TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 8 Oktober 2011

Belanjawan Untuk rakyat golongan rendah

Mukadimah

PEMBENTANGAN Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu menerima reaksi positif rakyat terutama kakitangan kerajaan dan golongan berpendapatan rendah.

Tentunya pengumuman pendidikan sekolah rendah dan menengah percuma - antara yang paling mendapat perhatian dalam Bajet tersebut. Sambil menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai amat komprehensif dan mencakupi keperluan mengukuhkan ekonomi negara terutama dalam keadaan ekonomi global agak tidak menentu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyentuh tentang apa sebenarnya yang ingin dilaksanakan kerajaan. Beliau yakin setiap langkah yang dibentangkan telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kerajaan melaksanakannya. Enggan mengulas panjang perihal bajet pembangkang, Husni memberitahu, kesemua itu hanya bayangan yang tidak mempunyai asas langsung. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, Husni mengulas tentang Bajet 2012.


MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana Bajet kali ini mampu untuk menempuh badai kegawatan ekonomi yang semakin serius di Eropah dan Amerika Syarikat?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Dalam penyediaan Bajet 2012, kerajaan telah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada krisis hutang di Eropah dan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, di mana situasi ini boleh memberi kesan ke atas negara-negara pengeksport termasuk Malaysia. Penyediaan Bajet kali ini turut mengambil kira kesan kenaikan harga dan kos sara hidup rakyat.

Bajet 2012 ini menempa sejarah sebagai Bajet yang menyeluruh, berasaskan konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Ia bersifat “inclusive”, di mana setiap rakyat mendapat manfaat. Di samping itu, kerajaan mengadakan langkah-langkah yang mampu mewujudkan persekitaran kondusif bagi mempastikan pihak swasta dapat menjalankan aktiviti ekonomi, dan seterusnya mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bajet ini adalah “mildly expansionary” mengikut kemampuan fiskal Kerajaan.


MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana Datuk Seri melihat Bajet kali ini sebagai Belanjawan pilihan raya?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Semenjak Perdana Menteri memegang tampuk kepimpinan negara, beliau telah mentakrifkan kepimpinan beliau berasaskan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bajet ini mencerminkan keazaman beliau melaksanakan prinsip tersebut dengan memberi fokus kepada keperluan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh.

Bajet 2012 ini mengutamakan rakyat (people centric). Yang penting, semua lapisan rakyat teRutama golongan berpendapat rendah, wanita, warga emas, pelajar serta mahasiswa, pemandu teksi, nelayan, pesara dan penjawat awam, akan mendapat manfaat daripada langkah Bajet 2012 ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri membandingkan Bajet ini dengan Bajet Bayangan yang diumumkan pembangkang?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Tak perlu kita berhujah panjang mengenai bajet bayangan pembangkang, kerana jelas ia hanyalah bayangan dan tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat. Saya hanya mahu menyentuh mengenai satu perkara mengenai bajet bayangan ini, yakni, syor pengurangan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM10 bilion. Sebagaimana kita maklum, JPM mengandungi lebih 40 agensi-agensi seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jabatan Perpaduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perangkaan dan terdapat 29,763 kakitangan di bawah JPM dan agensi-agensi tersebut.

Keseluruhan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Jabatan Perdana Menteri adalah sebanyak RM13.5 bilion, iaitu RM5.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.8 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Tindakan memotong peruntukan JPM itu akan mengakibatkan lebih dari 40 agensi di bawah JPM tidak berfungsi, apalagi untuk membayar gaji 29,763 kakitangan tersebut. Bayangkan apa akan terjadi jika agensi-agensi seperti Jakim, Jabatan Perpaduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perangkaan tidak berfungsi. Apa akan jadi kepada negara? Sesungguhnya, bajet bayangan ini ada banyak percanggahan.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

MINGGUAN MALAYSIA: Mengenai inisiatif kerajaan membantu menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan telah membuat kajian dan mendapati kos makanan telah meningkat secara ketara sejak tiga tahun lalu. Walaupun ini merupakan fenomena global, namun Kerajaan amat sedar akan kesulitan rakyat. Maka dengan itu, kita telah menyediakan berbagai insentif bagi membantu meringankan kesulitan golongan berpendapatan rendah. Antara yang utama ialah memberi insentif tunai berjumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Kerajaan turut memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian baucar buku berjumlah RM200 kepada penuntut Institusi pengajian tinggi. Yuran sekolah rendah dan menengah juga telah di mansuhkan.

Sebagai seorang wakil rakyat, saya bertemu dengan orang ramai. Saya tahu bagaimana terdapatnya keluarga-keluarga berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Katakanlah sesebuah keluarga ini mempunyai empat orang anak, dua di sekolah menengah dan dua lagi di IPTA. Dengan adanya insentif tunai, bantuan persekolahan dan baucar buku ini, keluarga tersebut akan mendapat bantuan berjumlah RM1,100. Saya berharap sumbangan ini dapat sedikit-sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga tersebut.

Kerajaan juga akan mengekalkan pemberian subsidi keatas barangan asas yang kini berjumlah RM33.2 bilion, termasuk subsidi petroleum.

Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan tawaran harga barangan serendah 40 peratus serta penggalakkan jualan terus dari kilang dan ladang adalah antara langkah yang telah dan akan terus diambil oleh Kerajaan. Kita berharap, inisiatif-inisiatif seperti ini sedikit-sebanyak mampu meringankan kos sara hidup rakyat.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa ukuran sebenar yang diguna pakai kerajaan dalam menangani kesan kegawatan ekonomi akibat kelembapan AS dan krisis hutang kerajaan negara-negara Eropah?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran kondusif bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, terutamanya pelaburan swasta dan awam serta penggunaan swasta.

Peningkatan pelaburan akan terus disokong oleh Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaksanaan projek-projek di bawah Plan Transformasi Ekonomi serta Rolling Plan Kedua. Sebagaimana yang kita tahu, Pelaburan Langsung Asing telah meningkat kepada RM21.2 bilion pada enam bulan pertama tahun 2011, berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Jika krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah berlarutan, kesan kepada eksport memang akan dirasakan, namun kesan tersebut akan dapat dikurangkan kerana Malaysia telah sekian lama turut memberi tumpuan kepada pasaran-pasaran lain seperti pasaran ASEAN yang kini memiliki lebih 500 juta penduduk serta pasaran Asia yang lain.

Selain itu, kita turut menjangkakan pelaksanaan liberalisasi 17 lagi subsektor perkhidmatan akan meningkatkan lagi nilai kompetitif negara, dan mampu menarik pelaburan yang lebih tinggi. Ini secara langsung akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, Kerajaan akan turut menumpu kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping melaksanakan “mildly expansionary budget”.

MINGGUAN MALAYSIA: Setiap kali berlaku kenaikan gaji pasti diikuti dengan kenaikan harga barang. Apakah perkara ini tidak boleh dibendung?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan akan sentiasa memantau pergerakan dan perkembangan harga terkini bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan supaya ia tidak menjejaskan kehidupan harian rakyat. Kerajaan telah turut menjalankan inisiatif untuk memperkukuhkan rantaian pembekalan (supply chain) bagi mempastikan bekalan makanan dan keperluan rakyat mencukupi, dengan harga yang berpatutan. Ini termasuk usaha FAMA yang memasarkan produk pertanian terus ke pasar tani melalui ladang kontrak.

Usaha-usaha lain ialah seperti pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga barangan 40 peratus lebih murah, menjalankan aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan melaporkan harga barangan makanan setiap hari. Menggubal Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan sebagai usaha untuk mengekang syarikat atau individu menjual barangan pada harga lebih tinggi daripada pasaran secara melampau, serta mewujudkan portal interaktif ‘1Malaysia Pengguna Bijak’ untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada pengguna.

MINGGUAN MALAYSIA: Kebiasaannya Kerajaan mempunyai dasar atau perancangan yang baik namun agak mengecewakan dari segi pelaksanaan. Apakah langkah untuk mengelak perkara ini daripada berterusan?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Pelaksanaan projek-projek Kerajaan sekarang di pantau dengan secara teliti. Kerajaan telah pun merangka Program Transformasi Kerajaan yang melibatkan pengenalan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). NKRA ini dipertanggungjawabkan ke atas setiap Menteri dan Kementerian yang terlibat melalui penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI). Setiap Menteri dan Kementerian terlibat akan dipantau prestasinya dengan teliti dan dilaporkan setiap bulan. Kita mahu memastikan semua dasar dan perancangan yang di gubal dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jika kita lihat pada suku pertama 2011, peratusan perbelanjaan mengikut aliran tunai untuk projek-projek awam adalah 24.0 peratus. Dengan adanya rangka pemantauan tersebut, peratusan ini mencapai 49.0 peratus pada suku kedua.

Dengan pengukuran KPI ini juga, rakyat dapat menilai tahap pelaksanaan program-program yang telah dirangka oleh kerajaan.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat saranan Tun Dr. Mahathir supaya Malaysia segera mencari pasaran baru yang lebih terjamin seperti Turki dan rantau Asia lain?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan sememangnya sentiasa menerokai pasaran baru supaya para pengeksport negara ini tidak terlalu bergantung kepada sesuatu pasaran. Kita perlu mempelbagaikan pasaran. Hasil dari usaha Kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan pasaran eksport negara telah pun beralih daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) ke Asia.

Eksport kita ke AS dan Eropah sekarang hanya merupakan 20.2 peratus dari jumlah eksport kita pada tahun lepas, di bandingkan sebanyak 39.2 peratus pada 2005 manakala eksport ke China dan negara-negara lain meningkat dari 42.6 ke 54.3 peratus. Perdagangan kita dengan new emerging economies di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Vietnam dan negara-negara Komanwel Negara-Negara Bebas (CIS) juga amatlah menggalakkan. Adalah jelas usaha Kerajaan memupuk pasaran-pasaran baru selain dari Amerika Syarikat dan Eropah telah membawa hasil.

Kita juga boleh memperoleh pasaran baru dengan para pengeksport memperkenalkan barangan dan perkhidmatan baru, yakni produk-produk bernilai-tambah tinggi. Inilah antara tunjang utama usaha Kerajaan mentransformasikan ekonomi untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan telah pun menubuhkan AIM (Agensi Inovasi Malaysia) untuk mengkomersialkan produk-produk yang berteraskan inovasi untuk pasaran dunia yang semakin kompetitif. Kita mahu negara ini mengeluarkan produk-produk bernilai tinggi yang mampu berdaya-saing secara global, membuka pasaran baru untuk pengeksport-pengeksport kita. Setakat ini AIM sedang mengenal pasti di kalangan seribu projek penyelidikan untuk di komersialkan. Saya yakin produk-produk ini akan membawa impak yang tinggi kepada pasaran eksport negara di masa hadapan.

Kerajaan mahu ekosistem industri-industri pembuatan domestik diperkukuhkan; di mana kluster-kluster penyelidikan, pembuatan dan pemasaran & penjenamaan, malah seluruh rangkaian nilai industri pembuatan domestik di pertingkatkan bagi mencapai nilai pasaran eksport yang lebih tinggi.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran