Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh: 2010/06/24
MESKIPUN diakui wujud beberapa kelemahan dalam sistem matrikulasi, beberapa naib canselor universiti dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berpendapat ia perlu diteruskan Kementerian Pelajaran kerana masih relevan dalam menyediakan peluang kemasukan ke universiti untuk pelajar Bumiputera.
Alimuddin berkata, matrikulasi sebenarnya diwujudkan sebagai trek pantas kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki universiti dan kurikulumnya juga disediakan dengan keperluan untuk memenuhi tujuan itu.
Selain itu, katanya, memang diakui semua pelajar matrikulasi perlu sedar persaingan yang wujud antara mereka dengan pelajar lepasan diploma dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun atas kapasiti sebagai pelajar cemerlang dalam kalangan lepasan SPM, mereka sepatutnya mampu menempatkan diri dalam kalangan pesaing terbaik menerusi kiraan merit.
“Pelajar matrikulasi terdiri dalam kalangan mereka yang terpilih antara terbaik dalam keputusan SPM. Justeru, secara teorinya mereka mesti boleh mengikuti program itu dengan baik serta mampu menempatkan diri dalam kalangan terbaik.
“Kurikulum di matrikulasi bukan sebarangan, penyediaannya disertai semua naib canselor institusi pengajian tinggi (IPT). Keperluan IPT dimasukkan dalam kurikulum itu dan persefahaman itu sepatutnya sudah dikira mantap. Namun, saya tak nafikan wujudnya kelebihan dan kekurangan dalam mana-mana program yang ada.
“Program diploma memberi peluang kepada pelajar untuk memasuki bidang yang lebih khusus berbanding pelajar matrikulasi yang lebih terbuka peluang mereka menyertai jurusan lain. Justeru, untuk memastikan mereka berjaya ditempatkan dalam program yang mereka mahu, kenalah berusaha untuk mendapat keputusan terbaik,” katanya sambil mengakui pengambilan pelajar matrikulasi akan bertambah setiap tahun.
Pandangan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengenai kurang berkesannya matrikulasi dalam memberi laluan sesuai kepada pelajar ke universiti disangkal dua rakan sejawatannya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berpendapat program itu perlu diteruskan untuk menyediakan pilihan kepada pelajar merencanakan masa depan mereka.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pengajian tinggi sebenarnya bukan sekadar bermatlamat melahirkan tenaga mahir dalam sesuatu bidang tetapi turut berperanan membina insaniah bakal graduan supaya mempunyai karakter yang matang serta mampu berkomunikasi dengan cemerlang.
Justeru, isu kegagalan pelajar mendapat jurusan yang mereka minati bukanlah perkara besar dan sewajarnya dijadikan soal kedua kerana sudah terbukti ramai individu berjaya dalam kerjaya yang diceburi meskipun mempunyai ijazah dalam bidang berbeza.
“Ramai yang sudah berjaya, sedangkan dia tidak belajar pun bidang itu di universiti. Ramai tokoh korporat hebat tidak pernah pun belajar mengenai organisasi. Ramai juga ahli perniagaan yang langsung tidak pernah mengikuti bidang ekonomi atau perniagaan. Tengok sekeliling kita betapa ramai yang berjaya dengan memiliki ijazah dalam bidang berbeza.
“Jangan terlalu vokasional dalam menyediakan pendidikan. Pelajar kita selama ini terlalu banyak disuap.
“Kita perlu lebih fokus memikirkan bagaimana mahu mengeluarkan hasil berkualiti bukan mempersoalkan mengenai kemasukan. Tidak perlu bagi kementerian menutup opsyen yang ada ketika ini.
“Sistem di Malaysia sebenarnya menyediakan ruang yang pelbagai dan sewajarnya kita meraikan kepelbagaian itu. Ia memberi peluang kepada semua orang untuk membuat pilihan bergantung kepada kemampuan dan keupayaannya. Sudah sampai masa semua universiti mula memberi fokus kepada melatih kepemimpinan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah, berkata meskipun ada kebenaran dalam kenyataan Naib Canselor UiTM itu, realiti yang perlu diambil kira ialah pelajar di matrikulasi adalah golongan cemerlang dalam SPM dan sewajarnya mereka tiada masalah untuk cemerlang ketika mengikuti program itu.
“Diakui memang sukar untuk memasuki bidang perubatan tetapi jika seseorang pelajar itu mampu lulus cemerlang dan layak, rasanya tiada masalah untuk dia menempatkan diri dalam kalangan mereka yang terpilih secara merit.
“Sistem sedia ada sekarang adalah satu sistem terbaik yang wajar diteruskan. Pelajar terbaik dalam SPM biasanya dapat tawaran ke seberang laut. Selebihnya akan mengikuti program matrikulasi yang saya anggap sebagai sumber penting sebagai laluan ke universiti.
Berita Harian cuba mendapatkan dua jabatan yang berperanan secara langsung dalam isu ini iaitu Jabatan Pengajian Tinggi dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran, namun kedua-dua pihak enggan mengulas dengan alasan ia adalah isu sensitif dan akan diselesaikan pada peringkat dalaman yang membabitkan perbincangan lanjut.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KementerianPelajaranbelumcadanghentisistemmatrikulasi/Article/index_html
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan