TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Abdullah Hussain - Interlok. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Abdullah Hussain - Interlok. Papar semua catatan

Ahad, 6 Februari 2011

Nilai Interlok di pasaran politik

TIBA-TIBA dan tanpa sesiapa menyangka, sebuah novel berusia lebih 40 tahun menjadi begitu berharga di pasaran politik. Sebelum ini, karya sastera tidak dipandang golongan politikus. Tetapi Interlok telah membuka satu pembaharuan apabila orang politik terutama kalangan India termasuk MIC 'meminati' Interlok. Mereka berduyun-duyun membeli, membaca dan kemudian membakar novel itu.

Belum ada dalam sejarah kesusasteraan Melayu sebuah novel menjadi begitu 'diminati' oleh bukan Melayu terutama orang India. Malah orang Melayu sendiri jarang membaca novel Melayu kerana mereka membaca novel Inggeris atau langsung tidak membaca apa-apa. Tetapi Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sangat 'diminati' oleh orang India dan mereka yang tahu nilai politik Interlok begitu tinggi.

Seorang rakan dengan sinis berkata, ini satu perkembangan baik kepada novel bahasa Melayu kerana diminati oleh bukan Melayu dan dibicarakan hingga ke Parlimen. Bukankah ini satu 'penghormatan' tertinggi kepada karya seorang Sasterawan Negara di negara yang bernama Malaysia ini? Tambahnya lagi, kita perlu berbangga apabila orang India dapat membaca karya bahasa Melayu dengan baik sehingga mereka perasan terdapat perkataan 'paria' di dalamnya.

Parti-parti politik India mendesak kerajaan menarik balik Interlok daripada dijadikan buku teks Tingkatan Lima atau gugurkan perkataan 'paria'. Dalam siri desakan ini, termasuklah sekumpulan India bertindak biadap membakar potret Abdullah Hussain dan novel Interlok di Klang, Selangor. Tidak cukup dengan kebiadapan itu, mereka juga melancarkan perang psikologi apabila membuat laporan polis serentak di beberapa negeri terhadap Interlok.

Pemilihan Interlok dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran. Mereka ini bukanlah dungu atau bengap seperti penentang Interlok, termasuk yang membakarnya. Mereka mempunyai wibawa yang tinggi, baik dalam sastera atau sosial. Tetapi apabila Interlok menjadi bahan jual beli politik, wibawa mereka seolah-olah lebih rendah daripada penentang Interlok. Keputusan untuk menyunting Interlok adalah menafikan buah fikiran jawatankuasa yang memilih novel itu.

Kalangan sasterawan, bukan sahaja Melayu, malah India dan Cina tidak menemui 'penghinaan' seperti yang didakwa oleh kalangan orang politik India. Saya percaya mereka bukan membuta tuli mempertahankan karya Melayu tetapi mempertahankan karya yang baik daripada dijahanamkan oleh pencari peluang dalam politik. Bagaimanapun hujah-hujah waras kalangan sasterawan Cina dan India mengenai Interlok tidak terlawan nilai tinggi Interlok di pasaran politik negara ini.

Akhirnya desakan, kebiadapan dan keputusan politik lebih menonjol untuk menghukum Interlok. Kewarasan dalam keilmuan tidak dapat menyelamatkan Interlok kerana politik lebih penting daripada segala-galanya. Saya segera teringat isu Teoh Beng Hock dan Kugan di mana pendesak hanya akan mengiktiraf keputusan yang menyebelahi mereka. Demikian juga nasib Interlok. Tahniah.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 16 Januari 2011

Interlok mangsa manipulasi

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA, pengarang@utusan.com



KUALA LUMPUR 16 Jan. – Terdapat pihak yang sengaja memanipulasi dan mempolitikkan kandungan novel Interlok tulisan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain sehingga menyentuh sensitiviti kaum India iaitu apabila golongan itu tersalah tafsir.

Novel tersebut menjadi mangsa apabila kandungannya telah dipolitikkan oleh banyak pihak sehingga mengakibatkan ia disalah tafsir terutama di kalangan kaum India.

Dekan Fakulti Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ambigapathy Pandian berkata, dari sudut akademik, Interlok telah ditulis dengan begitu baik sekali dan tidak mempunyai apa-apa masalah.

Menurutnya, pembaca sebenarnya perlu membaca dari muka surat pertama sehingga ke akhir untuk memahami apa yang hendak disampaikan penulis melalui Interlok.

“Ia bukan isu orang India di negara ini tidak boleh menerima hakikat siapa mereka. Tetapi ia lebih kepada sikap sesetengah pihak yang memanipulasikan isu ini.

“Apabila ada pihak yang bertindak demikian, maka ia telah menyebabkan kaum India tersalah tafsir.

“Bagi saya buku ini bukan masalah tetapi yang penting adalah bagaimana kita menggunakannya untuk memahami makna sebenar ceritanya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu Novel Interlok: Perspektif Belia Malaysia yang dianjurkan Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Ambigapathy berkata, dari sudut akademik, masalah mula timbul apabila Interlok digunakan di sekolah bagi tujuan pembelajaran dan oleh sebab itu, guru-guru yang mengajar perlu benar-benar memahami konteks sebenar Interlok.

“Mula-mula ia digunakan di universiti jadi tidak ada masalah. Tetapi ia dipertikaikan sekarang apabila digunakan di sekolah dan lebih buruk apabila ada orang yang menyalahertikan perkataan paria itu.

“Maka, memang perkara ini telah terkeluar dari konteks sebenar yang ingin disampaikan penulis,” katanya.

Beliau berkata, Interlok adalah contoh penulisan kreatif dan setiap pembaca akan tampil dengan pandangan berbeza mengenai makna sebenar ceritanya.

“Ia satu bentuk interaksi antara penulis dan pembaca yang mana penulis tidak akan menyediakan makna kepada ceritanya sebaliknya pembaca sendiri perlu mendalami maksud sebenar melalui pembacaannya.

“Bagaimana ia digunakan iaitu ditafsir dan difahami oleh pembaca terutama golongan pelajar dan generasi muda hari ini, itu yang mencabar,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mereka salah faham

Mukadimah:

KETIKA sampai ke kediamannya di Seksyen 17 Petaling Jaya pagi Khamis lalu, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sudah menunggu atas kerusi roda di ruang tamu. Di situ ada beberapa lukisan oleh adiknya Allahyarham Datuk Ibrahim Hussain, seorang pelukis tersohor. Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah bersongkok dan kelihatan agak ceria. Di sebelahnya, isteri Pak Lah, Datin Seroja.

Pak Lah menjadi sebutan sejak dua minggu ini selepas novel tulisannya, Interlok mencetuskan kontroversi. Novel yang ditulis 40 tahun lalu sempena Peraduan Sepuluh Tahun Merdeka dipilih menjadi buku teks sastera tetapi dibantah oleh segelintir masyarakat India kerana mendakwa novel itu menghina orang India.

Untuk wawancara ini, soalan ditulis dan dihulurkan kepada Pak Lah kemudian beliau menjawab dengan suara yang perlahan tetapi jelas. Pak Lah kelihatan tenang, tidak emosional malah banyak tersenyum apabila membaca soalan di atas ribanya.

“Mereka tidak faham maksud saya menulis Interlok. Saya tidak menghina orang India. Itu yang saya sedih,” demikian kata Pak Lah ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID.


MINGGUAN: Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?

ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima. Apa yang berlaku adalah mereka salah mengerti. Maka saya sedih kerana mereka salah faham. Di selatan India masih lagi masyarakatnya mengamalkan sistem kasta. Karya saya itu cuba menunjukkan bila orang India datang sini mereka gembira kerana tidak ada lagi sistem kasta.

MINGGUAN: Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?

ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman 'paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.

MINGGUAN: Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?

ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.

MINGGUAN: Apa tujuan karya Interlok dihasilkan?

ABDULLAH: Pada awalnya saya fikir apa yang saya mahu tulis, dan saya mahu tulis tentang pelbagai kaum di negara ini yang terdiri dari Melayu, Cina dan India. Ia ada tiga bahagian, bahagian Interlok jika dibaca ketiga-tiga kaum ini boleh berkawan. Itu yang saya mahu tonjolkan, itu saja. Ia bukan ada apa-apa maksud terselindung. Apa yang saya hasilkan adalah orang Melayu, Cina dan India cuba membentuk satu identiti kebangsaan waktu lepas merdeka. Orang Melayu sebenarnya berlawan habis-habisan ketika Inggeris cuba menubuhkan Malayan Union. Tapi orang India dan Cina tidak terlibat sangat dalam perkara ini. Tetapi mereka tetap mengambil bahagian. Selepas British menarik balik Malayan Union, bukan orang Melayu saja yang menang tetapi orang Cina dan India turut menang sama. Itu yang saya cuba gambarkan.

MINGGUAN: Dari mana Datuk mendapat ilham membuat novel ini?

ABDULLAH: Saya dapat ilham ini mula-mulanya terdapat seorang pensyarah India dalam pengajian India di Universiti Malaya. Tapi saya lupa namanya kerana sudah 40 tahun berlalu. Dia bercerita kepada saya tentang orang India. Dari situ saya dapat ilham untuk membuat kisah mengenai orang India dalam novel Interlok. Mengenai orang Melayu saya memang dilahirkan sebagai Melayu. Orang Melayu ini ketika zaman penjajahan Inggeris selalu hanya pergi ke sekolah Melayu dan ramai tidak boleh masuk sekolah Inggeris. Orang Cina dengan India masuk sekolah Inggeris tetapi orang Melayu tidak ada.

Orang Melayu sudah pandai menulis dan membaca tetapi apa yang mereka buat, tidak ada apa-apa. Akhirnya orang Melayu ini hanya duduk di kampung jadi petani, nelayan. Kalau di estet hanya orang India dan orang Melayu tidak ada. Hidup orang Melayu sangat susah, miskin dan bodoh. Sebenarnya saya ada tulis di dalamnya saya bukan menghina orang Melayu tetapi itulah kenyataannya dan orang Melayu tidak marah. Tetapi bagi orang India saya tulis paria mereka nak marah. Sebenarnya paria di India masih ada sampai sekarang. sebelum ini Indra Gandhi cuba menghapuskan sistem kasta ini tapi gagal. Beliau pernah pergi ke India Selatan untuk menyelesaikan masalah ini tetapi tidak boleh.

MINGGUAN: Adakah orang India sekarang sudah berubah?

ABDULLAH: Saya tidak tahu sama ada orang India sekarang sudah berubah atau lupa sejarah. Dahulu orang India dan Cina di bawa masuk ke Tanah Melayu. Orang Cina mula-mula datang mahu cari makan dan cari duit untuk dihantar balik ke China dan membantu keluarga mereka di sana. Orang India juga begitu. Mungkin bila mereka sudah berjaya dan kaya mereka lupa. Maka mungkin anak-anak mereka sekarang sudah tidak tahu lagi kerana ibu bapa mereka sudah tidak bercerita. Mereka tidak lagi mengamalkan kasta dan pelbagai budaya lain kerana mereka lahir dan dibesarkan di negara ini.

MINGGUAN: Datuk tidak bimbang ketika itu nanti orang Melayu tersinggung?

ABDULLAH: Mula-mula saya bimbang juga orang Melayu akan tersinggung tetapi mereka faham dan tidak ada berlaku apa-apa yang tidak diingini. Begitu juga orang Cina, mereka faham dan tidak berlaku apa-apa. Ada orang Belanda tulis tentang Interlok (G.L Kosler dalam buku Abdullah Hussain dalam esei dan kritikan), menyatakan orang Cina dan India bersatu dengan orang Melayu dalam karya Interlok. Ia sesuatu yang bagus.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp


Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 14 Januari 2011

Interlok diiktiraf sastera nadir


Penulis :Nazmi Yaakub
2011/01/15


KUALA LUMPUR: Pengkaji sastera mengiktiraf Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain sebagai karya sastera nadir atau jarang dihasilkan yang menerapkan kepelbagaian bangsa dan perpaduan kaum di Malaysia, mengatasi segala teks Komponan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) sebelum ini.

Bekas Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu, berkata Interlok yang mengambil latar masa dari 1910 sehingga kemerdekaan negara pada 1957 memaparkan realiti masyarakat ketika itu tanpa berselindung.

Interlok perlu digali untuk mendapatkan ilmu sampingan dan tidak boleh dianggap karya remeh-temeh. Semua watak menjadi protagonis sehingga tiada wira tunggal. Ia juga menampilkan nilai positif, iaitu tidak putus asa mahupun pesimistik melalui watak Seman, Maniam dan Chin Huat, katanya. Beliau berkata demikian pada Wacana Interlok: Jujur atau Perkauman di Ibu Pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Balai Berita, di sini semalam. Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamad Saleeh Rahamad.

Interlok menjadi kontroversi apabila ada pihak mendakwanya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India sehingga membawa peristiwa pembakaran novel terbabit dan gambar pengarangnya di hadapan Dewan Sentosa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang, 8 Januari lalu.

Peristiwa itu menyebabkan beberapa persatuan penulis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis, menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pelajaran agar ia dikekalkan sebagai teks tanpa pengguguran sebarang perkataan yang didakwa sensitif oleh sesetengah pihak.

Seorang lagi ahli panel, Pegawai Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata setiap frasa dalam novel Interlok tidak membenarkan amalan kasta yang wujud di India untuk diamalkan di negara ini, selain memberi peluang kepada pembaca untuk mendalami budaya kaum India.
Kewujudan perkataan yang dianggap menghina sebenarnya tidak mewajarkan pengamalan kasta dalam kehidupan baru di negara ini, sebaliknya pengarang menghasilkan Interlok berdasarkan perspektif dan fakta yang dikutip daripada kenalannya di kalangan sarjana India.

Sejarah juga menjadi bingkai besar kepada Interlok yang turut memperlihatkan gerakan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dan kesedaran orang Cina mahupun India terhadap nasib mereka di tanah air yang baru, sekali gus menjadikan gerakan tiga kaum berkenaan dalam keadaan seiring, katanya.

Pandangan mereka disokong Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman yang meminta Interlok dibaca secara bersepadu dan tidak mengambilnya dalam bentuk frasa tertentu saja.

Perkataan itu disebut untuk menunjukkan sosiobudaya watak Maniam di benua India. Pengarang tidak menghina kaum India kerana watak Maniam dijulang beberapa kali dengan menyebutnya sebagai baik. Interlok juga menampilkan keindahan budi dan keikhlasan watak berkenaan, katanya.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin, meminta semua pihak mencari kejernihan dalam penggunaan teks sastera di sekolah kerana kontroversi itu boleh menyebabkan pelajar tidak seronok atau selesa menggunakannya.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Interlok, interlok - o - phobia dan sauberung sastera



SEJAK pertama kali dicetuskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mengenai novel Interlok, nampaknya isu novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu semakin membara sehinggakan ada yang sanggup membakar buku teks komponen sastera tingkatan lima itu serta poster pengarangnya.

Namun banyak pihak yang melihat isu konon adanya penghinaan terhadap kaum-kaum tertentu di dalam novel tersebut sengaja dipolitikkan demi kepentingan individu atau kaum tertentu tanpa melihatnya dalam skop dan persepektif yang lebih luas.

Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) berkata, sastera adalah wadah penting untuk mempelajarai sejarah, cita rasa, sosiologi, psikologi dan perasaan sesuatu bangsa dalam sebuah negara dan sastera boleh memupuk kecintaan pelajar terhadap negara.

"Novel ini (Interlok) cuba mengetengahkan tentang asal usul mereka sebagai satu maklumat penting untuk memahami situasi dan kehidupan mereka sekarang.

"Tidak semestinya apa-apa yang diragukan oleh orang dewasa, tambahan pula yang tidak begitu memahami fungsi sastera, karya fiksyen, atau yang hanya segelintir sahaja, mesti menjadi isu sehingga sesuatu dasar dan pertimbangan kerajaan itu seharusnya di kesampingkan," katanya.

Jelas beliau, tindakan emosi berdasarkan perasaan seharusnya dijauhkan kerana ia boleh memaksa rasa emosi dan pemikiran yang tidak rasional terhadap masyarakat, terutama mereka yang tidak pernah membaca karya sastera apa lagi menganalisis dengan adil karyanya.

"Isu Interlok bukanlah isu politik sempit yang membawa kepada demonstrasi jalanan, membakar bahan yang tidak berdosa, membangkitkan sentimen yang melulu, tetapi isu ini adalah isu pendidikan universal.

A. Kadir Jasin (kadirjasin.blogspot.com) pula berkata, kumpulan masyarakat yang menentang dan membakar novel Interlok sebagai kelompok manusia yang mahu melaksanakan sauberung (bahasa Jerman bermaksud pembersihan) kesusasteraan.

Katanya, novel tersebut menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan orang India beragama Hindu pada halaman 211 dan 220 novel tersebut yang antaranya mengandungi perkataan "paria", iaitu kasta paling rendah dalam masyarakat Hindu.

"Kalau penunjuk perasaan itu hendak Interlok disauberungkan kerana kononnya menyinggung orang India (Hindu), maka mereka kenalah juga membakar novel "Adventure of Huckleberry Finn" karangan Mark Twain kerana ia juga menggunakan istilah yang sama (pariah).

"Kalau para pembakar buku mahu istilah itu diharamkan penggunaannya maka eloklah dimulakan dengan menghapuskan dari muka bumi ini sistem kasta yang mempopularkan istilah paria itu," kata beliau.

Namun, katanya, di India sendiri kerajaannya telah secara rasmi mendokumentasikan kasta dan subkasta dengan tujuan memastikan siapa yang berhak didiskriminasikan secara positif dalam bidang-bidang asas seperti pendidikan dan pekerjaan.

"Lagi pun, latar cerita kedatangan orang India ke Malaysia dalam novel Abdullah itu adalah pada tahun 1910. Abdullah cuba menceritakan situasi yang wujud pada waktu.

"Jadi, sebelum sesiapa pun melakukan sauberung ke atas Interlok atau mana-mana hasil kesusasteraan, eloklah difahami kandungannya," katanya.

Blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) berkata, novel tersebut menceritakan tentang tiga watak utama iaitu Seman, Chin Huat dan Maniam yang mewakili tiga kaum terbesar di Malaysia dan ia digarap melalui pengalaman mereka bertiga dalam memakmurkan negara ini.

"Mereka bercampur gaul atau "berinterlok" tanpa perkauman dan pergaduhan menepati tajuk sebenar novel ini," katanya.

Justeru, kata blog ini, novel Interlok seharusnya dibaca oleh semua kaum di negara ini dan bukannya diharamkan atau dipolitikkan oleh golongan yang sempit fikiran.

Blog Nasionalis 1982 (nasionalis1982.blogspot.com) berkata, beliau hairan mengapa golongan terbabit mempersoalkan kandungan novel tersebut selepas 40 tahun ia diterbitkan sehinggakan mereka sanggup membakarnya seolah-olah ia baru diterbitkan semalam.

"Saya bukan kasihan pada novel yang kena bakar, tapi kasihan pada orang yang membakarnya. Amat naif dan daif sekali. Paling sadis, ada pulak wakil rakyat yang turut sama berdemo. Mereka macam budak-budak.

"Kepada mereka yang berkenaan, kembalilah ke landasan yang benar. Berfikirlah seperti orang yang waras. Jadilah orang yang berani menerima realiti sejarah. Jangan jadikan Interlok sebagai mangsa kepada prasangka liar. Jangan jadi mangsa sindrom interlok-o-phobia," katanya.

Dalam entri terbaru, penulis blog ini berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu bersusah payah mencari individu yang sepatutnya berdialog dengan Kementerian Pelajaran mengenai novel ini kerana calonnya sudah ada iaitu ahli politik yang mencipta polemik dan menimbulkan isu Interlok ini.

"Beliau yang saya maksudkan adalah T. Murugiah. Seorang bijak pandai yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hebat sekali. Tapi sayang. Beliau terlalu cepat melatah. Melatah hingga diketawakan oleh rakyat," katanya.

Nada lebih keras disuarakan oleh blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) yang mahukan Murugiah memohon maaf kepada Abdullah dan seluruh rakyat Malaysia kerana menghina sasterawan tersebut sedangkan beliau sendiri diyakini tidak membaca keseluruhan novel berkenaan.

Malah blog ini mahukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya kerana telah menghina dan memperkecilkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran apabila beliau mengarahkan penarikan balik Interlok sebagai buku teks sastera Komsas tingkatan lima itu sedangkan ia bukan di bawah portfolio beliau.

"Secara tidak langsung (beliau juga telah) mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang kaum India terhadap penulis Interlok sehinggakan ada yang berdemonstrasi dan membakar novel tersebut serta potret penulisnya," katanya.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL.

Source: Utusan Malaysia Online.

"Pengadu ugut bakar bukan saya"



KUALA LUMPUR 13 Jan. – Biro Pengaduan Awam (BPA) hanya bertindak selepas 27 aduan diterima daripada masyarakat India yang tidak berpuas hati dengan novel Interlok karya Abdullah Hussain yang dikatakan mengandungi unsur sensitif.

Sehubungan itu, Pengerusinya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata, semuanya adalah salah faham sehingga timbulnya tuduhan yang menyebut beliau yang ingin mengharamkan dan mengugut membakar novel itu.

Jelasnya, kenyataan itu bukan daripada beliau, sebaliknya pengadu yang mengugut bertindak sedemikian sekiranya BPA tidak melakukan apa- apa.

“Sebagai Pengerusi BPA, saya mengadakan perjumpaan dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran untuk membincangkan masalah itu.

“Hasil mesyuarat semua pihak bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu di buang atau mengharamkan novel itu, bukannya saya yang pandai-pandai membuat keputusan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi berhubung rencana yang ditulis Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), S. M. Zakir dalam Utusan Malaysia hari ini.

Artikel tersebut mendakwa novel Interlok menjadi polemik yang tidak berkesudahan apabila Murugiah menimbulkan isu tentangnya.

Kenyataan Murugiah yang menyebut tentang pengharaman dan ugutan untuk membakar novel tersebut bukan sahaja mencetuskan isu yang sepatutnya tidak timbul tetapi juga membawa kepada tindakan tidak rasional pihak tertentu terhadap novel Interlok.

Murugiah menambah, segala dakwaan yang tidak tepat itu perlu dihentikan dan niatnya hanya untuk menyelesaikan aduan rasa tidak puas hati kaum India.

“Saya ikhlas mahu membantu kerajaan serta meredakan sebarang perasaan tidak puas hati masyarakat tanpa mengira kaum.

“BPA hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dan tidak ada niat mahu mempolitikkan isu novel itu,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran