Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD
TERMIZI, pengarang@utusan.com.my
ARKIB
: 11/11/2012
LENGGONG 10 Nov. - 'Perak
Man', kerangka purba paling lengkap pernah ditemui akhirnya akan pulang ke
tempat asalnya di Lembah Lenggong di sini, setelah mendapat persetujuan
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr.
Rais Yatim ketika mengumumkan perkara itu berkata, upacara pemindahan rangka
berusia kira-kira 11,000 tahun lalu itu akan dilakukan selepas segala kemudahan
menempatkannya siap dibina dalam tempoh dua tahun.
Beliau memberitahu, pihak
kementerian belum menetapkan secara khusus sama ada rangka itu akan ditempatkan
di Muzium Arkeologi Lenggong atau tempat baharu yang bakal dibina kerana
bergantung kepada garis panduan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Itu memang dalam
perancangan tetapi prasarananya mesti siap dahulu. Ini termasuk bangunannya,
pengawasannya, cara menyimpan, alat yang tidak menyebabkan bakteria muncul dan
memusnahkan rangka. Ini semua kita ambil kira.
"Selepas semua ini
dapat disiapkan, barulah upacara pemindahan dapat dilakukan," katanya
kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai
Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dataran Lenggong,
di sini hari ini.
Dalam majlis itu, beliau
turut menyerahkan watikah pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan
Dunia UNESCO kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan
melancarkan laman web warisan arkeologi Lembah Lenggong.
Tapak Arkeologi Lembah
Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO semasa mesyuarat
Jawatankuasa Warisan Dunia ke-36 di Saint Petersburg, Rusia pada 30 Jun lalu.
Sumber: Mingguan MalaysiaOnline.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan