Oleh Azrul Affandi Sobry, azr@bharian.com.my
Tarikh: 2010/12/13 Siri 2
Tanah tidak subur di Gerogol punca merantau cari kawasan baru
PONOROGO ialah satu daerah di Jawa Timur, iaitu satu daripada kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Tengah dan Jawa Barat. Sejarah daerah itu cukup unik terutama mengenai perkembangan Islam sebagai agama terbesar selepas begitu lama rakyatnya beragama Hindu. Lebih menarik untuk dikupas sejarah daerah itu kerana ia berkait rapat dengan kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo di kebanyakan kampung Batu Pahat, Johor serta sebahagian besar turut mendiami Selangor.
Di Batu Pahat, masyarakat itu mula mendiami kebanyakan pedalaman awal 1920-an lantaran kesukaran mengukuhkan ekonomi di daerah asal. Penghijrahan itu juga disebabkan penindasan sejak mereka diperintah kerajaan Majapahit. Merujuk masyarakat Jawa Ponorogo di Kampung Parit Warijo, mereka berasal dari Gerogol, kampung kecil di Ponorogo, Indonesia. Kewujudan Parit Warijo dimulai dengan perpindahan sekumpulan kecil masyarakat itu diketuai Warijo Joyo pada 1926.
Pemilihan sekitar Sri Medan untuk dijadikan penempatan dicadangkan penduduk Parit Osman yang sudah lama mendiami kawasan itu tetapi bukan dari Ponorogo.
Pada mulanya, Parit Warijo dan kebanyakan kampung di sekitarnya hanya hutan dan penerokaan Warijo membolehkan lebih ramai penduduk berhijrah, sekali gus mewujudkan perkampungan baru. Pembukaan Parit Warijo juga mendorong penerokaan kawasan baru oleh rakan Warijo seperti di Parit Dayos dan Parit Baru. Keadaan sama berlaku di luar Sri Medan seperti di Parit Bingan dekat Parit Raja yang turut didiami majoriti Jawa Ponorogo.
“Perpindahan Jawa Ponorogo ke sini melalui Singapura. Ketika itu mereka tidak kata ke Malaya tetapi sekadar menyebutnya ke seberang. Antara sebab utama mereka berpindah kerana tanah di sini lebih subur untuk bercucuk tanam.
“Tanah di Gerogol keras tidak sesuai untuk bertani. Warijo sanggup berhijrah jauh ke sini untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Itupun selepas mendengar cerita penduduk Parit Osman,” kata bekas ketua kampung, Malik Samuri, 77, sambil menunjuk tapak rumah Wajuri bersebelahan gerbang masuk ke Parit Warijo.
Meskipun Warijo peneroka kampung itu, peranan membawa masuk lebih ramai Jawa Ponorogo digerakkan Samuri Iman Rejo yang datang kemudian sekali gus dilantik menjadi ketua kampung. Masyarakat Jawa Ponorogo awalnya menanam padi, ubi dan kopi sebagai sumber ekonomi selain bekerja di lombong besi sekitar Sri Medan. Kesempatan meneroka lebih banyak kawasan hutan membolehkan mereka menanam getah dan kelapa sawit malah ada yang memiliki kebun puluhan hektar.
Masyarakat Jawa Ponorogo di Sri Medan yang sudah mencapai generasi ketujuh masih tidak dapat mengetepikan budaya Hindu yang dibawa dari Indonesia termasuk penggunaan amber tengah (ruang berpalang bawah di tengah rumah) untuk meletak sajen (nasi dengan daging bakar dan kemenyan), meskipun sebahagiannya sudah tidak digunakan.
Hindu mempengaruhi rapat sejarah masyarakat di Indonesia sebelum kemasukan Islam di kebanyakan kawasan Kepulauan Jawa. Ia bermula sejak Ponorogo yang sebelumnya dikenali sebagai Wengker pada abad ke-15 di bawah penguasaan kerajaan Majapahit, pimpinan Perabu Barwirabumi.
Wengker dipimpin Ki Ageng Suryong Alam atau (Ki Ageng Kutu) yang enggan membayar ufti kepada Majapahit. Pembesar Majapahit mengarahkan anaknya, Lembu Kanigoro untuk bertindak. Kanigoro menemui abangnya, Radin Fatah yang menjadi Sultan Demak untuk mempelajari taktik berperang.
Kanigoro juga belajar agama dan memeluk Islam serta menukar namanya kepada Bethoro Katong atau Radin Katong sebelum meneruskan misinya ke Wengker dengan bantuan seorang abdi bernama Selo Aji. Hasil bantuan seorang Muslim, Ki Ageng Merah, satu pertemuan dengan Ki Ageng Kutu dibuat bagi mencari kata sepakat. Namun, ia ditolak pemimpin Wengker sehingga mencetuskan peperangan. Kemenangan akhirnya diperoleh Bethoro Katong selepas mempelajari ilmu kesaktian apabila mengahwini anak Ki Demang, Niken Sulastri sekali gus menawan Wengker dan menjadi bupati (penghulu) pertama bagi daerah itu yang ditukar namanya Ponorogo.
Tentera Wengker dijadikan pengawal daerah dan daerah itu menjadi lokasi latihan tentera.
Pengawal dilatih menjadi handal selain mempunyai kesaktian serta jujur dalam menjalankan tugas. Keberanian dan kepahlawanan itu menyebabkan mereka digelar Warok dalam masyarakat Jawa Ponorogo.
Sebenarnya Warok menjadi sejarah penting yang menggambarkan ciri utama masyarakat ini iaitu berani dan teguh mempertahankan negeri. Karakter Warok dengan misai dan janggut tebal serta berpakaian serba hitam sering dijadikan bahan dalam persembahan wayang kulit dan barongan. Watak ini juga diabadikan di Ponorogo, Indonesia sebagai tugu simbol kekuatan masyarakat itu. Penampilan watak Warok dengan konsep pakaian asalnya masih ada dalam persembahan barongan. Kemasukan Islam secara hebat di kawasan itu juga ada kaitannya dengan peperangan itu dan peranan Warok sendiri.
Menurut guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Medan, Mohd Abidin Ismail, kemasukan masyarakat Jawa Ponorogo ke Tanah Melayu ada kaitan dengan peperangan antara Majapahit dengan Belanda.
“Meskipun orang Jawa terkenal dengan keberanian, mereka tidak suka peperangan sebab itu mereka memilih Tanah Melayu kerana aman. Sebenarnya Jawa Ponorogo datang ke sini sebelum Perang Dunia Pertama. Kawasan Parit Raja, Parit Sulong dan Sri Medan menjadi pilihan pertama. Mereka dari Bengkalis melalui Sumatera pula ke Selangor.
“Kebetulannya lokasi Jawa Ponorogo dekat untuk ke Selangor dan Johor. Mereka datang dengan tongkang dan memilih hutan untuk diteroka sebab masyarakat ini memang rajin membuka tanah baru. Nama perkampungan diambil daripada nama ketua yang meneroka seperti Parit Warijo,” katanya.
Lantaran itu katanya, ada orang Jawa Ponorogo yang kini mempunyai ladang kelapa sawit seluas ratusan hektar dan pendapatan bulanan sehingga lebih RM50,000 sebulan kerana keupayaan dan kerajinan mereka meneroka sebanyak tanah yang pada ketika dulu tidak termaktub dalam sebarang akta tanah.
Bersambung esok.
Source: Berita Harian Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Ismail Talu. Lampu minyak tanah @ pelita minyak gas. Pelita minyak tanah ini banyak digunakan terutamanya di rumah-rumah kampong di...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
-
By Idris Ismail Talu. Di negeri Perak, buah nadir ini dinamakan sebagai buat “seralat” atau “salat” sahaja. Sementara di tempat-tempat lain ...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
Perjuangan Bangsa Mempertahankan Tulisan Jawi Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan