2012/05/12
KARNIVAL
memancing GP Joran dan beberapa siri pertandingan memancing lain di Terengganu
berjaya meletakkan Dungun sebagai salah satu destinasi terkenal aktiviti luar
bersama keluarga di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan
Infrastruktur negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.
Beliau
berkata, sebagai negeri yang mempunyai pesisir maritim yang luas, Terengganu
pasti menjadi tarikan pemancing sama ada dari dalam mahupun luar negara, kerana
selain laut negeri terkenal dengan jolokan Sang Penyu itu memiliki tasik serta
sungai, sesuai dijalankan pertandingan memancing.
“Beberapa
siri kejohanan memancing berprestij yang diadakan di negeri ini bukan saja
membawa nama Terengganu sebagai lokasi pancing terkenal, malah menyemarakkan
lagi kegiatan pelancongan, di mana memberi kesan limpahan ekonomi kepada
pengusaha hotel, peniaga kecil serta pemilik bot.
“Penduduk
kampung atau sekitarnya turut menerima limpahan apabila menyewa homestay,
penjualan makan dan minum kepada kaki pancing yang mengambil bahagian. Begitu
juga ahli keluarga pengunjung bersama-sama memeriahkan kegiatan ekonomi
penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian
hadiah Karnival Memancing GP Joran Terengganu di Kuala Dungun, Ahad lalu.
Za’abar berkata,
selepas beberapa siri penganjuran pertandingan memancing dan karnival yang
diadakan, daerah Dungun kini menjadi terkenal sebagai destinasi pilihan
pemancing berdasarkan kedatangan tidak putus-putus kaki pancing yang menyewa
bot menguji pelbagai spesies ikan bermutu.
“Berikutan
acap kali spesies tenggiri paling banyak didaratkan di daerah ini, Terengganu
juga sudah mewartakan Dungun sebagai Bandar Tenggiri. Ia sekali gus dapat
menarik lebih ramai kaki pancing untuk menduga serta menawan spesies plagik
berkenaan,” katanya.
Selain
pertandingan memancing GP Joran, acara lain seperti Boat On The Road (BOTR) dan
Karnival Candat Sotong Harian Metro banyak membantu kerajaan Terengganu
menyemarakkan kegiatan pelancongan di negeri ini.
Sumber:
Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan