TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 9 November 2009

Perjalanan Suci Bahagian Ke-XI

Mekah & Madinah 1428H/2007M
By Idris Talu

Kedai Runcit Sekitar Mekah.

Kepada pembaca blog yang mungkin belum berkesempatan menjejakkan kakinya ke Mekah al Mukarramah, tentu ingin tahu bagaimana corak atau bentuk perniagaan runcit di sana.

Oleh itu penulis yang sempat merakamkan beberapa keping gambar kedai runcit dan peniaga yang menggunakan pick-up sebagai kedai sementara mereka ingin berkongsi pengelaman dengan pembaca blog ini.

Sebagaimana biasanya, kedai runcit menyediakan keperluan harian pengguna seperti sayuran dan buah-buahan. Keperluan rumahtangga lain juga disediakan.

Penulis mencari makanan ringan sebagai kudapan semasa di bilik maktab, namun begitu di sini tidak mempunyai banyak makanan ringan, yang banyak ialah roti dalam pelbagai bentuk tetapi cukup murah. Lima batang roti panjang seperti roti untuk hotdog yang banyak terdapat di Malaysia, di Mekah cuma beharga RS1.00 (=RM0.91).

Kedai runcit di Mekah.

Dibuka sampai malam, maklumlah, jemaah berulang ke masjid tanpa mengira waktu.

Kadang-kadang, pick-up pun boleh jadi tempat berjualan.

Biasanya pick-up digunakan untuk menjual buah-buahan, seperti pisang dari Filipina, apel, anggur, oranges dan buah-buahan lain dari Hadaramut. Pisang dan buah-buahan lain dijual agak murah, iaitu sekitar RS5.00 sekilogram.

Khurma juga banyak dijual di sini, tetapi kebanyakannya agak kering.

Khurma lebih banyak di dapati di Madinah al Munawwarah. Khurma Madinah agak lembab, lebih pelbagai jenisnya. Di samping khurma, di sini juga banyak dijual pelbagai jenis kacang seperti kacang putih yang dijual di Malaysia.

Cerek bewarna kuning keemasan yang menjadi kegemaran jemaah dari Malaysia.

Kebanyakan cerek ini diimport dari negara China dan harganya amat berpatutan. Produk dari China cukup mudah diperolehi di Mekah ini, bermula dari cerek seperti dalam gambar di atas, sehinggalah kasut dan kain baju seperti jubah lelaki dan wanita.

Harga yang ditawarkan juga amat murah. Bayangkanlah sehelai jubah lelaki yang baik mutu kainnya, beharga sekitar RS35.00 sahaja di sini, kalau di Malaysia, upah tukang jahit pun sudah RM35.00 belum termasuk harga kainnya.

Roti merupakan makanan asasi di Mekah.

Harga roti diberi subsidi dan dikawal oleh pemerintah dan cukup murah. Penulis dan isteri mengambil masa dua hari untuk menghabiskan sekeping roti tebal beharga RS1.00 yang penulis beli tempoh hari di kedai roti di tepi jalan menghala ke Masjidil Haram. Rotinya tebal tetapi harganya memang cukup murah.

Sayuran di Mekah hampir sama dengan sayuran di Malaysia.

Ada labu air, ada timun, kacang panjang, kacang bendi (lady's finger) yang cukup pendek, tomato dan keladi. Di Malaysia, keladi bersepah di belakang dapur kita, tanpa dipedulikan - dibiarkan menjadi sundulan si pandak yang rajin datang malam itu.

Buah-buahan cukup banyak di Mekah.

Kebiasaannya kita batuk bila berada di Mekah. Di dalam masjid kita boleh dengar seakan-akan pertandingan batuk, kerana orang batuk bersahut-sahutan. Bila batuk, tekak kita akan perit, jadi kalau kita makan pulak buah-buahan yang berasid seperti buah limau atau oranges, tekak kita akan lebih perit - sehingga suara kita pun sudah umpama suara itik serati .


©IdrisTalu@2009

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran