Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my
SIAPA sangka komunikasi mahasiswa dengan pengurusan
tertinggi universiti hari ini semudah memetik jari.
Tiada lagi kerenah birokrasi, kekangan masa atau kesukaran
untuk berurusan kerana komunikasi maya sebagai penghubung memudahkan segala
urusan.
Dengan kewujudan pelbagai laman sembang, komunikasi yang
dulunya terhalang kini boleh diakses di hujung jari pada bila-bila masa sekali
gus memberi peluang berinteraksi lebih terbuka.
Malah, sokongan diberikan pengurusan universiti yang
mengikut rentak sama turut memudahkan komunikasi sedia ada.
Bagaimanapun, ia tetap mengundang persoalan, sama ada kaedah
itu sesuai diaplikasikan bersama pihak pengurusan universiti yang memegang imej
profesional.
Tidakkah ia melanggar etika, profesionalisme, kredibiliti
serta mencalarkan imej disandang?
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Ir
Dr Sahol Hamid Abu Bakar menyifatkan komunikasi maya sangat praktikal dan cukup
berkesan mendekati atau menyelami kehendak mahasiswa.
Sebagai institusi yang dibarisi generasi alaf baru, UiTM
perlu mengikuti aliran komunikasi moden terkini sebagai alternatif memahami
keperluan mereka.
Beliau berkata, usah menimbulkan isu remeh seperti boleh
menjatuhkan imej pengurusan tertinggi sebaliknya memperakui ia paling efektif
mewujudkan hubungan serta pandangan dua hala.
“Cara ini mudah, moden dan praktikal selain berkesan membina
hubungan mesra antara pihak pengurusan dan mahasiswa.
“Pertikaian mengenai isu lain tidak perlu timbul kerana
boleh merosakkan manfaat utamanya. Yang penting semua pihak memperoleh kebaikan
bersama dengan perkongsian maklumat, informasi juga pengembangan idea.
“Ini perkembangan positif dalam usaha merealisasikan
perkembangan sosial berlandaskan ilmu, komitmen serta tanggungjawab yang
seharusnya digembleng bersama tanpa perlu menjadikannya sensasi,” katanya.
Alaf baru ini menyaksikan facebook dan twitter antara medium
moden yang menjadi pilihan utama menghubungkan secara terus segala permasalahan
atau kemusykilan mahasiswa dan pihak pengurusan universiti.
Melaluinya, komunikasi berlangsung mudah biarpun sesekali
sekala timbul tanggapan medium berkenaan boleh mencetuskan tindakan luar biasa
mahasiswa terhadap kewibawaan pihak universiti.
Beliau berkata, masalah itu tidak akan timbul andai kata
mahasiswa dan pengurusan universiti tahu mengendalikan emosi, dan status secara
berhemah.
“Saya percaya mahasiswa yang baik akan menggunakan medium
ini dengan betul tanpa meletakkan kepentingan peribadi atau emosi. Mereka
golongan intelektual, apa diutarakan pastilah menggambarkan imej yang dibawa.
“Malah, secara peribadi, saya suka cara ini kerana kami
boleh berkongsi pelbagai pandangan dan tidak terikat protokol.
“Zaman tertutup sudah berlalu. Ini juga bakal memberi
inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi yang terbaik termasuk berani
melahirkan pendapat,” katanya yang masih tetap mewujudkan batas profesionalisme
dalam setiap medium digunakan.
“Saya memang rapat dan bersedia menerima apa jua pandangan
namun biarlah masih berlandaskan atas perkongsian bijak dan profesional.
Maksudnya, cara berhemah, menghormati, menggunakan kata sopan dan sebagainya.
“Bagi yang tegar dan tidak pandai membawa diri, saya akan
mengabaikan pandangan itu, tidak perlu melayan kerana hanya membuang masa,”
katanya.
“Bagaimanapun, sehingga kini mereka yang berkomunikasi
semuanya tertib, beretika dan pandai menjaga pertuturan,” katanya.
Medium berkenaan juga, akuinya, menjadi penanda aras
mahasiswa menilai keupayaan pensyarah serta memudahkan kerenah birokrasi yang
selalu menghimpit golongan terbabit.
“Menerusinya, mahasiswa boleh melaporkan secara terus
masalah mereka selain membantu saya memantau pensyarah.
“Segala tindakan diambil bertujuan meningkatkan lagi imej
UiTM di mata dunia dan memudahkan pengurusan mendapat maklumat dan tindakan.
“UiTM mengiktiraf mahasiswa sebagai aset paling berharga,
justeru segala dilakukan adalah demi kebaikan mereka,” katanya yang kini sudah
mempunyai 78,000 pengikut di facebook dan 10,000 twiteer sejak memulakannya
pada 2010.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor
Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata cara komunikasi alaf baru membuka lebih ruang
institusi mengenali potensi dan latar belakang mahasiswa.
Menurutnya, pendekatan itu biarpun dilakukan secara rawak,
ia boleh dijadikan ukuran asas menilai kebolehan dan semangat mahasiswa untuk
menjadi warga UTM.
“Ini pendekatan baru yang sangat efektif untuk menilai
peribadi, potensi dan latar belakang mahasiswa selain menjadi budaya generasi
Y.
“Apa salahnya jika pengurusan universiti mengikut langkah
sama? Sekurang-kurangnya interaksi dua hala boleh menjadi pemangkin dalam
melaksanakan proses pembelajaran.
“ Ini juga proses pembelajaran ilmu secara tidak langsung.
Medium maya boleh menjadi tempat meluahkan pandangan juga wacana pengembangan
ilmu kritis,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan medium berkenaan boleh
menjadikan hubungan pengurusan universiti dengan mahasiswa tidak profesional.
“Profesional biarlah bertempat. Apa salahnya jika mahasiswa
ingin meluahkan pendapat atau mengadu?
“Sekurang-kurangnya mereka mengadu pada tempat yang betul
dan tindakan mengatasinya juga dilakukan mereka yang bertanggungjawab.
“Ini lebih baik daripada membiarkan mereka memperoleh
maklumat salah sekali gus menjurus kepada kekeliruan dan sebagainya. Komunikasi
boleh menjadi pemangkin terbaik mendekati mahasiswa biarpun dilakukan secara
maya,” katanya.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan