ROSILAWATI
ROSEDI
3 Oktober 2012
KUANTAN - “Dalam keadaan
ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan masih mampu memberikan pelbagai
insentif dan golongan mahasiswa seperti kami tidak dipinggirkan,” kata penuntut
Tahun Dua, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nazratul Izzana Ishak, 20.
Penuntut Sarjana Muda
Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam itu antara 1.5 juta penuntut institut
pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini yang mendapat manfaat menerusi
Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (S1M) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menurutnya, penuntut yang
mendapat kad terbabit perlu menggunakannya sebaik mungkin dan tidak
menyalahgunakan kad itu untuk kepentingan peribadi.
“Saya menghargai usaha
kerajaan untuk membantu golongan seperti mahasiswa sekali gus dapat
mengurangkan beban kami dan ibu bapa.
“Pemberian diskaun
sememangnya memberikan kelegaan buat kami khususnya dalam pembelian untuk
kemudahan pembelajaran,” kata penuntut yang berasal dari Selangor itu.
Dia ditemui bersama penuntut
UMP lain yang menggunakan kad tersebut secara rasminya di sebuah restoran
makanan segera di sini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat
PDNKK Negeri, Mohd Aruwan Abdul Aziz.
Kad S1M adalah usaha terbaru
kerajaan membantu golongan siswa di negara ini iaitu Bank Rakyat menanggung kos
mengeluarkan kad tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak pada 12 Julai lalu.
Ia diberikan percuma kepada
penuntut warganegara Malaysia dari institut pengajian tinggi (IPT) awam dan
swasta dengan kadar diskaun 10 hingga 60 peratus dan digunakan sepanjang tempoh
pengajian mereka.
Manakala rakannya, Wan Nur
Hazirah Wan Kadir, 21, penuntut Tahun Tiga Sarjana Muda Kejuruteraan
Bioteknologi Industri dari Terengganu, turut mengharapkan penuntut IPT di
negara ini menghargai kemudahan yang diberikan terhadap mereka sebaik mungkin.
“Kad ini dapat mengurangkan
beban saya dan ibu bapa dan pastinya pembelian buku-buku dan bahan pembelajaran
menggunakan kad ini amat diperlukan,”
“Saya juga dapat membeli
tiket bas pulang ke kampung di Kuala Terengganu dengan harga lebih murah menggunakan
kad ini,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 75
outlet dari negeri ini sudah mengambil bahagian menyertai program tersebut.
Sumber: Sinar HarianMalaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan