TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 24 Mac 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

By Idris Ismail Talu

Pada mulanya penulis bercadang untuk ke Kuala Lumpur pada hari Isnin. Namun begitu rancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana sesuatu hal yang tidak dapat dielakkan.

Memang ada keperluan untuk ke Kuala Lumpur, jadi pada pagi Selasa yang lepas, setelah ada kelapangan, maka bertolak penulis bersama isteri dan seorang anak lagi ke Kuala Lumpur kerana ada urusan anak yang masih belajar yang wajib ditunaikan. Selepas itu, bercadang untuk mencari buku-buku di “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010”.

Seperti biasa, di Kuala Lumpur, untuk mencari tempat meletakkan kereta merupakan suatu masalah besar negara. Masuk suatu tempat letak kereta, sudah penuh, hendak masuk satu lagi, pengawal keselamatan di depan pintu awal-awal lagi memberitahu, tempat letak kereta sudah penuh.

Tawaflah penulis sekeliling Putra World Trade Centre (PWTC) beberapa kali untuk mencari tempat meletakkan kereta. Akhirnya dapatlah meletakkan kereta – agak jauh (kesian isteri penulis kerana terpaksa berjalan jauh). Bayaran meletakkan kereta? – sekali masuk RM8.00!

Barulah penulis mulai faham kenapa orang bandar sudah banyak berubah, sudah banyak beralih arah. Noktah!


Hujan mulai turun dengan lebatnya.

Laluan yang boleh membasahkuyupkan anda.

Baru sebentar di PWTC, hujan mula turun dengan lebatnya. Untuk bergerak dari dewan pamiran yang terletak di kiri dan kanan sungai itu, basah kuyuplah para pengunjung kerana tidak ada dinding pada laluan tersebut.

Laluannya pula berbukit, amat menyusahkan warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk melalui jalan tersebut. Para penganjur orang muda-muda belaka, manalah pernah merasakan susahpayah orang tua menongkah bukit atau mereka mungkin tidak akan sempat tua untuk memikirkan hal-hal seperti itu. Noktah!

Mereka yang bertanggungjawab menguruskan “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur” nampaknya tidak peka atau kurang sensitif dengan hal-hal yang sedemikian. Orang datang juga! – kata mereka yang terlibat yang tidak kreatif, tidak berinovasi dan menganggap “pesta buku” ini merupakan suatu rutin yang membebankan, bukan suatu peluang untuk menampilkan kelainan yang boleh meningkatkan lagi budaya ilmu di kalangan masyarakat.

Pesta Buku yang berasal dari DTC di Universiti Malaya, membawa ke Changkat Pavilion hinggalah kini di PWTC. Tempat telah berubah, tetapi kreativiti dan semangat untuk menyebarluaskan budaya membaca buku belum benar-benar membudaya di kalangan masyarakat kita.

Hujan semakin lebat!

“Pelan Tapak PBAKL 2010” yang diberikan kepada para pengunjung-pengunjung, penulis kurang pasti untuk apa? Penulis bertanya begitu kerana tajuk “Pelan Tapak PBAKL 2010” besar macam gajah, tetapi maklumat yang pembaca hendak tahu ditulis kecil-kecil, kena pakai kanta pembesar untuk membacanya.

Makumat di bahagian dalam “Pelan Tapak PBAKL 2010” itu penulis rasa boleh ditambah banyak lagi supaya tulisan-tulisannya akan kelihatan lebih kecil – biar maklumat yang pembaca ingin ketahui tidak boleh dibaca langsung!

Baru penulis teringat cerita yang penulis baca di sekolah rendah dahulu, seekor anjing mengajak sahabatnya seekor bangau ke rumahnya. Apabila bangau datang, anjing menghidangkan makanan dalam piring yang leper. Tengok sajalah sang bangau kepada makanan yang nampak ada tetapi tak boleh dimakan kerana muncungnya yang panjang tirus itu tidak membolehkannya mengambil makanan di dalam piring yang leper.

Pada zaman ICT sekarang, mana ada orang baca cerita itu lagi! Noktah!

Apabila kita berjalan dari satu gerai buku ke satu gerai buku yang lain, kita akan didatangi ramai jurujual. Terasa macam di Chow Kit pulak kita. Kenapa kita perlu diganggu oleh “jurujual” ini? Sengkek sangatkah otak para pembeli sampai diserang oleh “jurujual” untuk memprovokasi tentang produk mereka kepada para pembeli?

Para pembeli sepatutnya dibiarkan menikmati suasana pesta buku dengan aman, meneliti buku-buku yang hendak dibeli dengan tenang, bukan diganggu oleh “jurujual” yang kurang etika ini!

Ramai pengunjung yang coba lari dari gerai jurujual ini bukan kerana produk mereka tidak bagus tetapi cara provokasi mereka bertanya lepada pengunjung macamlah para pengunjung baru keluar dari hutan dan kali pertama tengok buku! Yang peliknya, kebanyakan sasaran mereka ialah pengunjung Melayu! Kesian!

Penulis mencadangkan kepada organisasi yang membawa "jurujual" ini, bacalah buku-buku tentang kejurujualan yang terkini.


©idrisismailtalu@2010

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran