2012/10/04 - 03:29:25 AM
Skuad senior pimpinan
Rajagobal menjunam 6 anak tangga ranking FIFA
Kuala Lumpur: Kekalahan
skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal kepada Vietnam 2-0 di Stadium
Shah Alam, 11 September lalu turut merubah Malaysia dalam ranking Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ranking yang dikeluarkan
FIFA, semalam menunjukkan skuad negara jatuh enam anak tangga lagi, menjadikan
kedudukannya kini di tempat ke-162 dunia.
Kedudukan itu adalah paling
buruk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada ke-148 dunia pada Januari,
150 (Februari), 152 (Mac), 156 (April), 153 (Mei), 154 (Jun), 157 (Julai), 157
(Ogos) dan 156 (September).
Lebih memalukan, Malaysia
kini berada di belakang negara kecil seperti Belize di ranking ke-144 dunia,
Curacao (151), Barbados (152), Malta (153), Aruba (154), Dominica (156),
Lesotho (158) dan Maldives (160).
Lebih baik daripada
Indonesia
Mungkin kedududkan itu masih
boleh melegakan Rajagobal kerana skuad negara masih berada di ranking lebih
baik berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (162), Indonesia
(170), Myanmar (184), Kemboja (189), Laos (193), Brunei (203) dan Timor Leste
(206).
Begitupun skuad negara masih
di belakang Thailand (139), Vietnam (140) dan Filipina (147).
Wajib menang dua aksi
Difahamkan untuk memperbaiki
semula ranking seterusnya pada 7 November depan, skuad Harimau Malaya wajib
menang pada dua aksi persahabatan antarabangsa berikutnya di tempat lawan
bertemu Hong Kong (16 Oktober) dan Vietnam (3 November).
Bagaimanapun, mengikut
rekod, Harimau Malaya tidak pernah menang di tempat lawan sejak kali terakhir
melakukannya pada 24 Mac 2007 iaitu menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo ketika
kendalian Norizan Bakar.
Sama ada ranking terbaru itu
menyebabkan Rajagobal terdesak mahu menggunakan lima pemain Harimau Muda -
Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor
dan Zubir Azmi walaupun khidmat mereka ditagih Ong Kim Swee untuk kejohanan
jemputan B-21 Piala Thanh Nien di Gia Lai, Vietnam, ia tidak dapat dipastikan.
Yang pasti, Rajagobal akan
ke Hong Kong dengan diperkuat pemain seperti Farizal Marlias, S Kunanlan, Ahmad
Shakir Md Ali, Azamuddin Akil, Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong dan
Shahrizal Saad selepas pasukan mereka gagal ke separuh akhir Piala Malaysia.
Sumber: Berita HarianMalaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan