TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Ana Rafali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ana Rafali. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Januari 2011

Apabila keptusan juri dipertikaikan


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT, amirah.amaly@utusan.com.my

ANUGERAH Juara Lagu ke-25 (AJL 25) yang sudah berlalu minggu lalu mengundang kontroversi apabila ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan para juri. Pelbagai pendapat yang dilontarkan dan alasan yang kukuh untuk mengetepikan kredibiliti lagu yang ditulis dan dinyanyikan oleh sang juara, Ana Raffali menerusi Tolong Ingatkan Aku.

Pertikaian berputik apabila artis bukan calon pilihan dan tidak popular mengungguli trofi anugerah berkenaan. Sedangkan apa yang tersirat di dalam setiap lirik yang digabungkan dengan melodi yang indah menjadikan lagu berkenaan sebegitu indah sekali.

Pensyarah Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin memberitahu bahawa tugas mencari lagu yang terbaik bukan satu perkara mudah.

‘‘Tidak semestinya lagu itu lagu popular diangkat naik sebagai juara AJL. Kadangkala lagu yang terbaik dari kalangan lagu popular. Perlu difahami bahawa prinsip AJL adalah mencari lagu berkualiti.

‘‘Kadangkala lagu yang baik tidak bergantung kepada melodi dan perlu melihat kepada keserasian lirik. Paling penting, lirik itu mengandungi nilai estetik. Bagaimanapun, tidak bermakna bahasa yang berbunga itu boleh dikategorikan dalam kelompok estetik.

‘‘Sebenarnya ia perlu bertepatan dan bersesuaian dengan isi keseluruhan karya yang dipertandingkan. Perlu diingatkan jua bahawa keindahan bahasa estetik itu juga perlu mendokong idea dalam keseluruhan lirik itu,’’ jelasnya panjang lebar.

Bekas juri AJL 1999, 2001, 2003 dan 2004 ini juga menekankan bahawa lirik yang baik mesti ada kekuatan kemanusiaan dan elemen yang mampu mencungkil emosi supaya pendengar berasa seronok.

Sebaliknya, apa yang berlaku sekarang adalah kebanyakan penggubah lagu memandang enteng lirik yang diketengahkan. Menyebabkan mereka lupa tentang kelayakan sesuatu lagu untuk proses penilaian dan penapisan lagu.

‘‘Kita tidak mahu industri muzik kita terlalu streotaip atau klise setiap masa. Perlu ada anjakan dan pembaharuan agar berlaku anjakan setiap tahun. Ternyata, lagu Tolong Ingatkan Aku pilihan tepat untuk menjadi juara AJL 25 kali ini,’’ ujarnya.

Apa yang boleh dibanggakan pada persembahan AJL tahun ini adalah persembahan spektakular 13 finalis yang berentap di pentas Stadium Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur itu.

Sememangnya banyak menyuntik elemen drama untuk dihidangkan kepada kelompok peminat.
Bagaimanapun, ada juga persembahan yang kurang mendapat sambutan di kalangan penonton disebabkan ia bukan calon pilihan. Sehinggakan, semua pihak melupakan bahawa AJL merupakan medan bagi setiap komposer untuk berentap dan bukan penyanyinya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Ana Raffali belum bertaraf diva


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT,amirah.amaly@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN
Mekap EMMA MUSTAFA (012-6285937)
Lokasi TAMAN 1MALAYSIA @ MENARA KUALA LUMPUR


NAMA Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali paling kerap meniti di bibir semua peminat industri seni tanah air sepanjang minggu ini. Kehadirannya yang baru setahun jagung itu seakan baru dikesan dan berjaya membuka mata semua pihak. Itu pun selepas kejayaan puisi ciptaannya berjudul Tolong Ingatkan Aku diangkat sebagai karya terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) yang berlangsung minggu lalu.

Kemenangan tidak ''direstui'' tersebut menyebabkan penyanyi yang menggunakan nama pentas Ana Raffali ini dicemuh dan dikritik hebat. Tanda protes disampaikan menerusi lemparan botol minuman dan jeritan booo bergema di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur oleh segelintir pihak yang kurang berpuas hati.

Tidak kurang dari itu, satu pakatan menubuhkan akaun Kami Mahu Ana Raffali Buka Baju di laman sosial Facebook selepas beberapa hari kemenangannya, seolah-olah mahu merendahkan maruah wanita berusia 26 tahun pada tahun ini.

Diserang teruk dari pelbagai sudut, menyebabkan rasa tidak puas hati berkumandang sepanjang perbualan kami. Ada nada kurang senang di sebalik hati kecil wanita berkulit putih ini.

''Bohonglah kalau saya cakap saya tidak tersentuh atas apa juga kelakuan tersebut. Bagi saya ia sudah cukup keterlaluan dan tidak adil buat diri ini. Apalah dosa saya sehingga ada yang mengata macam-macam tentang saya.

''Beritahu saya, salahkah saya menang dalam anugerah berkenaan? Sedangkan ia dianjurkan terbuka kepada semua pengkarya seni dan dipertandingkan secara profesional,'' ungkap wanita ini penuh beremosi.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui bahawa dirinya bukan calon pilihan semua pihak, memandangkan terdapat beberapa penyanyi lain yang diramal sebagai juara.

Sebab itu dia dijadikan 'kambing hitam', menjadi tempat luahan rasa dendam pihak yang tidak menyenanginya gara-gara dinobatkan darjat yang sama sekali tidak layak buatnya.

''Sama ada golongan yang tidak suka saya ini mahu terus boikot atau tidak, itu adalah hak mereka. Saya tak boleh paksa mereka menyukai saya.

''Tetapi, adakah mereka memberi ruang untuk mengenali diri saya. Mengetahui warna sebenar dan cebisan hidup yang dilalui saya selama ini.

''Jadi apabila keluar cerita penilaian yang macam-macam tentang saya, terus hati tersentuh. Cemuhan tersebut tidak adil buat saya sebab saya benar-benar tidak bersalah,'' jelasnya.

Dakwaan mengatakan penyanyi yang lahir pada 4 November 1985 ini berlagak diva dan lupa daratan yang tersebar di media juga menyebabkan dia semakin berhati-hati dalam setiap langkahnya.

''Saya wanita biasa, punya hati dan perasaan. Tekanan semasa bekerja boleh menyebabkan seseorang itu bertindak kurang wajar.

''Tidak perlulah saya cerita terperinci mengenai bagaimana situasi tertentu itu berlaku, kerana saya sudah melupakannya. Pengajarannya, saya perlu lebih berhati-hati,'' ujarnya ringkas.

Ditanya lanjut tentang adakah dia mengenali dekat dengan individu sekeliling yang berniat 'jahat' untuk menjatuhkannya itu, wanita ini terdiam seketika.

Jelasnya, dia tidak mahu terlalu memikirkannya kerana sedar dirinya bukan sempurna. Tidak punya paras rupa yang meletop, sekadar wanita tipikal Melayu yang biasa.

''Saya juga tidak glamor, tidak punya peminat fanatik dan macam-macam yang boleh dibanggakan. Cuma hanya ada bakat yang dianugerahi Tuhan sebagai modal untuk berkongsi dengan semua peminat seni.

''Kalau nak tahu, sehingga ke hari ini, saya masih tidak percaya lagu saya juara AJL 25. Sebab pertama kali saya menyertainya.

''Apabila dihimpit dengan cerita-cerita negatif sebegini, terus saya tanamkan dalam hati bahawa ini hanya dugaan kecil sahaja. Lepas ini, ada banyak lagi ranjau duri yang perlu ditempuhi,'' katanya lagi.

Sementelah diajukan persoalan sama ada kontroversi melibatkan pemilikan tiga trofi berwarna emas sebagai komposisi Ana untuk mudah dikenali kepada khalayak, ungkapan penafian diulang berkali-kali.

Jujurnya, tidak sesekali dia memanipulasikan situasi tersebut sebagai platform untuk lebih mudah masyhur.

Dalam nada mendatar, peminat muzik rock, alternatif, pop dan klasik ini memberitahu bahawa dia hanya mengikuti peredaran arus semasa muzik tempatan dan tidak sesekali mengambil kesempatan atas kewujudan isu salah faham tersebut.

Tetap pertahan prinsipBiarpun peminat muzik ciptaan M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza ini bakal dilimpahi dengan lampu kemasyhuran satu masa nanti, Ana tetap mempertahankan jati dirinya yang sinonim dengan baju kurung dan kebaya.

Alasannya, perkara tersebut menjadikan dia kelihatan lain daripada kebanyakan penyanyi tempatan yang ada. Tambahan pula, imej gadis Melayu tersebut sudah menjadi darah daging dalam dirinya.

''Saya masih memilih untuk berbaju kurung, kebaya atau apa sahaja balutan labuh yang tidak seksi dikenakan pada tubuh setiap kali membuat persembahan.

''Biarlah lepas ini, orang nak cakap saya apa lagi, imej orang kampung ke, tak trendy atau apa sahaja. Tidak mungkin berubah kerana ini adalah cita rasa saya,'' katanya mengenai pemakaiannya yang digunakan setiap kali membuat persembahan.

Pemegang kelas pertama Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini juga berhasrat untuk memperbanyakkan lagu-lagu ciptaannya. Mana tahu selepas ini, ada pihak yang sudi menerima hasil seninya itu.

''Sebelum ini saya kurang yakin dengan hasil ciptaan sendiri sebab saya sedar, saya bukan sesiapa. Namun saya percaya pasti akan ada permintaan satu masa nanti.

''Ketika itu, saya lapangkan tangan, secara rela hati menyerahkan karya saya kepada mereka yang benar-benar menghargai nukilan saya itu,'' tutur wanita ini penuh berharap.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Isnin, 10 Januari 2011

Lagu Ana Rafali tidak dipertikai juri


Oleh Elrafaei Sapi

RAMAI penonton mungkin beranggapan lagu popular seperti Hanyut nyanyian Faizal Tahir atau Cinta Sempurna (Yuna) diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.

Namun, jangkaan peminat setia Faizal meleset apabila lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali diumumkan sebagai juara. Keputusan itu dianggap cukup mengejutkan kerana Ana bukan calon pilihan ramai hingga mencetuskan pertanyaan ramai. Komposer dan penyanyi M Nasir selaku ketua juri, diasak pelbagai soalan media ketika sidang media diadakan sejurus selepas majlis anugerah berakhir.

Faizal yang memberi persembahan bertenaga termasuk gimik lemas di pentas, mendapat sorakan gemuruh penonton tetapi hanya berpuas hati apabila dipilih juri profesional menang Persembahan Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.



Tentu sukar bagi Ana yang pertama kali berentap di AJL dan mencatat kejayaan besar tetapi kemenangannya dipertikaikan pula. Apatah lagi Ana bukan saja penyanyi lagu itu tetapi juga pencipta dan penulis lirik sekali gus membolot seorang hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 bersama tiga trofi.

Kejayaan gadis bernama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini juga meneruskan kehebatan artis Indie selepas kejayaan Estranged dengan Itu Kamu pada AJL22, Meet Uncle Hussein (Lagu Untukmu) yang juga mempertaruhkan lagu sendiri sebagaimana Ana, manakala tahun lalu kejayaan milik Pete Teo melalui lagu dari soundtrack filem Talentime, Pergi yang disampaikan Aizat Amdan.

Dalam berhadapan tekanan itu, Ana hanya mampu tersenyum gembira dan tenang berdepan segala soalan media mahupun tohmahan negatif yang dilemparkan kepadanya. Pada persembahan final itu, Ana membawa gimik menyanyi di dalam sangkar sambil mengekalkan trademark penampilan berbaju kurung bersama gitar. Memberi kelainan, persembahannya diiringi komposer Aidit Alfian yang menjadi mentornya selama ini turut tampil bermain gitar. Aidit yang pernah mencatat kejayaan di AJL menerusi lagu Keliru, yakin dengan bakat dimiliki Ana apabila mendengar lagunya melalui Youtube hingga memilihnya sebagai anak didiknya, dua tahun lalu.

Katanya, dia sama seperti peserta lain mengharapkan kemenangan menjadi miliknya pada malam itu. Sering mengikuti perkembangan AJL sebelum ini, dia menganggap kemenangan ini sebagai kejayaan tersendiri buat dirinya mahupun sejarah AJL25.

"Melihat apa yang diperkatakan M Nasir yang mewakili pandangan juri profesional, saya berasakan apa yang saya lakukan dalam bidang seni berada di landasan yang betul.

"Saya sendiri sebenarnya tidak kecewa apabila kemenangan ini dipertikai segelintir pihak. Pada saya, itu adalah hak masing-masing untuk menyatakan pendapat sendiri.

"Apa yang penting, lagu saya tidak dipertikai juri. Mungkin pandangan ini wujud kerana lagu saya tidak popular seperti lagu lain yang bertanding. Walaupun tidak popular, saya tetap gembira dengan kemenangan ini. "Apa yang saya mahu nyatakan, kemenangan ini membuktikan saya harus memperjuangkan hak penulis lirik dan komposer yang menghasilkan lagu sendiri," katanya.

Masih tidak percaya dengan kemenangan yang dimiliki, Ana menyatakan barisan juri, M Nasir, Habsah Hassan, Hasridz Murshim Hashim (Acis), Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer), Suhaimi Abdul Rahman (Amy Search), Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai) dan Andy Flop Poppy lebih faham kekuatan lagu yang diangkat sebagai juara. Katanya, dia menghasilkan lagu ini yang membawa kisah dekat dengan kehidupan. Walaupun kita marah atau kecewa, perasaan itu ditolak ketepi kerana elemen kasih sayang yang kuat. "Lagu ini juga mengingatkan saya pada arwah kakak yang meninggal dunia pada 2003. Seharusnya saya berterima kasih pada ramai pihak termasuk peminat yang menyokong perjalanan karier saya selama ini. Trofi ini mengingatkan saya mengenai hasrat memilih muzik sebagai karier. "Malah, ia menjadi pendorong semangat pada saya memperjuangkan lagu tempatan. Apapun, saya bersedia menempuh segala tohmahan dan kontroversi yang akan saya tempuhi selepas ini. Saya percaya berada di kedudukan ini perlukan kekuatan," katanya.

Sementara itu, Aidit menyatakan, dia sememangnya percaya pada bakat dimiliki Ana sejak mengambilnya sebagai artis didiknya dua tahun lalu. Namun, dia sebaliknya lebih menghormati Ana dalam menghasilkan lagu sendiri.

"Sesuai dengan pepatah, hanya jauhari mengenal manikam, saya percaya dengan kredibiliti juri dalam membuat penilaian. Pada saya, hasil karyanya cukup kuat untuk mengangkatnya sebagai juara.

"Siapa saja boleh memberi komen tidak puas hati tetapi saya melihat dia penyanyi yang berpotensi. Saya juga gembira dengan kemenangannya termasuk rakan artis lain seperti Ajai dan Taja yang membuktikan karya mereka dihargai," katanya.

Kumpulan Meet Uncle Hussein (MUH) yang mempertaruhkan lagu Drama King ciptaan anggotanya, Taja, hanya mampu meraih tempat kedua manakala komposer Ajai membuktikan kehebatan pencipta lama menerusi Noktah Cinta yang disampaikan juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Hafiz dan lirik, Sheikh Qalam untuk tempat ketiga.

Hafiz atau nama sebenar, Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, dia tetap berpuas hati dengan kemenangan itu dan lebih bermakna, turut mencatat kejayaan untuk Vokal Terbaik. Untuk kategori ini, saingan terdekat Hafiz ialah juara Mentor 3, Black yang mempertaruhkan lagu Sofea Jane dan juga gandingan dengan MUH melalui Drama King. Vokal Black benar-benar mantap dan tiada masalah membawa lagu itu.

"Jika dilihat pada persiapan lagu ini selama hampir sebulan, saya menganggap kemenangan ini berbaloi pada usaha yang saya lakukan. Memang konsep persembahan saya mahu membuatkan penonton berasa cemas bila saya seolah ditembak mati dan hidup semula. "Saya juga tidak menyangka menang kerana keadaan kesihatan masih tidak pulih sepenuhnya selepas terbabit kemalangan jalan raya di Sungai Penchala baru-baru ini," katanya.

Bagi pemain gitar MUH, Taja mewakili anggota kumpulannya berkongsi kemenangan bersama Black di tempat kedua yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. Kejayaan MUH menerusi lagu Drama King ciptaan Taja bersama Tun Teja menewaskan kumpulan indie lain yang bertanding seperti A.P.I menerusi lagu Pelita, Bunkface (Extravaganza) dan Hujan (Mencari Konklusi).

"Kemenangan ini memberi semangat pada MUH untuk teruskan perjuangan dalam bidang muzik. Mungkin selepas ini kami mahu melakukan eksperimen terhadap genre lain seperti irama tradisional.

"Memang ramai yang kata, lagu ini berbentuk sindiran tetapi ia bergantung pada persepsi masing-masing. Bagi saya, ia tidak mempunyai kaitan dengan kisah MUH sebelum ini," katanya. Faizal pula positif dan terbuka dalam menerima keputusan juri. Katanya, persoalan mengenai penyanyi menang atau kalah sudah menjadi lumrah dalam pertandingan tetapi seharusnya kegembiraan dikongsi semua artis yang bertanding.

"Sebolehnya, saya berharap lagu itu menyentuh jiwa dan saya tetap gembira dengan persembahan saya sendiri walaupun tidak menjadi juara.

"Di kesempatan ini, saya juga mahu memberi penghargaan pada produksi AJL25 yang boleh dikatakan terbaik dalam penganjuran AJl selama ini," katanya.

Ana Raffali
NAMA: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
NAMA KOMERSIAL: Ana Raffali
TARIKH LAHIR: 4 November 1985
USIA: 25 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KERJAYA: Komposer, penulis lirik dan penyanyi
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
ALBUM: Ana Raffali - Ketika Aku Kecil (2010)
PENGACARAAN: Spektrum U, RTM pada 2004 dan 2005 sebanyak dua musim
DRAMA: Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran