Foto - Ihsan Utusan Malaysia Online.
YAN 5 Nov. - Seorang guru
Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Hasanah Abdullah, 55, mencatatkan sejarah
tersendiri hari ini apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak di sini.
Hasanah yang mengambil
aliran subjek teras dengan tambahan Bahasa Arab kelihatan sebak dan gembira
kerana penantian selama 38 tahun untuk menjadi calon SPM akhirnya berjaya.
Ibu kepada enam orang anak
dan nenek kepada tiga orang cucu itu berkata, peristiwa kematian ibu ketika
berusia 15 tahun dan kekangan kewangan memaksanya membatalkan hasrat untuk
menduduki SPM ketika berusia 17 tahun.
Katanya, setelah ibunya
meninggal dunia, dia terpaksa mengambil alih tugas arwah ibu untuk menjaga enam
adiknya yang ketika itu masih kecil.
Selepas ibu meninggal dunia,
setiap tahun saya akan menangis dan meminta izin kepada bapa agar dia
membenarkan saya bersekolah semula kerana mahu menduduki SPM.
Pada waktu itu, saya hanya
memendam keinginan untuk mengambil SPM dan lulus cemerlang bagi mengejar
cita-cita masuk ke universiti," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari
ini.
Hasanah adalah tenaga
pengajar di KAFA Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani dan merupakan
salah seorang daripada 70 calon SPM yang bertugas sebagai guru KAFA dan belajar
di Sekolah Menengah (SM) Langkasuka.
Tambah Hasanah, biarpun
terpaksa menduduki SPM pada usia yang lewat, ia bukanlah penghalang demi
menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan prestasi akademiknya.
Seorang lagi calon, Mahmud
Sri Wijaya Othman, 48, yang merupakan guru KAFA di Sekolah Kebangsaan (SK)
Tanjung Dawai, Sungai Petani berkata, dia tidak berasa kekok untuk berada di
dewan peperiksaan demi menimba ilmu.
Bapa kepada lima orang anak
itu menjadikan anak sulungnya, Al-Kausar, 18, sebagai pendorong untuk dia
berjaya dalam SPM.
Dahulu saya hanya bersekolah
sehingga darjah enam, kemudian sambung ke sekolah Arab dan tidak pernah
mengambil peperiksaan SPM, jelasnya.
Pemangku Pengetua SM
Langkasuka, K.S Maniam berkata, tahun ini terdapat seramai 147 calon SPM
termasuk 70 guru KAFA yang berusia lingkungan 30 tahun hingga 55 tahun dan enam
jururawat di sekolah itu.
Katanya, calon yang terlibat
tidak hanya membabitkan daerah Yan malah mereka dari serata daerah di negeri ini
termasuk Sik, Pendang dan Kuala Muda.
Sementara itu, Pengarah
Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, pada tahun ini jumlah calon SPM
meningkat kepada 38,171 orang berbanding tahun lalu 36,688 orang.
Katanya, jumlah tersebut
termasuk sekolah kerajaan, swasta, sekolah agama rakyat dan Maktab Rendah Sains
Mara (MRSM).
Jumlah pusat peperiksaan
yang dibuka pada tahun ini adalah sebanyak 275 buah dan membabitkan 1,738
pengawas peperiksaan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan