Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.
Tarikh siar: 2010/07/24
Pemimpin Melayu perlu jadi contoh ikutan terbaik elak bangsa berpecah belah, lemah
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria minggu lalu mengumumkan kesediaannya menjadi perantara dalam pertemuan antara pemimpin UMNO dan PAS bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti dalam isu yang dianggap kritikal ketika ini, iaitu soal perpaduan umat Islam dan kuasa orang Melayu.
Apa sebenarnya yang mendorong Harussani menjadi perantara dalam pertemuan pemimpin UMNO dan PAS ini?
Bagaimana beliau menerima kritikan di atas keberaniannya mencetus apa yang dilihat sebagai anjakan baru dalam konteks hubungan dan keterbukaan kedua-dua parti demi kepentingan orang Melayu? Ikuti temubual wartawan Edisi Mingguan, SHAMSHUL AZREE SAMSHIR dengan tokoh agama ini.
Shamsul Azree Samshir : APA yang mendorong Tan Sri untuk menjadi perantara dalam pertemuan antara pemimpin UMNO dan PAS bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam?
Tan Sri Harussani Zakaria : Saya sebenarnya bukanlah orang tengah bagi PAS atau UMNO, sebaliknya akan hanya bertindak sebagai pengerusi bagi sesi perbincangan antara UMNO dan PAS jika ia diadakan kelak. Sejak dulu lagi saya bercakap sebagai mufti yang menjaga hal ehwal orang Islam, kita tidak boleh berkelahi, berpecah-belah dan sentiasa mendahulukan kepentingan umat Islam. Tetapi, apa yang saya lihat sekarang, dalam keadaan sekarang, orang lebih pentingkan bangsa lain daripada agama sendiri.
Malah, segelintir pihak lebih percayakan agama lain hingga sanggup memutuskan hubungan, berkerat rotan hingga dalam ceramah pun hendak maki orang lain... ini bukan kerja orang Islam.
Orang Islam hari ini dicabar sebab kita sendiri berpecah dan lemah. Tidakkah kita sedar lagi hinggakan agama kita juga disamakan dengan agama lain? Apakah kita perlu perjuangkan hak hudud saja tapi hak bangsa sendiri tercabar?
Saya fikir, soal perpaduan lebih baik diutamakan dalam keadaan kita yang makin tercabar ini. Mengapa tidak, sedangkan orang lain bersatu suara hendak menjatuhkan Islam. Saya lakukan ini kerana ia menjadi tanggungjawab saya... ini kewajipan saya. Ingin saya ingatkan, sejak lebih 3,000 tahun lalu, orang Melayu sudah duduk (menetap) di negara ini, sejak kerajaan bertapak di Melaka lagi.
Sebab itulah negara ini dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Malah, orang putih (kerajaan Inggeris) letak dalam kad pengenalan kita status agama kita Islam (membuktikan penjajah Inggeris menerima Islam sebagai agama rasmi).
Keadaan sekarang (yang saya lihat), tak sampai 10 minit naik mimbar, kita sudah mula memaki, mengumpat dan melaknat... inikah perbuatan orang Islam? Mungkin inilah punca timbulnya musibah apabila hak orang Melayu dilihat makin terhakis.
Shamsul Azree Samshir: Apakah Tan Sri kecewa dengan reaksi yang diterima setakat ini terutama apabila ada pemimpin PAS mendakwa Tan Sri berbohong sedangkan niat Tan Sri ikhlas. Tidakkah perkembangan ini menjejaskan harapan dan hasrat Tan Sri untuk menemukan UMNO-PAS di meja perbincangan?
Tan Sri Harussani Zakaria : Saya bukan hendak menjadi orang tengah, saya cuma hendak menggerakkan (perbincangan UMNO-PAS). Saya sudah jelaskan bahawa saya tidak berbohong. Apa yang saya dapat jika saya berbohong? Saya seorang mufti, saya tahu apa dosa jika berbohong. Dosa memaki orang lain juga besar.
Saya mengajar orang, membawa orang kepada jalan Islam, takkanlah pula saya hendak berbohong? Jika saya berbohong dan tidak mengikut perintah Allah SWT, apakah mereka (yang mengkritik dan memberi maklum balas) melakukannya secara Islamik atau tidak? Dalam Islam, setiap maklum balas mestilah positif.
Saya cuma hendak membawa orang Islam bersatu... bukan hendak suruh mereka masuk parti politik manapun. Saya meminta mereka supaya sama-sama berbincang. Ini, dia bercakap mengenai soal takwa, hendak menubuhkan negara Islam, tapi soal mudah dia tidak mahu.
Saya tidak menyuruh orang masuk parti politik. Tapi sekarang, sampai berpecah hingga ke masjid, jemaah atau kenduri-kendara juga berpecah, ini apa punya jenis manusia? Kita mengaku Islam adalah agama terbaik tapi kita tidak memberi contoh bahawa Islam itu agama yang baik. Kita beri contoh kita ini ganas, hendak berkelahi padahal Tuhan suruh kita bermaaf-maafan dan berbincang.
Shamsul Azree Samshir: Sehingga hari ini, masih ada segelintir pemimpin terutama PAS yang tidak bersetuju dengan kerjasama politik UMNO-PAS lalu menjejaskan inisiatif kepemimpinan kedua-dua parti bertemu serta menjalin kerjasama. Apa nasihat Tan Sri kepada mereka?
Tan Sri Harussani Zakaria : Berbaliklah kepada perintah Allah SWT. Saya sedar, kedua-dua pihak (PAS dan UMNO) masing-masing ada (pemimpin) hardcore atau tegar. Tapi, hakikatnya, jika sebelah pihak sudah menghulur tangan, mengapa pula pihak yang satu lagi tidak boleh menerimanya? Percayalah, kedua-dua pihak UMNO dan PAS masing-masing pernah membuat kesalahan, jadi apalah salahnya jika sama-sama bermaafan.
Shamsul Azree Samshir: Andai pertemuan PAS-UMNO menjadi kenyataan, apa formula yang akan Tan Sri guna-kan bagi membolehkan kedua-dua pihak berkompromi dan membincangkan isu perpaduan orang Melayu secara rasional?
Tan Sri Harussani Zakaria : Formula saya adalah Islam itu sendiri. Islam menyeru supaya umatnya berdamai. Saya bukanlah ahli politik, jadi terpulanglah kepada wakil kedua-dua parti politik itu untuk bercakap. Saya tak mahu bercakap, bukan saya yang bercakap (dalam forum itu kelak).
Shamsul Azree Samshir: Bagaimana Tan Sri menghadapi pandangan negatif sesetengah pihak berhubung niat Tan Sri menjadi perantara dalam perbincangan antara UMNO dan PAS, malah Tan Sri didakwa berbohong apabila mengakui ada pemimpin PAS dan UMNO menemui Tan Sri untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti?
Tan Sri Harussani Zakaria : Saya berharap umat Islam menjauhi prasangka buruk kerana kelakuan prasangka buruk itu suatu dosa. Saya tidak faham kenapa isu ini timbul sedangkan orang UMNO tidak marah saya pun. Saya pun bukan (ahli) parti UMNO pun.
Saya masih ingat, pada era 1990-an, PAS dilihat seolah-olah menyokong saya. Sekarang, apabila sebut saya, macam maki kita. Tetapi saya tidaklah pula susah hendak tidur atau makan.
Saya tahu, ada pihak mendakwa kononnya saya anjing (kepada BN), diletakkan gambar, badannya anjing dan mukanya saya. Tetapi saya tak kata apa, tak suruh pun sesiapa (pihak berkuasa) pergi menyiasat. Apa yang saya buat hanyalah untuk menyatupadukan orang Islam... Itu saja.
Shamsul Azree Samshir: Apakah Tan Sri menganggap perpaduan orang Melayu sekarang cukup kritikal hingga kita dikatakan boleh kehilangan kuasa pada pilihan raya umum akan datang?
Tan Sri Harussani Zakaria : Saya fikir, orang Islam di Malaysia sedar dengan keadaan sekarang (kerapuhan perpaduan orang Melayu disebabkan perbezaan politik). Tetapi, yang menjadi masalahnya, ada kumpulan tegar (pemimpin parti politik) yang menentang (kerjasama UMNO-PAS).
Bayangkan, bangsa lain bersatu padu untuk menuntut diubah Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita pula tidak bersatu padu, berkerat rotan berpatah arang, sehingga agama kita sendiri dicabar orang lain.
Shamsul Azree Samshir: Apa nasihat Tan Sri kepada mana-mana pihak yang masih bersikap skeptikal malah mengkritik usaha yang dilakukan Tan Sri bagi membawa UMNO-PAS duduk berbincang soal orang Melayu?
Tan Sri Harussani Zakaria : Saya menasihatkan mereka beristighfar banyak-banyak, bermunajaat kepada Tuhan... Solat banyak-banyak bagi diberi petunjuk. Saya seorang yang neutral dan tugas saya menegur perkara yang tidak betul. Jika kerajaan membuat kerja tidak betul, saya larang. Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang mufti, menjadi penasihat kepada umat Islam dalam soal akidah, syariah dan akhlak.
Shamsul Azree Samshir: Berdasarkan perkembangan yang dilihat sekarang, apakah Tan Sri fikir cadangan membawa pemimpin UMNO dan PAS berbincang mengenai isu perpaduan orang Melayu ini akan menjadi nyata?
Tan Sri Harussani Zakaria : Tidak ada benda yang mustahil jika semua orang berbalik kepada akal yang siuman. Kita sedih sungguh. Sebenarnya, kita sudah tersalah meletak keutamaan - baik kepada kerajaan, ulama, golongan intelek hatta parti politik. Sepatutnya, bukan soal parti (yang lebih diutamakan) tetapi soal kesatuan ummah. Macam pembangunan fizikal, kita hanya bangunkan fizikal dan kita langsung tidak mengambil perhatian kepada aspek rohaniah atau spiritual.
Begitu juga dalam soal pendidikan, kita terlalu memberi penekanan kepada aspek akademik dan dipisahkan akademik daripada agama. Ulama juga dilihat mementingkan kepada keangkuhan, keegoan dan tidak melihat kepada masalah ummah, biarlah ummah berkelahi sampai ke masjid pun bergaduh.
Masjid dibina untuk bersatu (menyatukan ummah) bukan untuk berpecah... tapi akhirnya berpuak-puak juga. Golongan intelektual sepatutnya menggunakan kelebihan mereka untuk kepentingan ummah tapi akhirnya kepentingan peribadi dan berpuak-puak. Bagi mereka apa yang penting ialah soal logik semata-mata dan soal lain ditinggalkan.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Apabiladiridiutamadaripadakesatuanummah/Article
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
-
Kota Bharu Kelantan, Bandaraya Islam. Bandarnya cantik, ada banyak usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mencantikkannya, walau pun begi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan