Najib berucap di Minggu Halal Malaysia.
Foto Oleh Azhar Pidek
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Minggu Halal Malaysia, yang mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju industri halal global dijangka meraih urus niaga dan transaksi bernilai lebih RM3.8 bilion.
Perdana Menteri berkata usaha bersama tiga pihak itu adalah contoh terbaik inisiatif perkongsian awam-swasta untuk memajukan lagi industri halal ke barisan hadapan ekonomi global.
Usahasama itu akan dilaksanakan antara Kasehdia Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
"Asalnya, Minggu Halal Malaysia menjadi tumpuan peserta industri global dengan urus niaga dan transaksi pada 2008 berjumlah RM2.2 bilion dan meningkat kepada RM3.23 bilion pada 2009," kata Najib semasa menyampaikan ucaptama di Forum Halal Dunia 2010 di sini pada Isnin.
Katanya pihak berkepentingan halal perlu mengkaji semula pencapaian dan menilai secara realistik kemajuan masing-masing di dalam industri itu bagi mengambil kesempatan sepenuhnya potensi yang besar yang ditawarkan industri itu.
"Kita telah menyasarkan dan mencapai hasil yang besar tetapi kini adalah masanya untuk mengkaji semula pencapaian dan menilai scara realistik kemajuan kini bagi menilai semula secara berkesan strategi kita, dengan memastikan kita berada pada landasan untuk mengambil kesempatan sepenuhnya potensi besar yang belum diraih lagi," katanya.
Perdana Menteri berkata usaha menghasilkan potensi industri halal memerlukan pelaksanaan satu pemahaman menyeluruh kesemua isu dan cabaran.
Bagi menangani halangan dan cabaran utama pada masa depan, Najib berkata pihak berkepentingan di negara ini dan di dalam industri itu perlu berusaha dan mengekalkan ikatan strategik dengan peserta utama.
"Saya menjangka sinergi yang kukuh berikutan jalinan perkongsian bijak antara organisasi utama dan Islam.
"Orang Islam perlu merebut peluang untuk menggerakkan diri masing-masing ke aras aktiviti nilai tambah yang lebih utama dan kemahiran berasaskan pengetahuan seperti jaminan kualiti dan pematuhan, latihan, pengurusan dan penjenamaan," katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan penerbitan empat modul, yang terdiri daripada standard halal global oleh Ikatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI) di dalam langkah mengharmonikan industri halal global.
IHI, katanya merupakan satu inisiatif yang diwujudkan dari Forum Halal Dunia (WHF), boleh mengukuhkan dirinya sebagai pihak berkuasa halal global dan boleh memulakan proses menyatukan komuniti itu yang berpecah-pecah.
Bagi menyokong usha itu, halal perlu terus dijadikan satu jenama premium yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai simbol kualiti dan kecemerlangan, kata Perdana Menteri.
Dengan itu, adalah perlu agar amalan terbaik dimasukkan oleh badan Islam bagi meletakkannya pada tempat lebih baik dan melindungi integriti pasaran halal, kata Najib.
Walau pun kini terdapat lebih 300 badan yang menawarkan persijilan halal, hanya satu pertiga diiktiraf sebagai badan yang sah, sekaligus mewujudkan kebimbangan sama ada agensi sedemikian mendapat pentaulihan sejajar dengan penanda aras antarabangsa dan berupaya mengeluarkan persijilan berasaskan standard antarabangsa.
Untuk menangani masalah itu, Malaysia akan terus menawarkan kepakarannya dan pengalamannya sejak banyak tahun lepas di dalam persijilan halal dan pembangunan standard.
Najib berkata pasaran produk halal global dianggarkan bernilai US$2.3 trilion, di mana 67 peratus atau US$1.4 trilion terdiri daripada makanan dan minuman.
Katanya farmaseutikal merangkumi 22 peratus atau US$506 bilion dengan kosmetik dan penjagaann peribadi berjumlah US$230 bilion.
"Jika kita masukkan sektor perkhidmatan halal dan kita mempertimbangkan perkara ini dengan serius, potensi saiz pasaran keseluruhan adalah sangat besar," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan empat modul standard halal global IHI dan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang dan Investmy International Ltd, satu syarikat perunding berpangkalan di Yemen.
Kira-kira 900 peserta, yang termasuk peserta industri tempatan dan antarabangsa, pembuat dasar serta para ahli akademik berkumpul di platform WHF bagi bertukar-tukar idea serta penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh industri itu.
Minggu Halal Malaysia meliputi WHF ke-lima, Sidang Kemuncak Halal Dunia ke-tiga (23-25 Jun) dan Pemeran Halal Antarabangsa ke-tujuh (Mihas), yang bermula Rabu.
-- BERNAMA
Source: http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id=507423
Date : June 21, 2010 12:19 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan