TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 15 September 2011

Bahasa Melayu dimartabat Inggeris diperkasa

PROF DATUK DR SIDEK BABA ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

AKHIR-akhir ini timbul lagi isu kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan negara. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris atau kekal menggunakan bahasa Melayu.

Apabila Kementerian Pelajaran, di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin mengkaji semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) setelah berlangsung perbincangan yang agak lama dan persidangan meja bulat, keputusan diambil untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan. Tetapi ada juga yang masih mengungkit termasuk kelompok orang Melayu ibarat rumah siap pahat berbunyi.

Sejarah lebih 54 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan. Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita ketinggalan dalam proses maju dan membangun. Dalam memartabat bahasa Melayu kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi.

Bangsa Anglo-Saxon atau orang Eropah dulunya menghantar orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah.

Strategi mereka adalah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu.

Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya.

Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris dalam subjek-subjek penting boleh menyebabkan status aplikasi Bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan.

Penggunaanya dalam subjek Sains dan Matematik dan 100 lagi cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka.

Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan tidaklah ditolak. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah.

Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik.

Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju.

Orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju. Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan.

Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan atau Akta Pelajaran adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju.

Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi.

Memberi fokus tentang Sains dan Matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran berkembang pada masa kini dan depan.

Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.

Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran yang melebar.

Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran untuk menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan.

Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan lalu menjadi bukti bahawa pelajar- pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.

Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotik apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting.

Ilmuwan Islam tersohor yang mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa sama, sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran.

Sejak merdeka, bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik dan ilmiah yang tinggi bahawa tidak harus wujud psiki rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.

Sempena kemerdekaan negara 54 tahun ini, warga Malaysia yang taat harus meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap bahasa Melayu dan penguasaan yang baik terhadap bahasa Inggeris. Makna kemerdekaan harus diisi dengan mengukuhkan asas-asas fundamental yang terdapat di dalam Perlembagaan negara supaya asas bernegara kita menjadi lebih jelas, berintegriti dan berwibawa.

Bangsa Jepun dan China umpamanya menghantar ribuan tenaga muda belajar di Barat dalam berbagai cabang ilmu tetapi kepakaran yang mereka miliki mengalami proses penjepunan dan pencinaan di mana bahasa ibunda mereka amat diutama dan menyebabkan kemajuan.

Bangsa yang tidak mengenal faktor jatidirinya adalah bangsa yang tidak mempunyai integriti dan daya juang. Bangsa seperti ini hanya sanggup menjadi bangsa penciplak, kagum melulu terhadap faktor orang lain sehingga hilang daya kreativiti dan inovatifnya untuk memajukan bahasa sendiri dan mengambil manfaat berbanding dari kekuatan orang lain.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran