TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Malaysia - Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia - Indonesia. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Januari 2011

Jalinkan usahawan Malaysia - Indonesia


Oleh ZULKIFL ABDULLAH, pengarang@utusan.com.my

BANDUNG 28 Jan. - Malaysia dan Indonesia boleh membantu ASEAN menjadi kuasa ketiga terbesar dalam bidang ekonomi bagi rantau Asia selepas China dan India menerusi jalinan kerjasama usahawan kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yakin dengan bilangan penduduk melebihi 600 juta orang, pertumbuhan ekonomi rantau ini akan bertambah pesat.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan 51 peratus daripada KDNK ASEAN membolehkan mereka memainkan peranan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini," katanya kepada pemberita sempena Maybank Semi '10-Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Seminar itu merupakan program tahunan anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang menghimpunkan pengamal media bersama ahli perniagaan kedua-dua negara dalam usaha merangka kerjasama ekonomi serta merapatkan lagi hubungan mereka.

Turut hadir pada seminar yang disertai lebih 400 peserta itu ialah Penasihat Khusus Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Dr. Hendry Subikto, Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Iswami Indonesia, M. Saiful Hadi.

Ahmad Husni percaya dengan kepadatan penduduk yang sedia ada, negara jiran ini mampu mencapai pertumbuhan memberangsangkan bersama Brazil, China dan Rusia.

"Indonesia mempunyai potensi dengan nilai transaksi pembangunan yang besar dari segi skala ekonomi dan jika digabungkan dengan Malaysia, ia akan menjadi tumpuan utama kepada pertumbuhan utama di kawasan ASEAN," tambahnya.

Beliau memberitahu, Malaysia sudah bertapak di Indonesia dalam bidang perkhidmatan

kewangan, teknologi maklumat dan petrolium, perladangan dengan penglibatan Malayan Banking dan CIMB hingga berada dalam rangking ke-10 bank terbesar di rantau ASEAN.

Menjawab mengenai kesepakatan yang boleh dijalinkan, Ahmad Husni berkata, produk halal merupakan satu sektor ekonomi yang boleh diterokai terutama melibatkan negara-negara di Timur Tengah.

"Kita mesti terima hakikat dari segi struktur pembangunan ekonomi negara Timur Tengah yang masih berada di peringkat awal dan tidak banyak aktiviti ekonomi dilakukan di negara itu malah mereka bergantung import daripada negara lain.

"Potensi untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang-bidang lain yang melibatkan Malaysia dan Indonesia semakin meluas tetapi ia memerlukan penyelidikan di peringkat awal jika terlibat dalam pelaburan penting bagi menentukan viabiliti sesuatu projek," jelasnya.

Menurut beliau, masih banyak peluang perdagangan yang boleh dijalinkan tetapi belum mendapat pendedahan di kalangan usahawan kedua-dua negara dan mengakui kerjasama itu memerlukan penyediaan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, dengan adanya Empangan Bakun di Sarawak, bekalan elektrik boleh disalurkan ke Kalimantan bagi memacu pertumbuhan ekonomi di situ.

Mengenai pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015, Ahmad Husni memberitahu, perbincangan masih berjalan tanpa membuat sebarang pindaan undang-undang sedia ada antara Malaysia dan Indonesia serta Thailand yang dijangka selesai pada tahun ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Selasa, 18 Januari 2011

Mencari makna serumpun dalam hubungan Malaysia Indonesia

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, rencana@utusan.com.my

HAKIKAT bahawa pihak ketiga turut mempengaruhi dalam citra hubungan antara Malaysia dan Indonesia barangkali sudah dipersetujui secara meluas oleh pemerhati hubungan antara kedua-dua negara berjiran ini.

Pihak ketiga itu boleh menjadi sebuah negara, seorang individu, pertubuhan-pertubuhan di sebalik pelbagai nama, atau pihak tidak kelihatan yang bergerak di alam maya.

Siapa pun mereka, pihak ketiga ini boleh dianggap berjaya mengeruhkan ikatan 'adik- beradik' yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia seperti yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini.

Kehadiran pihak ketiga itu sekali lagi disebut pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena, Sabtu lalu.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu membariskan dua tokoh yang tidak asing lagi dalam kajian sosial dan kebudayaan Malaysia-Indonesia.

Mereka ialah Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula bertindak sebagai pengerusi.

Memperkukuhkan teori kehadiran pihak ketiga itu seperti yang ditegaskan oleh Zainal Abidin ialah kerana rasa bimbang dan cemburu dengan keakraban Malaysia-Indoensia yang sudah terikat secara sejarah panjangnya.

Kebimbangan itu berasaskan kepada dua faktor utama iaitu kebangkitan Islam dan pengukuhan kuasa ekonomi di rantau ini yang disumbangkan menerusi jalinan hubungan Malaysia-Indonesia.

Sebagai sebuah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia sering menjadi rujukan dalam banyak perkara berkaitan perkembangan Islam.

Dalam masa yang sama, kesederhanaan Islam di Malaysia pula telah melonjak negara ini sebagai sebuah negara Islam moden yang cukup disegani.

Acap kali juga disebut, kebangkitan Islam dalam dekad mendatang tidak mustahil boleh terjadi dari sebelah rantau ini.

Dengan kekuatan Islam di Malaysia dan Indonesia, kebangkitan itu mungkin menjadi lebih cepat menerusi keakraban dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara ini.

Kemungkinan inilah yang tidak disenangi oleh pihak ketiga yang boleh jadi sebuah negara di rantau Asia Tenggara ini.

Kebimbangan lain ialah dari sudut kekuasaan ekonomi. Perlu diketahui Indonesia merupakan antara negara yang sedang mengalami pertubuhan ekonomi yang luar biasa ketika ini.

Negara ini merupakan antara sebuah daripada lima buah negara yang dikelompokkan sebagai BRIIC iaitu negara-negara yang bakal menguasai ekonomi dunia. Negara lain ialah Brazil, Rusia, India dan China.

Malaysia pula meskipun tidak termasuk dalam kelompok itu tetapi pertumbuhan pesat ekonomi kita sememangnya dicemburui negara-negara membangun lain sejak sekian lama.

Kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam situasi ekonomi kedua-dua buah negara ketika ini dengan mudah boleh menenggelamkan kekuatan ekonomi negara-negara lain.

Selain sebuah negara, pihak ketiga yang dirujuk sebagai individu juga banyak menyumbang dalam keretakan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Dengan pengaruh yang ada, individu ini sengaja mencetuskan ketegangan untuk meraih sokongan luar dan mengalihkan isu yang sedang dihadapi dalam negara.

Begitu pun pengaruh individu ini bukanlah sesuatu yang serius kerana seperti mana di Malaysia, sokongan terhadap individu itu di Indonesia juga sudah semakin pudar.

Namun dalam menuding jari kepada pihak ketiga di sebalik keretakan hubungan Malaysia-Indonesia, faktor masalah dalaman antara kedua-dua negara juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Hakikatnya dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara, terdapat beberapa isu yang telah mewujudkan suasana tidak harmoni dan sangat ketara sejak 2003.

Antaranya isu perselisihan pulau Sipadan-Ligatan yang akhirnya menjadi milik Malaysia serta kes perebutan wilayah di sekitar Ambalat yang masih lagi berpanjangan.

Begitu juga dengan isu tarian tradisional pendet yang didakwa dicuri Malaysia sehingga mencetuskan gelombang kemarahan di Indonesia tahun lalu.

Isu-isu lain seperti penderaan ke atas pembantu rumah dan provokasi menerusi alam siber menerusi laman web seperti 'I hate Indon' dan Malingsia.

Kemuncaknya ialah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF bulan lepas yang tidak lagi dilihat dari sudut semangat kesukanan.

Sebaliknya satu pertarungan mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa serta negara.

Dari sudut hubungan antara pemerintah, isu-isu ini mungkin tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan dan menerusi semangat diplomatik.

Tetapi di kalangan rakyat, mereka tidak melihat isu ini dari sudut yang rasional, sebaliknya lebih kepada emosional.

Ini jugalah faktor yang menyebabkan mengapa kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) sanggup memenuhi jalan raya di Jakarta dengan buluh runcing memburu rakyat Malaysia seperti yang berlaku baru-baru ini.

Apa yang berlaku itu membayangkan kelemahan kedua-dua negara dalam menerapkan semangat setiakawan di kalangan rakyat.

Kita sering menyebut bahawa orang Melayu Malaysia dan Indonesia itu adalah serumpun dan saudara sebangsa.

Tetapi apa pula usaha kita dalam menyemai semangat bersaudara itu? Kerana pada hakikatnya di kalangan rakyat kedua-dua negara terutama di kalangan generasi muda, semangat itu boleh dikatakan langsung tiada.

Forum sebegini mungkin boleh menjadi salah satu usaha memupuk kembali semangat seperti itu.

Tetapi kelompok sasarannya sangat terhad dan kehadirannya pula lebih banyak dari kalangan ahli akademik yang sudah sedia maklum mengenai sejarah perkongsian budaya antara dua negara.

Perlu ada usaha yang lebih besar seperti memperkayakan hubungan kebudayaan antara negeri dan provinsi yang mempunyai kaitan sejarah secara langsung.

Kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu diperhebat kerana pergerakan seumpama itu lebih dekat dengan rakyat.

Begitu pun ada sesuatu yang menarik disentuh oleh Amri yang juga merupakan ahli sosiologi Indonesia.

Katanya, perbincangan mengenai hubungan antara orang Melayu Indonesia dan orang Melayu Malaysia tidak dapat dituntas dengan mendalam kerana kedua-dua belah pihak mentakrifkan Melayu secara berbeza.

Di Malaysia katanya, Melayu itu didefinisikan sebagai ras, etnik dan agama. Seperti yang disebut oleh Perlembagaan, orang Melayu di Malaysia ialah seorang Islam, lazim bercakap Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Sedangkan di Indonesia, seluruh bangsa Indonesia itu adalah ras Melayu tanpa mengira agama, adat dan bahasa lazimnya.

Maka Melayu di Malaysia itu tidak sama seperti Melayu di Indonesia. Kerana itu juga, semangat serumpun tidak begitu terasa di kalangan rakyat apabila mereka tidak lagi melihat Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia itu adalah bersaudara.

Perkara ini perlu diperhalusi oleh ahli sejarah kerana pemahaman sebegini sebenarnya sangat berbahaya lebih-lebih lagi dalam suasana perhubungan antara rakyat kedua- dua negara yang keruh ketika ini.

Sekiranya pemahaman ini dibiarkan berkembang dalam pemikiran generasi muda kedua-dua negara, maka perkataan serumpun yang sering digunakan untuk menggambarkan ikatan saudara antara kita tidak lagi mempunyai makna.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 16 Januari 2011

Malaysia tak kejam

•Pembantu rumah Indonesia membuat pengakuan kepada wartawan Utusan Malaysia bahawa mereka tidak pernah menganggap majikan di Malaysia sebagai kejam walaupun isu itu diperbesarkan oleh media Indonesia.

•Sebaliknya, mereka menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua.

•Ramai yang datang berulang kali ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah kerana rasa selamat di negara ini.

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Adat, budaya, bahasa, agama dan gaya hidup yang tidak jauh berbeza antara sebab Malaysia menjadi pilihan pembantu rumah Indonesia berbanding negara-negara lain.

Keadaan ini sekali gus menghilangkan ‘ketakutan’ mereka untuk berada jauh daripada keluarga yang ditinggalkan jauh beribu-ribu batu.

Lebih menarik minat mereka untuk menetap lama di Malaysia ialah sikap kebanyakan majikan yang menganggap mereka sebagai sebahagian daripada ahli keluarga masing-masing.

Ini terbukti menerusi tinjauan dilakukan apabila mendapati, ciri-ciri hampir sama menyebabkan pembantu rumah negara negara itu menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Hakikatnya rata-rata pembantu rumah rakyat Indonesia lebih rela memilih Malaysia untuk meneruskan kelangsungan hidup berbanding negara-negara lain seperti Arab Saudi, Hong Kong atau Singapura.

‘‘Malaysia bukan sahaja tempat cari rezeki tetapi juga dianggap sebagai rumah kedua kami,” kata Marini Mohd. Hassan, 33, di sini, baru-baru ini.

Menurut Marini, Malaysia bukanlah sebuah negara ‘kejam’ seperti yang digambarkan oleh media-media di Indonesia.

Malah jelas anak kelahiran Sumatera Utara ini jika dibandingkan dengan negara-negara lain, negara ini boleh dikatakan yang ‘terbaik’ dalam melayan pembantu-pembantu rumah mereka.

Seorang lagi pembantu rumah, Jenab Abdul Rahman, 45, apa yang didengarinya tidak sama dengan situasi sebenar berada di negara ini.

‘‘Memang ada orang cakap majikan di sini suka seksa pembantu rumah. Walaupun anak-anak bimbang, saya tak takut untuk mencuba sendiri.

‘‘Ternyata apa yang dicakap dan yang sebenarnya berlaku tidak sama. Saya rasa selamat tinggal bersama majikan di sini,” katanya.

Rakannya, Siti Aminah Mohamad, 53, berkata, dia telah beberapa kali pulang ke kampung tetapi datang semula ke negara ini untuk bekerja.

‘‘Pertama kali saya datang ialah pada tahun 1987 (24 tahun lalu). Ketika itu saya bekerja dengan majikan keturunan Cina di Batu Pahat.

‘‘Saya sempat bekerja selama setahun sebelum bekerja kilang selama lima tahun. Selepas itu saya pulang ke kampung sebelum datang semula ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan Melayu di Kelantan,” katanya.

Selepas dua tahun di Kelantan, Siti Aminah mengikuti majikannya berpindah ke Datuk Keramat dan sekarang bersama majikan baru di Bangsar.

Katanya walaupun, penghijrahannya ke Malaysia pada mulanya adalah kerana ditipu oleh ejen, namun dia bersyukur dengan kesilapan tersebut.

‘‘Saya tidak pernah menyesal berada di negara ini. Nasib baik tidak dihantar ke Arab Saudi, tempat yang sepatutnya saya pergi,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada empat anak, Nina Juman Safie, 53, pula memberitahu, walaupun sedikit bimbang dengan situasi yang digembar-gemburkan, dia terpaksa memberanikan diri demi mencari rezeki.

‘‘Anak-anak pada mulanya tidak menggalakkan saya ke sini tetapi oleh sebab kami memerlukan wang, saya hanya serah kepada takdir,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Sabtu, 15 Januari 2011

Cubaan keruhkan setiakawan Malaysia dan Indonesia

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pihak ketiga dari rantau Asia Tenggara dikatakan turut memainkan peranan untuk menghancurkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang semakin akrab ketika ini.

Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihak ketiga itu cemburu dan bimbang dengan keakraban hubungan serta semangat setiakawan dua negara yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Kebimbangan itu juga katanya, berasaskan kepada peningkatan kuasa ekonomi orang Melayu dan kebangkitan Islam di rantau ini terutama yang disumbangkan oleh rumpun Melayu di kedua-dua negara.

''Pihak ketiga ini pula mempunyai pengaruh yang besar dalam rangkaian media utama dan berdiri di sebalik kebebasan bersuara untuk mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang panel pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena di sini hari ini.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu turut disertai oleh Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali sebagai ahli panel kedua dan dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.

Turut hadir Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Zainal Abidin menambah, kurangnya pemahaman dari sudut sejarah hubungan antara Malaysia dan Indonesia di kalangan generasi muda kedua-dua negara juga dijadikan kesempatan oleh pihak ketiga untuk menyemarakkan rasa kebencian.

Ia juga katanya, memperlihatkan kelemahan dalaman yang dimiliki oleh kedua-dua negara terutama dari sudut memperkasa elemen sejarah hubungan kedua-dua negara di kalangan generasi muda.

Justeru jelas beliau, Malaysia dan Indonesia perlu memperhebatkan usaha mengukuhkan kerjasama terutama hubungan kebudayaan yang dikongsi bersama.

''Kerjasama dua hala itu boleh diadakan dalam pelbagai bidang seperti antara media, bidang ketenteraan dan kepolisan, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta antara negeri dan wilayah," katanya.

Sementara itu Amri berkata, semangat serumpun yang semakin terhakis di kalangan rakyat Indonesia berkemungkinan turut disumbangkan oleh kekecewaan atas sikap 'sombong' saudara serumpun di Malaysia.

Ini kerana katanya, orang Melayu di Indonesia melihat orang Melayu di Malaysia jauh ke hadapan dalam pelbagai bidang terutama dari sudut pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.

''Tidak dinafikan ada sedikit perasaan cemburu di kalangan rakyat Indonesia terhadap kejayaan Malaysia terutama ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan di kalangan rakyat antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau menambah, hubungan antara rakyat itu juga semakin tercabar apabila beberapa isu bersifat bilateral yang seharusnya boleh diselesaikan oleh kerajaan diperbesar-besarkan oleh media arus perdana yang mempunyai kepentingan peribadi.

''Isu-isu itu termasuk perebutan pulau, konflik persempadanan, masalah buruh dan imigran serta dakwaan hak milik sesuatu kebudayaan," katanya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran