TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 11 Mei 2012

Seri Paduka sifatkan pertabalan menyentuh perasaan


ARKIB : 11/05/2012


KUALA LUMPUR 10 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyifatkan pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 sesuatu yang amat menyentuh perasaan dan menjadi sejarah yang tidak akan berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu diluahkan oleh Seri Paduka kepada beliau dalam satu pertemuan yang diadakan selepas istiadat pertabalan yang berlangsung pada 11 April lalu.

Najib berkata, pertabalan itu mempunyai dua keistimewaan, pertama kerana pertabalan penggal kedua buat Seri Paduka dan keduanya kerana pertabalan pertama berlangsung semasa ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri dan kini giliran beliau pula.

"Seri Paduka beberapa kali menyebut pada saya bahawa pertabalan itu amat menyentuh perasaan. Titah Seri Paduka, tidak mungkin perkara itu berulang dalam sejarah negara ini," kata Najib ketika ditemubual oleh deejay radio Khairil Rashid, Salih Yaccob dan Raja Azura dalam temu bual Sinar fm di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pertabalan kedua selepas pelantikan kali pertama Seri Paduka pada 1970 itu merupakan ulangan sejarah dua zaman berbeza oleh seorang Yang di-Pertuan Agong yang sama.

Kata Najib, semasa majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong selepas pertabalan baru-baru ini, Seri Paduka menunjukkan sekeping gambar hitam putih yang dihadiri oleh ayahanda beliau (Abdul Razak) pada majlis mengadap semasa menjadi Perdana Menteri pada 1970-an.

"Seminggu kemudian Seri Paduka menghadiahkan sekeping gambar sama yang sudah diwarnakan secara moden.

"Gambar potret yang besar itu dihadiahkan kepada saya. Saya rasa terharu atas apa yang Tuanku kurniakan pada saya," katanya.

Najib berkata, pada pertemuan tersebut Seri Paduka turut menjemput beliau untuk 'melakonkan semula' gambar dengan kedudukan yang sama pernah diambil Seri Paduka bersama dengan Abdul Razak.

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran