TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 3 Oktober 2012

MANFAATKAN BANTUAN NETBOOK 1MALAYSIA



Wartawan Sinar Harian
2 Oktober 2012 


MUAR - Penerima bantuan Netbook 1Malaysia Parlimen Pagoh diminta supaya memanfaatkan pemberian itu untuk tujuan kebaikan diri juga negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Mohd Taat berkata, mereka wajar menggunakan kemudahan tersebut bersama jalur lebar untuk mencari dan menambah ilmu pengetahuan.

Menurutnya, dunia ketika ini mengalami perkembangan yang sangat pesat tanpa sempadan, seiring itu rakyat perlu berusaha menambah ilmu pengetahuan supaya tidak ketinggalan.

“Ketinggian ilmu pengetahuan akan menjadikan diri seseorang individu lebih matang untuk menilai sesuatu perkara yang berlaku secara rasional.

“Ini penting kerana media baru seperti Internet telah menjadi pilihan pihak tertentu untuk menyebarkan maklumat termasuk memburukkan kerajaan juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Netbook 1Malaysia Parlimen Pagoh dan Meraikan Bakal Haji dan Hajah di Dewan Pekembar Pagoh, baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, sekiranya rakyat kekurangan ilmu pengetahuan, berkemungkinan mereka boleh terpengaruh dan tidak menyokong kerajaan yang memerintah hari ini.

“Jangan kita lupa, tanpa kerajaan memerintah yang diterajui Barisan Nasional (BN), tidak mungkin keamanan negara yang dinikmati hari ini akan tercapai.

“Jadi penerima perlu menghargai pemberian ini kerana kerajaan telah mengeluarkan sejumlah peruntukan yang sangat besar,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 728 Netbook disampaikan kepada ketua parti komponen BN Parlimen Pagoh.

Hadir sama, Adun Jorak, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh; Ahli Dewan Negara, Senator Noriah Mahat dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pagoh, Ismail Mohamad.

Difahamkan, sebanyak 500 Netbook siri pertama telah diagihkan pada Oktober tahun lalu kepada pelajar-pelajar sekolah sekitar Parlimen tersebut.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran