Oleh Rafidah Mat Ruzki, 2012/11/02 - 06:12:43 AM
Pencapaian berdasarkan
pengajaran dan pembelajaran
Shah Alam: Sebanyak 35
institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerima pengiktirafan
cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian tinggi (SETARA) 2011
berbanding 18 IPT pada 2009.
Menteri Pengajian Tinggi,
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sebilangan besar universiti dan kolej
universiti menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam SETARA 2011.
Katanya, SETARA adalah sistem penarafan dan bukan sistem kedudukan (ranking) yang menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran di sesebuah universiti atau kolej universiti.
Bagaimanapun, katanya, tiada
universiti mencapai tahap enam atau terbilang atau tahap satu dan dua bintang,
iaitu lemah dan memuaskan.
UUM antara cemerlang
IPT awam yang menerima
pengiktirafan cemerlang termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia
Perlis, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.
IPT swasta yang menerima
pengiktirafan sama antaranya Universiti Multimedia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti
Teknologi Petronas, Kolej Universiti Sunway, Universiti Teknologi Curtin Kampus
Sarawak, Universiti Monash Kampus Sunway, Kolej Universiti Taylor's dan Kolej
Universiti Nilai.
Mohamed Khaled turut
mengumumkan penarafan bintang bagi mengukur program penyelidikan, pembangunan
dan pengkomersialan mengikut Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA)
terhadap IPT yang terbabit dalam program berkenaan.
Beliau berkata, sejak MyRA
dilaksanakan pada 2007, tahun ini julung kali keputusannya didedahkan kepada
umum.
Enam bintang
Daripada 32 universiti yang
dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti
Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima
pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.
IPT yang menerima
pengiktirafan lima bintang pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi PETRONAS.
Universiti Islam
Antarabangsa dan Universiti Teknologi Petronas turut terpilih untuk
masing-masing menerima inisiatif geran bernilai RM5 juta sebagai galakan
membangunkan program penyelidikan.
Katanya, kedua-dua sistem
penilaian itu (SETARA dan MyRA) digunakan untuk membuat dasar termasuk
penetapan dasar penting dan untuk membangunkan usaha memantapkan universiti di
negara ini.
Jawatankuasa bebas
“Proses dan mekanisme
penilaian kedua-dua SETARA dan MyRA dilaksanakan dua jawatankuasa bebas
berasingan yang masing-masing dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan
Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengajian Tinggi.
Mohamed Khaled berkata,
penarafan itu juga bertujuan mendidik orang awam untuk membuat pemilihan
universiti berdasarkan kepada bintang yang diperoleh IPT terbabit selain
mendapat pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa.
Ditanya mengapa penilaian
selepas ini dibuat tiga tahun sekali bukan lagi dua tahun, Mohamed Khaled
berkata ia untuk memberi peluang kepada IPT memperbaiki kekurangan
masing-masing.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan