Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri, kartika@hmetro.com.my
INDUSTRI biomas di Malaysia dijangka mampu memberi platform
baru dalam menjana ekonomi lebih kukuh berikutan mempunyai banyak sumber yang
boleh diperoleh di negara ini.
Penasihat Teknikal kepada Inisiatif Pengeluaran Lestari
Biomas EU-Malaysia (Biomass-SP), Datuk Leong Kin Mun berkata, sektor biomas
juga mampu menarik dua pelaburan asing langsung besar yang berpotensi bernilai
RM3.5 bilion dalam tempoh terdekat ini.
“Terdapat dua syarikat yang berpotensi dan bakal menyuntik
pelaburan AS$300 juta (RM921 juta) iaitu daripada syarikat berpangkalan di
Amerika Syarikat (AS) yang mahu mewujudkan kilang biogula di sini.
“Manakala satu lagi syarikat dari China turut meninjau untuk
melabur RM2.5 bilion dalam kilang kuasa biomas di negara ini,” katanya pada
sidang media sempena dengan Persidangan Amalan Terbaik dan Kerjasama Perniagaan
Biomas EU-Asia 2012, Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, kedua-dua syarikat terbabit sudah melahirkan
hasrat untuk membina kilang mereka di negara ini terutama di bawah program
Biomass-SP dan syarikat juga kini sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak yang
terbabit untuk menjayakannya.
“Tiada tempoh khusus untuk projek ini bermula kerana
terdapat banyak isu perlu diteliti sebelum niaga janji dimuktamadkan dan ini
termasuklah bekalan sumber yang mampan.
“Bagaimanapun, syarikat dari AS adalah peneraju dalam bidang
kimia mampan manakala syarikat dari China pula adalah Wuhan Kaidi Holding
Investment Co, menerusi unitnya, Wuhan Kaidi Electric Power Co,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman
rasmi mengenai niaga janji itu bulan depan dan syarikat juga sudah mengatur
pertemuan syarikat dari China itu dengan kerajaan Sabah, Terengganu dan Perak.
“Mereka sudah pun mengemukakan kertas cadangan kepada
Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Pengerusi Biomass-SP, Tan
Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus berkata, persidangan itu dijangka dihadiri lebih
500 delegasi dari 25 negara seluruh dunia dan akan diadakan mulai 7 hingga 10
Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
2 ulasan:
Assalamualaikum Hj Idris
ziarah sambil baca2
Wa'alaikumussalam Atuk PHD,
Terima kasih kerana sudi singgah di dangau saya yang tidak sepertinya ini.
Musim "tongkang pecah" semakin hampir, nak buat entri pun rasa khuatir. Pertama takut kemurkaan Allah. Kedua takut tersinggung kawan. Ketiga takut bertambah lawan. Keempat, takut minum di kedai pun sorang-sorang.
Wassalam.
Catat Ulasan