TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 24 Januari 2011

Perkembangan pelancongan perlu direbut

Masjid Kristal, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 23 Jan. - Peluang masih terbuka luas untuk rakyat negeri ini memajukan diri melalui sektor sokongan seperti perkhidmatan bagi menampung limpahan pelancong ke negeri ini pada masa depan.

Pemangku Pengarah Tourism Malaysia negeri Terengganu, Zaini Sulaiman berkata, ia termasuk penyediaan penginapan seperti calet dan hotel, inap desa, di samping pemandu pelancong dan pengendali pakej lawatan.

''Daripada 36 juta pelancong yang disasarkan oleh negara menjelang 2020, sekurang-kurangnya tujuh juta akan melawat negeri ini.

''Ia akan melibatkan pertambahan lebih sekali ganda berbanding angka tahunan semasa," ujarnya di sini hari ini.

Katanya, jangkaan jumlah kemasukan pelancong itu seiring dengan pelbagai usaha kerajaan negeri mempelbagaikan produk dan mengetengahkan daya tarikan baru di samping peningkatan promosi.

''Ini termasuk usaha menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dapat melonjakkan perkembangan industri ini jika ia berjalan lancar kelak.

''Justeru lebih banyak perkhidmatan diperlukan dan semua ini memerlukan mereka yang serius dan bergerak aktif untuk bersama-sama menjayakan hasrat negeri dan negara," ujarnya.

Katanya, ia juga perlu mengambil kira soal kualiti, bukan sekadar wujud tetapi memuaskan hati seperti kemudahan penginapan yang selesa dan tempat makan yang bersih dan menyelerakan.

''Begitu juga keperluan terhadap pemandu pelancong yang bukan sahaja memahami resam dan keadaan setempat tetapi juga dapat menguasai pelbagai bahasa.

''Pelancong datang dari pelbagai pelosok dunia, justeru penguasaan bahasa akan memberi nilai tambah.

''Rakyat negeri ini juga lebih mesra pelancong dan ini antara faktor yang akan mendorong lebih ramai kemasukan mereka kelak," ujarnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Usia 65 tahun bukan penghalang cari rezeki

MERSING 23 Jan. - Mencari rezeki halal tidak kira di mana sahaja menjadi prinsip hidup Sulong Jabar, 65, dalam membesarkan anak-anak sejak 20 tahun dulu.

Saban hari kelibat warga emas yang juga bapa kepada 14 orang cahaya mata itu dilihat menunggang motosikal dengan bakul berisi satar dari pukul 11 pagi sehingga pukul 10 malam.

"Jika cuaca baik dan tidak hujan, saya mula keluar rumah pada pukul 11 pagi untuk menjual satar di kawasan Endau sehingga sampai ke Mersing.

"Satar saya dikenali dan digemari ramai serta tidak susah untuk mendapatkannya kerana saya sering meronda di sekitar kawasan-kawasan perumahan, taman-taman dan juga kampung," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, ada ketikanya satar yang disediakan tidak habis dijual kerana hujan atau ketiadaan pelanggan.

Menurut Sulong, bekalan satar yang dibawanya adalah 300 cucuk sehari yang dijual pada harga RM2 sebatang. Pendapatannya tidak menentu tetapi pada hari minggu atau cuti umum biasanya jualan mencecah sehingga RM600 sehari kerana semua satar habis dijual.

Utusan Malaysia dimaklumkan, Sulong menyediakan satar lima hari seminggu dengan dibantu oleh isteri, Bunga Matzin, 60, dan dua orang anak yang menetap dengannya menggunakan resipi bawang kecil, lada, ikan tamban dan kelapa di rumahnya di Jalan Telok Lipat, Kampung Kelantan, Endau.

Source: Utusan Malaysia Online

Ahad, 23 Januari 2011

Antara laungan azan, ceramah agama

Penulis: Mohammad Nidzam Kadir, nidiium@yahoo.com

Tarikh siaran: 2011/01/23

Hidup berbilang kaum harus didukung sikap toleransi, saling menghormati satu sama lain

LAPORAN akhbar mengenai kritikan seorang peguam terhadap laungan azan sedikit menggemparkan suasana keharmonian negara. Wujud suasana yang agak tegang dalam isu ini pada awalnya tetapi akhirnya membuahkan hasil yang baik lanjutan daripada perbincangan dan permohonan maaf.

Saya ingin membicarakan isu berkaitan masjid dalam dua perkara. Pertama mengenai isu laungan azan dan kedua, mengenai isu ceramah agama. Dalam hal ini, segenap lapisan masyarakat hendaklah insaf, tahu dan ambil peduli mengenai syiar agama masing-masing. Bagi masyarakat Muslim, azan adalah syiar agama. Azan adalah kalimah yang dilaungkan dengan suara tinggi bertujuan memberitahu mengenai masuknya waktu solat. Ia satu seruan untuk masyarakat Muslim kembali mengingati Tuhannya. Malah dalam sahih al-Bukhari, ada suatu bab berkaitan azan dan meninggikan suara ketika azan. Dalam riwayat tersebut, ada gesaan agar dinyaringkan suara ketika azan. Ketika zaman itu, teknologi pembesar suara belum lagi wujud. Namun, dengan bersandarkan teknologi kini, suara yang perlahan pun sudah memadai untuk menjadi nyaring menggunakan kemudahan itu.

Apa yang penting, penghormatan kepada syiar agama adalah mustahak dan penting. Agama Islam ada syiarnya , antaranya azan. Justeru azan seharusnya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

Ini seperti syiar agama dan amalan perayaan lain. Dalam perayaan Tahun Baru Cina misalnya, bunyi mercun berkumandang dan bunga api pula bergemerlapan yang sedikit sebanyak mengganggu kehidupan masyarakat.

Begitu juga sambutan perayaan Thaipusam yang seperti dilaporkan Wikipedia, turut diadakan upacara tertentu bagi memohon keampunan dosa. Ada yang mencucuk panah besi pada lidah. Ada pula yang mencucuk belakang badan dengan puluhan mata pancing. Bagi masyarakat bukan beragama Hindu, mereka mungkin tidak bersetuju dengan amalan itu.
Tetapi, asasnya adalah penghormatan kepada amalan dan syiar kepercayaan agama masing-masing hendaklah tersemat teguh dalam diri kita. Maka masyarakat Muslim wajib menghormatinya demi keharmonian hidup walaupun berlainan iktikad.
Selain laungan azan, ada aktiviti ceramah agama di masjid dan di surau. Ada juga bacaan zikir selepas solat berjemaah. Pada sesetengah tempat, ia juga dibuat dengan suara yang kuat seperti azan hingga ke luar masjid.

Dalam hal ini, azan adalah syiar agama dan wajar dilaungkan dengan kuat. Namun, tidak sama dengan ceramah agama. Sewajarnya, ceramah agama hanya dihadkan untuk pendengaran jemaah dalam masjid saja. Kalau ia dibuat dalam dewan kuliah di masjid, maka ia terhad kepada dewan kuliah saja. Kalau dibuat di ruangan solat terbuka, sepatutnya ia hanya sekadar ruangan solat saja. Maka tiada kewajaran untuk dibuka nada suara dengan suara yang kuat.

Ceramah agama tidak sama dengan azan kerana azan adalah alunan suara keramat yang datang dengan lafaz yang terhad. Kekuatan azan ini dinyatakan dalam satu riwayat hadis bahawa syaitan akan lari keluar daripada masjid apabila azan dilaungkan. Dalam riwayat hadis yang lain, makhluk yang mendengar azan akan menjadi saksi kepada si tukang azan.

Suara kuat yang boleh mengganggu dalam masjid hendaklah dihindari. Sebagai contoh, ada riwayat hadis bagaimana Nabi Muhammad SAW menegur seseorang yang membaca al-Quran dengan suara yang kuat di dalam masjid. Tidakkah membaca al-Quran itu satu perkara yang baik? Ya, benar bahawa bacaan al-Quran adalah baik. Namun, ketika itu bacaan al-Quran yang kuat itu mengganggu orang lain yang sedang solat. Maka ditegur oleh Nabi SAW agar diperlahankan suaranya.

Cuba kita fikirkan secara logik pedoman yang diajar oleh Nabi SAW kepada kita. Hari ini, kita mempunyai pembesar suara dan dengannya nada suara yang perlahan akan dapat didengari dalam jarak yang jauh.

Bagi azan, kita menerima ia sebagai satu syiar agama. Tempoh azan pun tidak lama mungkin sekadar tiga atau empat minit saja.

Namun, ada masanya sesetengah masjid dan surau menggunakan pembesar suara secara berterusan. Contohnya zikir selepas solat yang dibuat secara berjemaah.

Tidakkah ada di sana golongan yang masih lagi bersolat kerana tertinggal beberapa rakaat? Tidakkah ada di sana golongan yang baru sampai dan ingin memulakan solat? Tidakkah ada di sana golongan yang ingin melaksanakan solat sunat selepas solat fardu? Maka adalah amat wajar jika alunan zikir selepas solat dibuat dengan suara yang lebih perlahan.

Bagi kalangan imam, jauhkan sedikit pembesar suara dan sebutlah sekadar awal-awal ayat untuk zikir saja. Ini supaya tidak mengganggu orang ramai dalam masjid. Dikhuatiri alunan suara akan mengganggu orang lain yang bersolat.

Dalam nas kitab fikah klasik Fath al-Mui’n dengan syarahnya Qurrat al-A’in disebutkan maksudnya : “Guru kami menjelaskan bahawa berlebihan dalam menyaringkan suara dalam zikir dan doa di masjid hingga berlaku gangguan kepada orang yang bersolat, maka sewajarnya ia menjadi haram.”

Kemudian ditambah pula dengan ceramah agama yang mungkin sekitar satu jam. Suaranya keluar daripada masjid. Ada masanya pula ceramah itu mengandungi kejian kepada orang tertentu dan sebagainya. Ada pula ceramah yang mengutuk golongan tertentu. Ada pula ceramah yang melaga-lagakan umat Islam.

Mungkin ada di kalangan kita yang pernah menghadapi suasana sebegitu, namun khuatir untuk menegur. Kehidupan kita terganggu kerana nada suara ceramah yang mengganggu. Mungkin kita ingin berehat, membaca buku dan sebagainya.

Justeru, azan dengan penggunaan pembesar suara adalah baik dan diterima. Namun, bagi aktiviti selain azan seperti zikir selepas solat, ceramah agama dan sebagainya, ia perlu kepada kawalan suara.

Bukan mengawal suara ceramah agama bermakna menolak jihad dan dakwah. Hendaklah disedari bahawa dakwah bukan sekadar berceramah agama dengan suara yang kuat. Sesungguhnya jalan dakwah amat luas.

Penulis ialah guru agama/pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Kejuaraan untuk Misbun

Oleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian, sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam.

Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit.

"Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik.

"Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18.

Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.

Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu.

Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini.

Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun.

Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan.

Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

"Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi.

"Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei.

Source: Utusan Malaysia Online.

Terbuka Malaysia 2011 - Chong Wei Juara


23/01/2011 7:12pm


KUALA LUMPUR 23 Jan. - Perseorangan badminton No 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya menjuarai kejohanan Terbuka Proton Malaysia Siri Super 2011 buat kali ketujuh selepas memenangi perlawanan menentang pemain Indonesia, Taufik Hidayat.

Chong Wei berjaya menundukkan Taufik 21-8, 21-17 dalam tempoh 36 minit di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk merangkul hadiah kemenangan AS$30,000 (RM91,800) yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online

Sabtu, 22 Januari 2011

Menara 135 meter bakal mercu tanda baru di Langkawi


LANGKAWI 22 Jan. – Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan

“Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah hari ini.

Beliau berkata menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.

Selain itu, pengunjung boleh menikmati makanan di sebuah restoran yang akan ditempatkan di menara tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri menyokong pembinaan menara tersebut.

“Kita memberi kemudahan kepada syarikat yang hendak membangunkan menara itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah itu.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.

Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Katanya, sebuah pusat sehenti pelancongan dan gerai makanan yang menghidangkan juadah tempatan akan turut dibina di kawasan menara sebagai tarikan.

Selain itu, kawasan nelayan di situ akan dibangunkan untuk manfaat bersama. – BERNAMA.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Selesaikan masalah menerusi dialog

Oleh Mohd Ridhuan Tee

Nampaknya hari demi hari isu-isu agama sentiasa menghantui masyarakat kita, seolah-olah tidak pernah habis. Belum pun reda isu azan dan novel Interlok, kini timbul isu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) beragama Sikh dipotong rambutnya oleh pelatih-pelatih lain sekhemah dengannya. Sama ada benar atau tidak, atau sengaja dibuat-buat, kita tunggu hasil siasatan. Saya yakin selepas ini akan timbul lagi, lagi dan lagi. Punca dan tujuan dibangkitkan Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kita tidak boleh duduk diam.

Apakah kita akan terus dilingkungi dengan masalah-masalah sebegini? Tidakkah lebih baik masa yang ada digunakan untuk memikirkan cara untuk menjayakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan? Di manakah titik toleransi untuk kita bekerjasama?

Pada saya, sudah sampai masanya dialog antara agama dan peradaban mengambil tempat seperti yang dipelopori Islam sejak zaman berzaman. Dialog bukan bertujuan mencari siapa yang salah atau siapa yang betul. Tetapi pendekatan lebih kepada untuk mencari kebenaran. Dialog tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan kita sahajalah yang terbaik, sedangkan orang lain tidak. Jika itulah kesudahannya, dialog tidak akan mencapai persetujuan. Yang wujud adalah bertegang leher antara kedua-dua belah pihak. Gagasan 1Malaysia perlu menjadikan dialog sebagai agenda utama.

Sebagai agama yang bersifat universal, kepentingan dan keperluan dialog amat jelas dan tuntas dalam Islam. Menurut Ramli Awang (2008), Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia. Umat Islam diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain.

Dalam sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Bekas Presiden Iran, Mohammed Khatami, telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah menamakan 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban.

Menurut Diez-Hochleitner (2009) pemimpin-pemimpin negara (dunia) jangan sesekali berhenti untuk melibatkan diri dalam dialog, dan bekerjasama atas nama kewujudan bersama secara harmoni. Barat seharusnya berhadapan dengan Timur secara bersemuka atas dasar sama rata. Walaupun kita mempunyai asal usul budaya dan kepercayaan yang berbeza, kita telah menunjukkan di dalam dialog, bahawa betapa luasnya titik persamaan kesefahaman kita dalam usaha untuk memberi khidmat kepada manusia dan juga alam semula jadi. Daripada terlibat dalam pertembungan peradaban, lebih bermakna lagi jika kita memberi tumpuan kepada berdialog dan bekerjasama, terutama pada ketika seluruh dunia sedang mengalami ketidakpastian dan kebimbangan yang semakin menjadi-jadi akibat dominasi kuasa-kuasa besar.


Pelopor

Islam telah mempelopori dialog sejak dahulu lagi. Dialog pertama antara Muslim dan Kristian telah berlaku semasa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah. Disebabkan umat Islam ditindas dan ditekan oleh kaum Musyrikin Mekah. Menurut Martin Lings atau nama Islamnya, Abu Bakr Siraj Ad-Din, rombongan tersebut disertai oleh 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya lebih 1400 tahun dahulu (Ramli Awang, 2008). Justeru, tidak timbul soal Islam tidak bersifat terbuka dan mengambil pendekatan ekstrem seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Namun demikian, dalam keadaan-keadaan tertentu, kadangkala dialog tidak mampu mengambil tempat, terutama apabila adanya tangan-tangan zalim yang dengan tidak semena-mena menyerang dan merompak kekayaan sesebuah negara. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, kita perlu mengambil langkah ke hadapan. Dialog perlu dijadikan budaya masyarakat, bukan mengambil pendekatan “hentam keromo”.

Dialog ini penting kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah.

Untuk mengurangkan sifat negatif ini, dialog harus memiliki tujuan yang positif bagi mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Jika perkara ini dapat difahami, saya yakin matlamat gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti. Kita tidak mahu perkara yang telah selesai dipertikaikan. Permohonan maaf isu azan yang menimbul keributan baru-baru ini bukan bermakna, perkara ini tidak akan berbangkit lagi. Masih banyak lagi yang terpendam sebenarnya. Puncanya jelas, kita kurang memahami sensitiviti hidup umat Islam dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Di pihak Islam pula, jika isu azan jika tidak ditangani dengan betul akan merugikan dakwah Islam. Sudahlah bilangan yang memeluk Islam kalangan bukan Islam kurang daripada satu peratus, mewakili setiap bangsa di negara kita, jika dipolitikkan lagi, sudah tentu minat untuk mendekati Islam semakin menurun.

Saya tidak pasti sama ada orang bukan Islam masih tidak dapat membezakan antara azan, tarhim, bacaan Quran dan zikir, yang selalu berkumandang pada pembesar suara masjid dan surau. Begitu juga dengan ceramah yang menggunakan pembesar suara.

Namun, jika azan itu tidak dapat dibezakan, alangkah malangnya setelah lebih 54 tahun merdeka perkara ini masih tidak difahami sedangkan ia dialunkan saban hari. Maka, sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menerangkan kepada orang bukan Islam hakikat yang sebenar.

Kadangkala saya tidak menyalahkan bukan Islam, kerana kita yang mengelirukan ajaran Islam yang sebenar. Saya masih lagi mencari jawapan kenapa tarhim, zikir, bacaan Quran dan wirid selalu diperdengarkan dengan kuat pada awal-awal pagi sebelum masuk azan solat subuh? Wajarkah amalan peribadi ini tersebut menggunakan pembesar suara?

Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita adab menghormati jiran. Sehinggakan jika bacaan Quran yang kuat boleh mengganggu jiran, maka kita disuruh perlahankan suara. Inilah pula menggunakan pembesar suara dihening pagi yang amat kerap dilakukan di surau-surau dan masjid-masjid.

Sepanjang bacaan saya, tidak ada nas yang membenarkan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang lain. Islam adalah agama yang sentiasa menghormati orang lain dan hak mereka. Walaupun bacaan al-Quran, wirid dan zikir amat baik, tetapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya. Apatah lagi semuanya dikategorikan sebagai amalan individu.

Nabi SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jemaah lain.

Bayangkan ketika kita membaca Quran dengan kuat, masih ada kalangan jemaah yang masih bersolat, sudah tentu bacaan kita mengganggu kekhusyukan mereka yang bersolat. Saya tidak mengambil peduli jika semua penduduk sekitarnya beragama Islam. Namun, jika di kawasan tersebut dihuni oleh mereka yang berbilang kaum, maka tindakan ini perlu difikirkan semula. Dalam kariah saya, terdapat surau dan masjid, empat puluh minit sebelum masuk waktu subuh, akan dikumandangkan tarhim, bacaan Quran, zikir dan wirid dengan kuat. Tindakan ini adalah tidak wajar dan harus difikirkan semula?

Satu pesanan saya hargailah toleransi yang ada seperti pesan Perdana Menteri dan timbalannya. Pada masa sama, belajarlah memahami sejarah dan Perlembagaan. Bukan apa, kadangkala kita mempertikaikan sesuatu yang telah termaktub dalam Perlembagaan yang sudah tidak perlu di dialogkan. Misalnya, bacaan doa dalam majlis rasmi. Islam selaku agama rasmi dan agama persekutuan, perlu mendapat tempat dalam majlis-majlis rasmi. Dengan sebab itu, kita lihat ada bacaan doa. Akhirnya, dialog boleh mengambil tempat mengenai boleh atau tidak, umat Islam bekerja di premis yang menjual arak. Apakah tindakan itu dikira bersubahat? Sama juga umat Islam yang bekerja di bank konvensional. Jika semuanya bersubahat, apakah bidang kerja yang sesuai untuk umat Islam? Apakah mungkin nanti akan wujud pasar raya Islam dan pasar raya bukan Islam?

Saya amat bimbang jika kita tidak dialogkan masalah ini dan terus menjatuhkan hukum, apakah alternatif yang dapat disediakan kepada umat Islam yang ingin mendapatkan rezeki yang halal? Bagaimana pula dengan pramugari yang bekerja di atas kapal terbang yang dihidangkan dengan arak? Halal atau haram? Ini belum termasuk soal pakaian mereka yang kurang bersopan yang direkabentuk sedemikian rupa seperti Air Asia dan Firefly.

Pramugari tidak salah kerana mereka terpaksa mencari rezeki di bawah majikan yang ramai Islam, tetapi tidak ada roh Islam dalam jiwanya. Sedangkan pramugari Singapore Airlines dan Thai Airways masih kekal dengan pakaian tradisi yang begitu bersopan walaupun mereka tidak Islam tetapi nampak lebih Islamik. Apakah perkara ini juga perlu didialogkan? Sama-sama kita mencari kebenaran!

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jauhi pakatan keji

Oleh Harussani Zakaria

Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam.

Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. Masih ramai di kalangan umat Melayu- Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan mahu pun penulisan mereka yang sering mengaitkan itu dan ini tanpa sandaran dan fakta yang benar. Sekiranya diamati, kebanyakan dari kita masih gagal untuk bersikap jujur dalam berkata-kata, berbicara dan menulis sedangkan ia amat dituntut dalam Islam. Sebagaimana diketahui bahawa jujur atau benar ialah memberitahu, atau menuturkan sesuatu dengan sebenarnya. Lawannya ialah dusta, iaitu memberitakan sesuatu berlainan dengan sebenarnya, walaupun dengan tidak disengajakan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Qalam ayat 7-11 yang bermaksud, Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang Engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang- orang yang mendustakan (agama Allah). Mereka suka kalaulah Engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). Dan janganlah Engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi Yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).

Al Imam al-Razi ketika menafsirkan ayat tersebut menyatakan bahawa ayat ini mendefinisikan dengan jelas sifat pendusta iaitu orang-orang kafir itu antaranya sifat suka mencela dan menjaja fitnah. Yang dimaksudkan dengan ‘hammaz’ ialah suka mencela orang dan suka berbalas celaan. Ia juga bermaksud mereka yang suka menceritakan sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang diumpat itu dengan tujuan membuka keaibannya. Sementara itu Imam al-Alusi pula menyatakan bahawa asal pada kata ‘hammaz’ itu ialah memukul atau menikam dengan tangan, kayu atau sebagainya. Ini bermaksud manusia yang mencerca manusia lain samalah seperti dia memukul atau menikam sahabat atau saudaranya itu. Mereka bukan sekadar mencerca dan mencaci malah berusaha menjaja berita dusta atau keaiban saudaranya ke serata tempat.

Imam At-Tabarani meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud “ Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu, ialah mereka yang baik akhlak, yang merendah diri dan mereka yang suka dan mesra dengan manusia lain dan orang lain juga menyenanginya. Dan yang paling dimarahi oleh Allah, ialah mereka yang pergi membawa fitnah, yang memisahkan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah.”

Imam Abu Laits al-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin dan Imam al-Ghazali di dalam Kitabnya Ihya Ulumiddin, telah menyatakan bahawa Umar ibnu Abdul Aziz telah didatangi oleh seseorang lalu menceritakan hal orang lain, maka ditanya oleh beliau “Jika engkau suka maka kami akan menyelidiki kebenaran keteranganmu itu, jika engkau dusta maka engkau termasuk ayat : ( Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa berita-berita maka selidikilah. Dan jika benar, maka kau termasuk pula dalam ayat (tukang ejek dan suka mengadu domba). Dan jika engkau suka kami maafkan engkau. Maka jawab lelaki tersebut, "Maafkan saya Ya Amirul Mukminin, dan saya tidak akan mengulangi lagi.”

Beliau berkata lagi, “Jika ada orang yang memberitahumu bahawa si polan merendah-rendah engkau. Maka hadapilah ia dengan enam perkara:

1. Jangan percaya kerana tukang fitnah tidak dapat diterima kesaksian.

2. Cegahlah fitnah tersebut.

3. Engkau harus membencinya ( si tukang fitnah ).

4. Jangan engkau rasa bersangka jahat pada sahabatmu yang dicela.

5. Jangan diselidik pula orang yang difitnah.

6. Jangan contohi perlakuan tersebut.

Islam bukan pada nama

Segelintir umat Melayu Islam kini, apabila dilihat pada nama pengenalan dirinya menggambarkan suatu yang amat indah dan menarik. Akan tetapi apabila dilihat tutur bicaranya, Masyaallah! Amat menakutkan seolah-olah tidak kenal dosa dan pahala. Apakah tidak kedengaran di telinga mereka hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Ahmad dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrad yang bermaksud “Jauhilah perkataan keji, kerana Allah tidak menyukai perkataan keji dan kata mengata dengan perkataan keji”. Nama saya sendiri juga sudah dipopularkan dengan panggilan “Haramsani” di laman-laman blog dan laman sesawang. Barangkali jika tidak menghormati saya sebagai Mufti sekali pun, maka itu hak mereka. Akan tetapi, apakah mereka sudah melupai ajaran dan didikan orang tua-tua yang menghormati orang yang lebih dewasa dari kita. Apakah barangkali asing bagi mereka apa yang disabda oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh At Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrat yang bermaksud “Orang Mukmin itu bukan orang yang suka mencemarkan kehormatan, bukan pula orang yang suka mengutuk, berkata keji dan mengumpat”.

Berbalik semula isu ancak yang didendangkan oleh pihak-pihak tertentu sejak akhir-akhir ini yang saya tidak mengetahui apa tujuan mereka. Isu ini menjadi lebih popular apabila dikatakan bahawa ia dilakukan oleh Menteri Besar Perak ketika beliau telah dijemput untuk melancarkan Program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong, Perak. Saya sendiri pun sudah sekian lama tidak mendengar perkataan ini. Namun apabila dialunkan semula, ia menyegarkan ingatan saya terhadap aktiviti yang berleluasa sejak saya kecil lagi.

Bagi generasi sekarang, barangkali perkataan itu agak terlalu asing bagi mereka. Ini berbeza dengan warga tua yang rata-rata di kalangan mereka mengetahuinya dan pernah melihat aktiviti tersebut begitu aktif dilaksanakan suatu ketika dahulu. Sekiranya kita merujuk kepada Kamus Dewan, maka akan terdapat perkataan “ancak” yang ditakrifkan sebagai talam daripada anyaman tempat menyajikan barang-barang untuk hantu.

Menurut Wikipedia perkataan “acak” atau “ancak” merujuk sebagai sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu.

Persembahan ini biasanya merupakan makanan yang terdiri daripada hidangan berupa bertih, pulut kuning, ayam panggang, telur dan anak patung tradisional. Aktiviti “acak” atau “ancak” kebiasaannya akan dilaksanakan oleh pawang sama ada untuk tujuan perubatan, membuang saka atau perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan makhluk halus. Kesemua bahan tersebut akan dihanyutkan ke sungai setelah jampi serapah serta mentera dibaca.

Khurafat yang jelas

Seperkara yang menarik, amalan ini sememangnya tercatat dalam kitab karangan orang terdahulu seperti mana yang terdapat dalam kitab Tajul Muluk. Sebagai contoh, bagi mereka yang baru berpindah dan tinggal di rumah baru, maka beberapa keperluan perlu disedia dan dilaksanakan seperti menyediakan nasi sebanyak tiga warna iaitu kuning, merah dan putih di samping sajian lauk telur ayam tiga biji yang diletakkan di atas nasi-nasi tersebut. Antara keperluan lain ialah menyediakan tiga jenis pisang dan tiga jenis buah-buahan iaitu nangka, kurma dan durian. Kesemua bahan tersebut diletak atas tiang seri rumah tersebut. Barangkali kegiatan sebegini tersebar luas di kalangan masyarakat terdahulu dan sesiapa yang tidak melaksanakannya bererti sengaja membiarkan diri dalam bahaya dan menyanggah arus perdana masyarakat ketika itu. Ketika menelaah kitab ini saya tersenyum dan terfikir apakah masih ada saki baki perlakuan ini dilakukan oleh masyarakat Islam di negara kita sedangkan seruan untuk kembali kepada pengamalan Islam yang bersih dan luhur dari sebarang khurafat disebar siarkan saban waktu.

Dalam hal dakwaan bahawa ancak ini juga telah dilakukan oleh pemimpin utama di negeri Perak seperti mana dakwaan sesetengah pihak, saya telah bersemuka dengan beliau dan bertanyakan tentang perjalanan program tersebut. Beliau mengakui bahawa kehadirannya ke majlis tersebut atas undangan bagi merasmikan program bagi membina rumah fakir miskin. Beliau juga mendakwa bahawa tidak terdapat sebarang unsur pemujaan dan pembacaan mentera seperti mana definisi yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi tiada sebarang mentera yang dibaca dan dialunkan bagi memuja semangat dan memanggil jin. Adapun tindakan menepung tawar dan merenjis, bagi saya ia adalah amalan biasa masyarakat Melayu asalkan mereka tidak beriktiqad dengan sesuatu Iktikad yang bercanggah dengan syara’.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Nasib media di Singapura

Ku Seman Ku Hussain

Ketika beberapa wartawan “berkokok” menuntut kebebasan akhbar dan berita kokokan ini disiarkan di portal berita yang propembangkang di negara ini, di Singapura kerajaan akan menyekat sebuah portal berita liberal yang propembangkang. Seperti semua orang tahu, di Singapura kononnya ada demokrasi tetapi tidak ada pembangkang. Mereka akan dicantas awal-awal lagi dengan cara yang sah di segi undang-undang termasuk memufliskan ahli pembangkang. Dengan cara ini ahli berkenaan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.

Tindakan menyekat portal berita The Online Citizen dianggap sebagai percubaan menghalang portal berita itu menjadi wadah politik dalam pilihan raya umum Singapura tahun ini. Kerajaan Singapura telah menyenaraikan The Online Citizen sebagai satu pertubuhan politik. Apabila menjadi sebuah pertubuhan politik, The Online Citizen akan dihalang menyokong mana-mana parti politik atau calon dalam pilihan raya akan datang. Bukan itu sahaja malah diharamkan menerima sebarang bantuan dan sumbangan dari luar negara.

Singapura kini berada di tangga 133 daripada 175 negara dalam senarai Kebebasan Akhbar 2009 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders. Singapura tidak peduli dengan Reporters Without Borders kerana tindakan mengkembirikan media bukanlah suatu yang baru. Pemerintah akan melakukan semua cara untuk memastikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) terus berkuasa dan membunuh semua parti-parti pembangkang lainnya.

Tidak lama dulu mahkamah di Singapura telah menjatuhkan hukuman denda penjara enam minggu kepada penulis buku, Once a Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock, Alan Shadrake. Penulis British ini didapati bersalah kerana mempersoalkan ketelusan dalam sistem perundangan Singapura. Shadrake didenda $S20,000 dan terpaksa merengkok dalam penjara. Inilah undang-undang yang dikuatkuasakan di Singapura untuk menghalang media mencambahkan sudut pandangan baru terhadap politik dan sosial di negara itu. Sudut pandangan ini dilihat memberi cabaran kepada parti pemerintah yang sedia ada.

Mahkamah Tinggi Singapura juga pernah mendenda majalah The Wall Street Journal Asia yang berpangkalan di Hong Kong sebanyak £10,700 kerana menghina mahkamah. Majalah tersebut didakwa menyiarkan rencana pengarang dan surat pemimpin pembangkang yang mempersoalkan sistem perundangan negara itu. Kebebasan media dikembirikan apabila surat pemimpin pembangkang yang mendedahkan ketiadaan kebebasan dalam sistem perundangan di Singapura dianggap menghina mahkamah.

Buku The Death and Life of American Journalist oleh Robert McChesney dan John Nichols antara lain mengatakan, tahap kebebasan media boleh yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat.

Sebenarnya kita tidak pasti adakah wartawan di negara ini yang menjulang sepanduk bertulis “Kebebasan Akhbar - Press Freedom” di negara ini faham apa yang dilakukannya. Di Singapura adegan wartawan “berkokok” seperti ini tidak wujud kerana kerajaan melangsungkan acuan bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew yang tidak membuka pintu kepada media. Tetapi kerajaan Singapura jarang menjadi sasaran pejuang media kerana suara mereka dikembirikan awal-awal lagi.

Ditahan

Tokoh wartawan Said Zahari yang juga bekas Pengarang Utusan Melayu pernah ditahan tanpa bicara selama 17 tahun di Singapura. Bagi Lee Kuan Yew wartawan yang berhaluan kiri seperti Said Zahari termasuk Allahyarham Samad Ismail sangat bahaya kepada kuasa politiknya. Kerana itu Singapura telah diasuh supaya berwaspada dengan media dan mengambil tindakan segera tanpa tolak ansur.

Apa yang berlaku kepada portal berita The Online Citizen adalah satu tindakan biasa, barangkali teraju portal berita itu sudah menjangka nasib yang akan diterima apabila menyuarakan sudut pandangan yang bertentangan dengan arus perdana politik PAP. Semua jentera kerajaan termasuk perundangan digunakan untuk mengekang media menjadi suara perubahan kepada satu sistem politik ciptaan Lee Kuan Yew. Di Singapura langsung tidak ada kebebasan media kerana kerajaan percaya membuka sedikit ruang akan membawa masuk pemikiran yang membahayakan politik pemerintah.

Cara Singapura mengekang anasir-anasir yang mendatangkan bahaya kepada PAP begitu licin dan menggunakan undang-undang. Maka tidak kelihatan Singapura mengekang kebebasan media tetapi meletakkan di bawah undang-undang yang sedia ada misalnya menyenaraikan media sebagai pertubuhan politik. Media di Singapura dihalang menyuarakan sudut pandangan yang bertentangan dengan arus perdana. Ini berbeza di Malaysia kerajaan memberi lesen kepada portal-portal berita yang jelas menjurus politik pembangkang serta memecahbelahkan rakyat.

Di Malaysia, suara yang menuntut kebebasan media boleh disiarkan di media yang diberi lesen oleh kerajaan. Benarkah tidak ada kebebasan media apabila kritikan keras golongan ini disiarkan dengan bebasnya tanpa dikenakan tindakan undang-undang? Perkara seperti ini tidak pernah atau akan berlaku di Singapura kerana kerajaan di sana tegas dan tidak takut dilabelkan anti kebebasan media.

Di negara ini yang didakwa oleh sesetengah pihak tidak ada kebebasan media tidak melakukan tindakan memangkas dan mencantas seperti di Singapura. Memang benar tidak ada kebebasan media yang mutlak di negara ini. Tetapi portal-portal berita berita propembangkang seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Malaysia Today selain beribu-ribu blog bebas menyiarkan pandangan politik mereka. Malaysiakini mendakwa inilah media yang bebas, tidak seperti media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times yang dilabelkan prokerajaan.

Apabila portal seperti Malaysiakini bebas membuat laporan yang berat sebelah, condong kepada pembangkang masih terus beroperasi seperti biasa, ini adalah ciri-ciri kebebasan media di negara ini walaupun tidak mutlak. Malah berita wartawan yang menuntut kebebasan media juga disiarkan secara melampau di Malaysiakini. Apakah masih tidak ada kebebasan? Semua komen-komen dalam Malaysiakini menyokong portal itu dan komen yang bertentangan dengan mereka disekat. Inikah wajah di sebalik topeng kebebasan media yang diperjuangkan oleh Malaysiakini?

Di malaysia, laporan-laporan dalam portal berita propembangkang bukan sahaja berat sebelah malah menggugat keharmonian hubungan antara kaum. Portal ini sengaja membawa perbincangan kepada anti orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Mereka yang sekular mendakwa kononnya memenuhi tuntutan profesionalisme waima melaporkan daripada sudut yang boleh menimbulkan kemarahan kaum lain kepada Melayu. Misalnya Malaysiakini sengaja membesarkan laporan seorang wartawan media arus perdana yang dikenakan tindakan menggantung perkhidmatannya sementara menunggu siasatan atasnya selesai.

Bagi portal-portal propembangkang, tindakan ada kebebasan di media arus perdana. Padahal kewujudan portal-portal yang sangat perkauman itu sendiri membuktikan mereka diberi kebebasan media lebih daripada yang sepatutnya.

Kebebasan yang melampau menjadi media sebagai alat pemusnah bangsa dan negara. Kesan daripada kebebasan media yang tanpa sempadan boleh dilihat pada pasca Suharto di Indonesia. Indonesia menjadi bertambah parah selepas cengkaman kepada media dilepaskan sebebas-bebasnya hingga melanggar adab dan tuntutan profesionalisme. Selepas kejatuhan Suharto pada 1997, media Indonesia menjadi mabuk dengan kebebasan yang tidak bersempadan. Terbukti di Indonesia hari ini rakyat sudah tidak menghormati media.

Ketegasan Singapura mengawal media dan keterbukaan yang luar biasa Indonesia kepada media seharusnya memberi pengajaran kepada Malaysia untuk berada pada tahap sederhana. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang kelihatan sangat tegas sebenarnya tidak menggunakan kuasa yang ada untuk mengekang beberapa portal berita yang menjadi agen meruntuhkan perpaduan kaum. Portal-portal ini terus diberi kebebasan oleh SKMM dan ini seolah-olah menghina portal dan akhbar yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. Tidak perlu jadi Singapura atau Indonesia, biarlah kita bebas dalam kewarasan.

Source: Mingguan Malaysia Online.

ATM tahan tujuh lanun Somalia

Oleh Hardi Effendi Yaacob, hardi@bharian.com.my

2011/01/22

Kapal Malaysia hanya jadi tawanan hampir dua jam


KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Pasukan Khas Laut(PASKAL) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal, tidak sampai dua jam selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, kelmarin. Dalam kejadian jam 11.40 malam (waktu tempatan) itu, MT Bunga Laurel disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dikatakan dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang tujuh lelaki bersenjatakan mesingan AK-47 dan pistol menaiki sebuah bot laju.

Difahamkan, tujuh suspek itu sebahagian daripada 18 lanun yang merancang serangan itu dari sebuah kapal induk berlabuh tidak jauh dari tempat kejadian.
Jurucakap Markas ATM memaklumkan, kejadian disedari anak kapal MT Bunga Laurel yang kemudian mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) sebelum berlindung dalam bilik keselamatan berhampiran bilik jentera kapal berkenaan.

“Kejadian berlaku dua jam selepas MT Bunga Laurel berpisah daripada konvoi keselamatan kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Bunga Mas 5 yang terbabit dalam Ops Fajar bagi memberi perlindungan keselamatan kepada kapal dagang negara di perairan berisiko itu.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, Pasukan Khas Laut ATM diatur gerak untuk misi menyelamat menggunakan MV Bunga Mas 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di ibu negara, semalam.
Katanya, helikopter tempur, Fennec milik TLDM yang dilancarkan dari MV Bunga Mas 5 turut digunakan dalam misi berisiko tinggi itu, khusus bagi tujuan pemantauan dan serangan udara.

“Tembakan padu dari helikopter berjaya menghalang kumpulan lanun di atas kapal induk memberi bantuan kepada rakan mereka di atas kapal tangki kita yang dirampas. Ini memudahkan Pasukan Khas Laut ATM digerakkan ke atas MV Bunga Laurel. Selepas berbalas tembak, kapal tangki kita berjaya ditawan semula kira-kira jam 1.20 pagi,” katanya.

Difahamkan, tiga lanun yang berada di atas kapal tangki berkenaan cedera parah dalam kejadian itu dan diberi rawatan oleh pasukan terbabit sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“MT Bunga Laurel berjaya ditawan semula dengan semua anak kapalnya diselamatkan dalam tempoh tidak sampai dua jam selepas dirampas lanun. Ini jelas membuktikan keupayaan Pasukan Khas Laut ATM dalam melaksanakan pelbagai misi sukar, khususnya di Teluk Aden.

“Kejadian terbaru ini juga jelas menunjukkan ancaman lanun di Teluk Aden semakin serius dengan 32 kapal masih ditawan kumpulan lanun sehingga kini, yang kebanyakannya dalam proses rundingan untuk dibebaskan,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran