterbukaan dan merekalah pejuang kepada semua kaum.
Tetapi mereka sengaja melupakan bagaimana tindakan tersebut jika tidak dibendung boleh menyebabkan satu masa nanti orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di bumi sendiri.
Bak titah Sultan Azlan Shah, jika dibiarkan bangsa (Melayu) akan menghadapi kesesalan di kemudian hari kerana ketika itu kaum Melayu telah dipinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan. Namun percayalah, puak-puak yang rakus mencari kuasa politik ini tidak akan mempedulikan itu semua.
Atas sebab itulah golongan ini perlu ditentang habis-habisan kerana mereka tidak layak berada di bumi Malaysia ini.
Ia kerana perjuangan seumpama itu bukan sahaja akan merugikan orang Melayu, malahan akan turut mengancam kestabilan kaum lain.
Oleh itu, kepada puak tersebut, janganlah terlalu ghairah melihat segala-galanya dari sudut politik, jika tidak mahu dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa sendiri. Jadikanlah ingatan Sultan Azlan Shah sebagai peringatan sebelum ia terlambat.
Source: Utusan Malaysia Online
Isnin, 6 Disember 2010
Sultan Perak tegur Melayu pertikai status keistimewaan
Tarikh: 07/12/2010 2:48pm
DYMM Sultan Azlan Shah.
KUALA KANGSAR 7 Dis. - Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.
Baginda menegaskan jika perkara itu dilakukan di kalangan orang Melayu sendiri maka mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan dan derhaka kepada bangsanya sendiri.
"Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggung jawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.
Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit, takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air," titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.
Titahnya, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.- Bernama
Source: Utusan Malaysia Online
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
A lovely song by Momoe Yamaguchi Momoe Yamaguchi, penyanyi legenda Jepun yang dilahirkan di Tokyo dalam tahun 1959 ini sebenarnya tidak lama...
-
KUALA LUMPUR 13 Jan. – Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Utusan Malaysia...
-
Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib. Telah didengar dengan tekun, Sedari jusa sampai pekebun, Lunaknya ba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 27 September 2010. Oleh HAMIMAH HAMID , utusanperak@utusan.com.my KUALA KANGSAR 26 Sept. - Baya...
-
إدريس تالو Idris Talu Universiti Terbuka Malaysia telah banyak memberikan peluang kepada mereka yang telah bekerja tetapi ingin terus...
-
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Penulis blog “ idristalu.blogspot.com ” mengucapkan “ Selamat Menyambut Hari Raya AidilFit...
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
Kembara Haji 2010 - Cabaran perjalanan untuk mengerjakan ibadat haji melalui jalan darat. Penulis: Mohd Sidek Mohd Salleh. Sumber: Utusan M...
