TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 7 Oktober 2011

Datuk Seri Najib umum Dasar Transformasi Nasional

Tarikh: 2011/10/07

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 berjumlah RM232.8 bilion dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program transformasi yang sudah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, dasar itu yang menjadi kemuncak kepada semua program dan inisiatif untuk menjadi negara maju, bermula tahun ini sehinggalah 2020.

Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebelum menyusuli dengan Program Transformasi Nasional (GTP), Program Transformasi Ekonomi dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik untuk menjadikan Malaysia negara moden, progresif dengan demokrasi yang berfungsi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara" di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

Belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur.

Malah, Ahli Parlimen juga bakal menikmati elaun baru serta kemudahan lain.

Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Perdana Menteri yang yakin dengan keutuhan asas ekonomi negara beserta langkah rangsangan, berkata ekonomi negara dijangka tumbuh antara 5 peratus dan 6 peratus tahun depan.

Katanya, pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat, disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib berkata, defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.4 peratus pada 2011.

Kutipan hasil Lerajaan Pusat bagi 2012 diangggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion berbanding RM183.4 bilion pada 2011.

Bagi 2012, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion.

Belanjawan 2012 memberi penekanan kepada lima fokus, iaitu Meligatkan Pelaburan; Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti Dan Mencetus Inovasi; Program Transformasi Luar Bandar; Memperkejap Perkhidmatan Awam; dan Meredakan Inflasi Dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.

Bagi meligatkan pelaburan, kerajaan akan melaksanakan Rolling Plan Kedua dengan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dengan peruntukan RM98.4 bilion bagi tahun 2012 dan 2013.

Projek tersebut antaranya ialah landasan kereta api berkembar Gemas-Johor; projek lebuh raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu, Banting-Taiping, Segamat-Tangkak dan jalan Kota Marudu-Ranau; serta pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi.

Najib juga mengumumkan cadangan menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings sebagai sebuah lagi syarikat "blue chip" (saham mewah) perladangan sebelum pertengahan tahun depan.

Katanya, setiap peneroka akan menerima "durian runtuh" yang jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.

Bagi mengungguli modal insan, Najib mengumumkan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional bagi menggalakkan cetusan idea bernilai komersial.

Beliau juga mengumumkan pemansuhan bayaran bagi sekolah mulai tahun depan, menjadikan pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.

Bagi luar bandar, Najib menggariskan Program Transformasi Luar Bandar, bertujuan menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran