TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 5 September 2010

Kieran jual baju Melayu

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Tarikh: 2010/09/05


PERNAH dua kali mencuba tetapi tidak bertahan, namun Ramadan ini membuka pintu rezeki baru kepada penyampai popular Hot FM, Kieran untuk kembali berniaga.

Menerusi Ungu Violet Boutique yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, Kieran merealisasikan impian yang tertunda itu bersama dua lagi rakan kongsi, Rashidah Kassim dan Rita Sanida Said. Kata Kieran, 35, niat untuk berniaga di bazar Ramadan sudah tersimpan sejak tahun lalu.


Bagaimanapun, disebabkan sibuk dia terlupa dan akhirnya niat itu berlalu begitu saja. Tanpa disangka, Tuhan membuka rezeki kepada pemilik nama lengkap, Maskiran Jakiran untuk melunaskan angannya Ramadan ini apabila mendapat tapak di kawasan tumpuan masyarakat Melayu itu setiap kali Syawal menjelma. Kieran memilih untuk menjual baju Melayu dan kurung moden pelbagai rekaan kerana dua rakan kongsinya sudah memahami selok perniagaan itu.

Ditanya pengalaman pertama berniaga, Kieran berkata, dia sudah bersedia menanggung apa saja risiko termasuk berdepan kerugian.

Baginya, semua itu tidak sesekali akan menghentikan kesungguhannya untuk melakar usaha dalam bidang perniagaan.

“Selama ini saya sering mendengar banyak cerita menarik mengenai perniagaan ketika Ramadan. Pendapatan pun lumayan, jadi mengapa tidak saya merebut peluang itu. Setakat ini, sambutan yang diberikan cukup baik. Cuma saya perlu berusaha membuat promosi lebih sedikit disebabkan kedudukan kedai ini agak tersorok.
“Alhamdulillah, berdasarkan promosi di Facebook serta mulut ke mulut, perlahan-lahan pelanggan mula datang. Saya berharap sambutan lebih baik menjelang 1 Syawal nanti,” kata Kieran yang akan ke tapak perniagaannya setiap hari selepas berbuka puasa.

Pertemuan pada petang itu turut ditemani Zimi dari Sofaz dan 6ixth Sense yang kebetulan mengambil peluang meninjau kemeriahan suasana di Jalan TAR menjelang hari raya.

Sesekali mencuba rekaan yang ada, Sofaz dan 6ixth Sense nyata berpuas hati kerana harga yang ditawarkan bersesuaian dengan kualiti serta memenuhi selera mereka.

Kieran berkata, dia menyerahkan kepada dua rakan kongsinya itu dalam memilih rekaan bersesuaian. Toko itu diawasi dua pembantu kerana Kieran bertugas di konti sehingga jam 8 malam.

“Saya cuma menyerahkan modal dan membantu dari sudut promosi. Disebabkan itu, saya tidak pernah jemu berulang alik dari Klang ke tapak perniagaan setiap malam. Kami akan berada di sini sehingga malam 1 Syawal dan jujurnya, saya sendiri sudah tidak sabar menanti detik itu. Ramai bercerita suasana di sini pada malam hari raya cukup meriah.

“Kebetulan saya beraya di Klang, manakala keluarga isteri pula di Puchong, jadi ia tidak menimbulkan masalah untuk saya berada di sini hingga menjelang 1 Syawal,” kata Kieran teruja.

Ayah kepada seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Adam itu bertuah kerana popularitinya sebagai penyampai radio menarik pelanggan untuk singgah ke tapak perniagaannya. Akuinya, ada antara pelanggan tidak percaya dengan kehadirannya malah menganggap dia berada di situ sekadar meninjau suasana di bazar.

“Selalunya saya berada di sini sehingga jam 3 pagi. Tetapi hujung minggu, akan lebih lama bergantung kepada kehadiran pelanggan.

Alhamdulillah, setakat ini sudah ramai yang menyedari saya menjalankan perniagaan di sini. Sedikit sebanyak promosi dari mulut ke mulut membantu melicinkan perniagaan kami,” katanya.

Debaran menyambut Aidilfitri

SYAWAL kali ini juga memberikan debaran buat Kieran kerana isterinya, Yang Azliyang Mohd Yunus sedang menanti tarikh untuk melahirkan anak kedua mereka.

Kata Kieran, anak kedua mereka dijangka dilahirkan pada pertengahan September ini membuatkan mereka tidak banyak membuat persiapan menyambut Syawal.

“Saya sebenarnya dalam suspens kerana tarikh isteri bersalin semakin dekat. Pernah satu malam ketika saya sibuk di kedai, isteri menghubungi dan memberitahu teringin menikmati steamboat. Melihat keadaannya yang mengidam sesuatu, saya ingatkan tarikh melahirkan anak semakin dekat. Tetapi, hampir seminggu menunggu nampaknya belum ada tanda untuk segera bersalin.

“Jadi kami cuma bersedia menanti tarikh itu. Memang mendebarkan kerana ini pengalaman pertama isteri mengalami tanda hampir bersalin.

Adam dulu dilahirkan menerusi pembedahan, jadi kami berdua keliru setiap kali isteri mengadu sakit,” katanya yang enggan mengetahui jantina anak keduanya itu sebelum lahir.

Sambungnya lagi, dia lebih senang jika menyambut kelahiran cahaya mata terbaru itu dalam masa terdekat ini sebagai hadiah sempena 1 Syawal.
Bagaimanapun, kata Kieran, Yang pula mahu menikmati terlebih dulu segala juadah istimewa yang akan disediakan pada hari raya nanti sebelum berpantang.

“Saya cuma mampu berdoa semuanya akan berjalan lancar. Suspens juga keluar kerja, mana tahu tiba-tiba isteri mengalami tanda untuk melahirkan anak. Setiap kali menerima panggilan isteri, saya akan berdebar. Memikirkan keadaan Yang, kami tidak banyak membuat persiapan untuk 1 Syawal.

“Kebetulan masing-masing sibuk. Yang walaupun sarat tetap menerima tawaran membuat hamper. Saya akan membantu uruskan tempahannya sebelum singgah di kedai hingga awal pagi,” katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Variasi_KieranjualbajuMelayu/Article/index

Anak bulan cuma kiasan

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Oleh Hazirah Che Sab

Tarikh: 2010/09/05

Kaedah lihat kedudukan, cahaya sebahagian hilal syarat asas tentukan Syawal

SETIAP kali hadirnya dua bulan penting dalam kalendar Islam iaitu Ramadan dan Syawal, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menjadi individu paling popular untuk mendengar pengumuman permulaan puasa dan hari raya. Lazimnya, kita hanya menunggu di depan televisyen bagi mengetahuinya tanpa mengambil tahu pendekatan menetapkan tarikh itu.



Persoalanya, bagaimanakah tarikh itu diputuskan? Apakah alasan di sebalik perbezaan kaedah yang digunapakai negara Islam bagi menentukan tarikh penting ini? Pertemuan dengan Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka, Dr Kassim Bahali, baru-baru ini merungkaikan banyak persoalan berkaitan. Di Malaysia, kaedah yang digunakan adalah Rukyah dan Hisab atau dalam bahasa Melayunya mencerap dan mengira.

Rukyah, menurut Dr Kassim, sebagai mematuhi Sunnah Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kami kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Syaaban tiga puluh hari.” Menurut Dr Kassim, hadis itu jelas menunjukkan Rasulullah menyuruh kita melihat hilal dan itulah yang dilakukan sebagai mengikut Sunnah.

“Ada juga yang mengatakan mengapa perlu mencerap jika kita sudah boleh mengira? Jika sekadar mengira kita terlepas menikmati kejadian siang dan malam serta tanda kebesaran Allah SWT yang lain. Kaedah Hisab dibuat apabila hilal tidak nampak kerana masalah cuaca dan sebagainya.

“Dalam kaedah Rukyah, kita cuma perlu tengok hilal pada petang 29 Ramadan. Jika nampak, esoknya kita menyambut hari raya tetapi jika tidak, puasa pada tahun itu digenapkan 30 hari. Kaedah Rukyah dan Hisab ini diguna pakai pada 1995 untuk semua 12 bulan Islam.


“Dalam penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, penentuan secara kiraan dilakukan berdasarkan kepada kriteria Imkanur-rukyah,” katanya.


Dr Kassim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah Dan Takwim Islam ke-3 pada 29 Zulkaedah 1412 Hijrah bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan menerima pakai kriteria Imkanur-rukyah iaitu hilal dianggap kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak berlaku.

“Kriteria Imkanur-rukyah atau dalam bahasa Melayunya boleh diterjemahkan dengan lebih tepat sebagai kemungkinan kebolehnampakan diterima pakai bagi keseluruhan bulan Islam termasuk Zulhijjah untuk menetapkan Hari Raya Korban, bermula pada 1993.

“Saya lebih suka menggunakan perkataan hilal kerana orang ramai keliru dengan perkataan anak bulan. Mereka menganggap bulan mempunyai anak sedangkan ia tidak begitu. Hilal ialah fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran mengelilingi bumi. Ia sebahagian kecil daripada permukaan bulan yang bercahaya dan boleh dilihat dan kelihatan seperti satu lengkuk cahaya seolah-olah sabit,” katanya.

Menurut Dr Kassim, satu ketika dulu cuma kaedah Rukyah yang digunakan untuk melihat hilal pada petang 29 Syaaban menentukan puasa dan petang 29 Ramadan untuk tetapkan hari raya tetapi timbul masalah apabila ia tidak dapat dilihat kerana faktor cuaca seperti mendung. Ia menyebabkan puasa perlu digenapkan kepada 30 hari. Kemudian timbul cadangan untuk menggabungkan kedua-dua kaedah untuk mengambil kira kiraan yang dilakukan oleh ahli falak.

Ahli falak, katanya, boleh mengira sama ada hilal itu ada atau tidak pada petang berkenaan berdasarkan kiraan dan mereka boleh menjangkakan kebolehnampakan hilal.

Dr Kassim berkata, bulan Hijrah ditetapkan berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang mengambil masa 29 hari 12 jam 44 minit dan 2.9 saat untuk melengkapkan pusingan.

Peraturan Allah SWT menetapkan bumi mengelilingi matahari dan pada masa sama bulan mengelilingi bumi. Pada satu saat, bulan akan berada di tengah-tengah antara bumi dan matahari. Jadi, kedudukan itulah yang dinamakan ijtimak iaitu apabila bumi, bulan dan matahari berada sebaris.

“Kita hendak tahu pukul berapa ijtimak itu berlaku. Waktu ijtimak hanya boleh diketahui melalui pengiraan. Bagaimana untuk mengira? Kita kira daripada masa mula ijtimak tambah lagi 29 hari 12 jam 44 minit dan 2.9 saat, kita sudah boleh tahu bila waktu ijtimak akan datang. Misalnya, waktu ijtimak ketika mahu tentukan Ramadan lalu ialah pada 11.08 minit pagi dan untuk waktu ijtimak seterusnya tambah dengan pusingan lengkap bulan mengelilingi bumi untuk tentukan Aidilfitri pula,” katanya sambil menambah umur bulan dikira daripada waktu ijtimak sehingga ia tenggelam.

Mengenai perbezaan tarikh Ramadan dan Syawal di kalangan negara Islam, Dr Kassim berkata, ia disebabkan perbezaan kaedah bagi melihat hilal. Malah jika ada negara yang menggunakan kriteria Imkanur-rukyah, syarat yang digunakan pula berbeza dengan apa yang diterima pakai di Malaysia.

Beliau berkata, kaedah melihat hilal ditentukan oleh Majlis Fatwa negara
masing-masing. Syarat lapan jam umur hilal atau ketinggian dua darjah dan jarak lengkung tiga darjah yang diguna pakai di Malaysia ditentukan oleh Majlis Fatwa dan Jawatankuasa Teknikal Awal Bulan.

“Sebenarnya pada 1982, negara Islam mengadakan satu muktamar di Istanbul yang membincangkan cara menentukan awal bulan dan sudah ditetapkan kriteria untuk dilaksanakan di negara masing-masing.

“Jadi, kita merujuk kepada Perisytiharan Istanbul 1982 untuk buat kriteria Imkanur-rukyah dengan membuat sedikit ubah suai. Namun cuma Malaysia saja yang menerima pakai tetapi negara Islam lain tidak berbuat begitu. Itu yang menjadi masalah. Bagaimanapun, ada logiknya jika awal atau lewat sehari kerana bumi ini bulat tetapi jika sampai dua, tiga hari, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Dr Kassim berkata, ada jawatankuasa yang bertanggungjawab melakukan cerapan dan melaporkan kepada Yang Dipertuan Agong melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kerana Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa membuat perisytiharan puasa, Aidilfitri dan Aidiladha.

Dr Kassim juga menggalakkan umat Islam mendalami ilmu astronomi yang pernah dikuasai sarjana Islam terkemuka lebih 700 tahun dulu.

“Ilmu astronomi ini amat penting kepada umat Islam kerana melaluinya kita menentukan tarikh dan masa untuk bersolat setiap waktu, berpuasa serta menentukan arah kiblat.

“Penubuhan kompleks ini juga antara lain bertujuan mengembalikan semula ilmu ini kepada masyarakat,” katanya.

Info: Kaedah penentuan Ramadan/ Syawal di negara lain:
•India dan Pakistan - pengakuan nampak hilal dengan lafaz syahadah dan melaporkan kepada hakim atau kadi daerah. Hakim boleh menolak atau menerima kesaksian itu.

•Arab Saudi - Ummul Qura iaitu kaedah bulan terbenam selepas matahari terbenam.

•Negara Teluk beraja seperti Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain, Yaman dan Jordan ikut ketetapan Arab Saudi.

•Mesir - Selepas ijtimak bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.

•Iran, Algeria dan Tunisia - umur hilal pada altitud susulan matahari terbenam sebelum bulan.

•Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia - umur hilal sekurang-kurangnya lapan jam atau altitud dua darjah ketinggian dan tiga darjah jarak lengkuk.

•Eropah dan Carribean - ikut negara asal majoriti penduduk Islamnya.

•Amerika Syarikat dan Kanada - rukyah sebenar dan disahkan dengan hitungan astronomi. Sebagai contoh, seseorang mendakwa melihat hilal dan dakwaan itu akan ditentukan menerusi hitungan astronomi.

Anggota Jawatankuasa Rukyah Negeri:
•1. Mufti sebagai ketua.
•2. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
•3. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.
•4. Pengarah Ukur Negeri.
•5. Pegawai Agama Daerah sekurang-kurangnya tiga atau empat terpulang kepada saiz negeri.
•6. Ahli falak.

* Bagi negeri yang beraja, ia tertakluk kepada Raja atau Sultan selaku pengerusi Majlis Agama Islam Negeri.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010090509223220100905092232/Article/index

Sabtu, 4 September 2010

Indahnya merdeka bertemu Ramadan

Sumber: Mingguan Malaysia Online.

Tarikh: 05 September 2010.

Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE


ALANGKAH bahagianya jika hari merdeka bertemu Ramadan atau bulan puasa buat selama-lamanya. Melihat kepada sambutan merdeka ke 53 baru-baru ini, sejuk hati, cukup beradab sopan, beridentiti, sederhana dan sesuai dengan norma-norma budaya kita 1Malaysia. Inilah sambutan yang kita idam-idamkan, sambutan mengikut acuan kita tanpa berlebih-lebihan dan tidak terlalu dipengaruhi dengan budaya hedonisme. Jika sambutan itu berakhir sekitar pukul 12 tengah malam, dengan teriakan merdeka, merdeka dan merdeka, tanpa diteruskan dengan program hiburan alangkah indahnya merdeka kita yang disambut saban tahun.

Ini kerana mengikut budaya kita, pukul 12 tengah malam, adalah sudah terlalu lewat. Remaja-remaja kita tidak sepatutnya bebas atau masih berada di luar rumah. Pukul 12 tengah malam ke atas, adalah persiapan untuk tidur bagi mencari kekuatan di awal paginya setelah mengerjakan sembahyang subuh.

Saya cukup bimbang andainya hari merdeka tahun depan bertembung dengan bulan syawal, keadaan sambutan mungkin berlainan. Sebab dalam pemikiran segelintir masyarakat kita, bulan Ramadan bulan ibadat, bulan Syawal dan seterusnya bulan berjahat. Cara berfikir sebegini perlu berubah. Allah SWT menjadikan setiap hari, minggu dan bulan, adalah kita melaluinya dengan penuh kebaikan dan kesyukuran, tanpa diselang-seli dengan perkara yang merosakkan. Logiknya mudah, Islam diturunkan oleh Allah adalah satu cara hidup. Maknanya, setiap hari kita mesti menjadi manusia baik yakni tunduk dan sujud kepada Pencipta, bukannya ada hari-hari tertentu kita perlu jadi baik, dan hari-hari seterusnya tidak.

Apapun sambutan yang dilakukan, cubalah mengambil kira waktu maghrib. Kerana mengikut perkiraan kalendar Cina dan Islam, waktu maghrib adalah tanda berakhirnya satu hari dan bermulanya satu hari yang baharu. Maka tidak hairanlah kita selalu mendengar kata-kata baliklah ke rumah apabila menjelang maghrib atau senja, sebab hari sudah sampai kepada penghujungnya.

Cuba kita bandingkan sebentar cara kita menyambut tahun baru hijrah. Doa akhir tahun dan doa awal tahun dibaca sebelum dan selepas azan maghrib. Selepas itu diikuti dengan solat, doa selamat atau bacaan Yassin dan solat isyak berjemaah. Selepas isyak, beberapa program yang Islamik atau berbudaya diadakan dan tamat sebelum pukul 12 tengah malam. Kemudian, program disambung keesokan harinya dengan perarakan dan anugerah tahun baru hijrah.

Tidakkah kita boleh mengulangi sambutan tahun baru hijrah, sama seperti kita menyambut hari merdeka dan tahun baru Masehi? Kenapa kita begitu ghairah menghitung hari tahun Masehi, apabila sampai kepada detik 12 malam dengan kira 6,5,4,3,2,1...yahoo kita sudah merdeka atau berada dalam tahun baru.

Mungkin ada yang sinis dengan cadangan saya ini dengan mengatakan sambutan selepas 12 tengah malam, atau tahun baru Masehi atau mungkin juga hari kekasih (Valentine Day), bukanlah punca kepada peningkatan gejala sosial masa kini atau gejala pembuangan bayi.

Saya tidak mengatakan sambutan- sambutan ini semata-mata yang menyebabkan peningkatan gejala sosial, selagi kajian rapi tidak dibuat. Namun, saya tidak menafikan ia turut menyumbang. Janganlah terlalu menuding jari bahawa gejala ini hanya berlaku di kalangan umat Melayu Islam, seolah-olah masyarakat lain tidak ada.

Baru-baru ini saya ketawa kecil apabila membaca pendapat seorang penulis bukan Melayu dalam laman web Malaysiakini, yang mengatakan gejala sosial seperti pembuangan bayi tidak berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana mereka dikatakan mementingkan moral dan pandai menjaga maruah keluarga.

Terus terang, bangsa lain juga tidak kurang hebatnya. Jika mereka tidak memakai alat pencegah hamil, sudah tentu bilangan mereka juga ketara. Seks bebas hari ini sudah menjadi kebiasaan kepada segolongan manusia, seolah-olah kita sudah tidak lagi diikat dengan agama.

Justeru, sudah sampai masanya setiap hari kebesaran disambut mengikut acuan agama ataupun cara hidup budaya 1Malaysia berlandaskan agama. Kita tidak boleh terikut-ikut sangat dengan cara sambutan Barat. Sedangkan kita tahu bahawa cara hidup barat yang keterlaluan telah menghancurkan sistem nilai kehidupan mereka. Kini, Barat telah bangun semula dan mementing kehidupan beragama (Kristian). Sila baca buku beberapa buku Zig Ziglar (2000) akan kepentingan hidup beragama di kalangan orang Barat.

sokongan

UMNO tidak ada pilihan hari ini. Jika UMNO mahukan sokongan orang Melayu dan mendapat keredaan Allah SWT, UMNO mesti dapat dilihat kecenderungannya mahu atau kembali kepada Islam. Saya tidak mengatakan UMNO tidak cenderung kepada Islam, kecenderungannya ada, tetapi masih ada ruang-ruang kosong yang boleh diisi bagi mengelakkan dicerobosi musuhnya. Semakin Islam UMNO, semakin ia mendapat sokongan dan sambutan. Itulah cara UMNO mahu menandingi Pas. Mursyidul Am Pas pernah berkata, mereka akan bubarkan PAS dan menyertai UMNO, jika UMNO mahu atau menukar dasar kepada Islam.

Pada hemat saya, UMNO perlu memikirkan secara serius cadangan Pas ini. Pas pun tahu bahawa perjuangan Islam mereka tidak akan diterima dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi bersama ultra kiasu kerana mereka memang anti-Islam. Kedudukan Pas ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak dalam pakatan.

Adalah tidak sukar bagi UMNO untuk menukar perjuangan daripada Melayu kepada Islam kerana Melayu itu mesti Islam mengikut perlembagaan. Mempertahankan Islam juga mempertahankan Melayu. Pi mai pi mai tang tu juga.

Pas pula janganlah terlalu ghairah, bila sebut sahaja Islam, mesti melaksanakan hudud. Real politik Malaysia perlu difahami. Hudud tidak dapat dilaksanakan jika perlembagaan tidak dipinda. Meminda perlembagaan pula memerlukan majoriti dua pertiga.

Hari ini kita perlu bergerak bersama melaksanakan undang-undang dan nilai-nilai Islam dalam lingkungan yang dibenarkan perlembagaan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita merancang untuk pergi lebih jauh daripada itu. Ini tidak, kita asyik tuduh menuduh dan ada yang sanggup kafir mengkafir.

Misalnya sambutan merdeka, dan hari kebesaran (perayaan) lain. Sebenarnya kita mampu untuk menyambut hari kebesaran ini mengikut acuan kita kerana nilai-nilai kita turut dikongsi oleh agama lain. Program-program hiburan keterlaluan yang berlanjutan hingga ke awal pagi hendaklah dihentikan.

Semua program tersebut mesti ada garis panduan agar tidak terkeluar daripada nilai-nilai moral dan tata susila, seperti sambutan merdeka baru-baru ini. Jakim dan badan-badan perundingan agama lain, boleh dijadikan rujukan untuk memantau semua program yang dijalankan.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Umrah Ramadhan jadi pilihan ramai

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tarikh: 03/09/2010

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Umrah pada bulan Ramadan semakin popular di kalangan umat Islam negara ini. Malah, ada yang memilih untuk berada di Mekah sepanjang sebulan Ramadan dan hanya kembali ke tanah air selepas 1 Syawal.

Antara sebabnya adalah ganjaran pahala yang besar sebagai mana dijanjikan kepada mereka yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya mengerjakan umrah di bulan Ramadan sama seperti mengerjakan satu haji atau mengerjakan haji bersamaku. (riwayat Bukhari)

Umrah menjadi pilihan kerana peluang untuk mengerjakan haji kini agak lewat berikutan sistem kuota yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagi mereka yang berkemampuan, adalah menjadi impian untuk menikmati Ramadan di Mekah walaupun cuacanya lebih panas berbanding negara kita.

Untuk mereka yang berada di Tanah Suci, jangan difikirkan panas cuaca di Mekah tetapi ingatlah betapa besar dan banyaknya ganjaran kepada mereka yang beribadat di Masjidil Haram.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Ramadan ibarat pesta

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Tarikh: 03/09/2010.


Bagaikan pesta. Itulah gambaran menyambut Ramadan di Tanah Haram. Baik di Mekah atau Madinah setiap inci ruang di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sentiasa dipenuhi oleh umat Islam dari serata pelosok dunia.

Semuanya berkumpul untuk beribadat kepada Allah Yang Maha Esa dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Pendek kata, jika lewat ke masjid, jangan harap dapat masuk ke ruang solat. Sebaliknya, solatlah di dataran putih atau kawasan luar kedua-dua masjid berkenaan.


Demikian indah dan meriahnya Ramadan di negeri kelahiran Nabi Muhammad SAW dan juga di tempat baginda berhijrah dan dimakamkan di Madinah.

Kesesakan di Masjidil Haram semasa Ramadan bukanlah perkara yang luar biasa. Antara sebabnya, kebanyakan sekolah negara Islam di Asia Barat bercuti selama tiga bulan mulai Ramadan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh mereka menziarahi saudara mara di Mekah sekali gus beribadat di Masjidil Haram, tempat paling suci bagi umat Islam.

Sebab itu, ada antara jemaah rombongan berkata, bilangan yang ada di Mekah pada Ramadan menyamai jumlah yang menunaikan haji.

Malah, pada 10 hari terakhir Ramadan, jumlahnya dikatakan mengatasi jemaah haji dari seluruh dunia.

Demikianlah antara keberkatan hasil doa Nabi Ibrahim selepas selesai mendirikan Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail agar Mekah yang menempatkan Baitullah itu sentiasa dikunjungi oleh umat Islam saban masa dan ketika.

Akhirnya Nabi Ibrahim berdoa pula: "Oh Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan anak keturunanku di lembah yang tak mempunyai tumbuh-tumbuhan (Mekah), di sekitar Rumah Engkau (kaabah) yang suci. Oh Tuhan, agar mereka mendirikan sembahyang. Jadikanlah tempat ini menjadi tempat orang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka. Berilah rezeki kepada mereka berupa buah-buahan (makanan dan minuman), mudah mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur. Oh Tuhan kami, bangkitkanlah di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka, yang akan membacakan kepada mereka akan ayat-ayat-Mu, dan yang akan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau Maha Gagah, Maha Bijaksana."

Apa tidaknya, sudahlah Allah janjikan pahala sunat bulan Ramadan ini diberi ganjaran pahala wajib dan perkara wajib digandakan 70 kali, solat di Masjidil Haram pula adalah 100,000 kali lebih baik berbanding solat di masjid lain.

Semua ini memberi semangat dan pemangkin kepada umat Islam seluruh dunia mengunjungi Baitullah dan beribadat di sana pada bulan Ramadan.

Kebanyakan jemaah datang pada waktu subuh dan terus beriktikaf sehingga berbuka puasa. Ada yang terus beriktikaf sehingga selesai solat sunat tarawih barulah kembali ke hotel atau ke rumah masing-masing.

Sepanjang beriktikaf, mereka membaca al-Quran. Penat mengaji, mereka tidur sekejap atau solat sunat. Demikianlah 'aturcara' sepanjang berada di Masjidil Haram. Tidak hairanlah, sepanjang di sini, kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Jumaat, 3 September 2010

Medan Selera Dataran Lenggong

By Idris Ismail Talu

Medan Selera Dataran Lenggong - suatu medan selera yang agak baru siap di pekan kecil Lenggong. Dengan simbol sudu, garfu dan piring purba, ikon bandar prasejarah ini.

Dengan ikon sudu, garfu dan piring purba.
Untuk pekan kecil prasejarah ini.

Bangunan yang baru saja disiapkan.

Medan selera yang agak besar untuk pekan kecil seperti Lenggong.

Kerja-kerja penyudahan masih berjalan.





http://idristalu.blogspot.com/

Pasar Ramadhan Lenggong

By Idris Ismail Talu.

Pasar Ramadhan Lenggong dibuat di sisi Medan Selera Lenggong. Terletak berhampiran jalan raya Kuala Kangsar ke Gerik.


Hari masih awal, sekitar jam tiga petang.

Penjual sedang menurunkan barangan untuk jualan petang nanti.

Kawasan letak keretanya cukup luas.

Lokasinya cukup strategik dan bersih.





http://idristalu.blogspot.com/

Pelajar Luar sayu sambut Ramadan

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh ZUHAYATI YAZID
Tarikh: 31 August 2010.

KEDATANGAN Ramadan dan Syawal adakalanya mengundang sayu, khususnya kepada perantau yang bukan sahaja berjauhan dari tanah air malah ibu bapa dan keluarga tercinta.

Perasaan sama turut dikongsi oleh sekumpulan pelajar asing beragama Islam yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Hampir 5,000 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara menjalani ibadah puasa di kampus UIAM pada Ramadan tahun ini.



Bagi, Aishe Nur Ozturki, 20, yang berasal dari Turki, pengalaman berpuasa jauh dari keluarga adalah sesuatu yang memeritkan.

Akui Aishe Nur, jika di kampung halamannya semua kelengkapan berbuka puasa disediakan oleh ibu, namun persekitaran itu amat berbeza ketika di sini kerana hanya ditemani rakan-rakan sekuliah sahaja.

Biasanya dia hanya membeli juadah untuk berbuka puasa kerana kesuntukan masa menghadiri kuliah.

Namun jika sesekali rindukan masakan ibu dia akan masak sendiri terutama bagi makanan-makanan tradisi negaranya.

‘‘Masakan yang paling saya suka ialah masakan Arab seperti kebab, salad dan juga hummus (kuah dal),’’ terangnya sambil tersenyum.

Menurut Aishe lagi, suasana menyambut Ramadan di Malaysia tidak banyak beza berbanding di Turki.

Foto ihsan Utusan Malaysia Online.

Dia yang kali kedua menjalani ibadah puasa di sini berkata, sambutan Ramadan di Malaysia sama meriahnya dan masjid menjadi tempat yang paling menjadi tumpuan.

Pelajar program Sains Politik itu menjelaskan, biasanya para pelajar Turki dan beberapa pelajar antarabangsa yang lain akan berkumpul bersama-sama dan ke masjid untuk bertarawih.

Mengenai perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini, Aishe memberitahu, dia akan berkumpul bersama rakan-rakan ‘sekampung’ untuk memasak masakan tradisional.

‘‘Tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri tahun ini kerana saya bercadang untuk masak masakan kegemaran saya seperti seperti poghacha (campuran roti, keju, kentang dan sayur), scarma (nasi yang digulung seperti popia di atas daun anggur) serta baklara (pie kentang),’’ ujarnya.

Bagi Ahmad Sabree Abdul Mateen, 23, pula, menyambut Ramadan tanpa keluarga bukan asing kerana sering berjauhan dengan keluarga sejak di bangku sekolah lagi.

Kata Sabree, dia akan berbuka bersama rakan-rakan lain dan juadah pilihan adalah shawarma (roti Arab) yang menjadi menu wajib setiap petang.

‘‘Selepas berbuka dan solat Maghrib, kami akan berjalan beramai-ramai ke masjid universiti untuk bertarawih.

‘‘Walaupun terasa sedih tetapi ini merupakan pengalaman yang akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup,” kata pelajar dari Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu.

Jelasnya, ini adalah Ramadan kali keempat yang dilalui selepas menuntut di universiti itu dalam bidang Usul Fiqh.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Sabree menjelaskan dia sudah membeli sepasang baju Melayu untuk dipakai pada Syawal nanti.

Katanya lagi, berpuasa di Malaysia adalah sesuatu kenangan yang sukar dilupakan memandangkan pelbagai juadah dijual sepanjang bulan Ramadan.

‘‘Keadaan ini berbeza di negaranya kerana semua umat Islam akan berbuka puasa di masjid dengan membawa masakan yang di masak sendiri dari rumah,’’ terang anak kepada pasangan Abdul Mateen dan Ameerah ini.

Malah sambutan Hari Raya juga tidak semeriah di sini.

‘‘Biasanya selepas sembahyang sunat Aidilfitri kami menyambung kembali kerja dan seolah-olah ia bukan hari kebanggaan seperti yang berlaku di sini,’’ ujarnya serius.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm :

Resort Tasek Raban Lenggong

By Idris Talu.
Pejabat pentadbiran Resort Tasek Raban, restoran, surau dan dewan makan terletak di dalam bangunan di atas, yang dibina di pinggir Tasek Raban. Di belakang bangunan ini, anda boleh melihat Tasek Raban dan panorama Banjaran Bintang di belakangnya serta R & R Tasek Raban yang lama.

Papan tanda yang menerangkan kedudukan bangunan-bangunan penting di Resort Tasek Raban.

Sebahagian dari bangunan induk Resort Tasek Raban.

1. Resort Tasek Raban dilihat dari satelite.

Sebahagian dari chalet yang disediakan untuk pengunjung-pengunjung. Beberapa chalet baru sedang dalam pembinaan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

Tepian Tasek Raban di tepi resort ini.

Keadaan persekitaran resort yang agak menarik. Penulis membayangkan jika pohon-pohon kelapa ditanam secara yang lebih menarik seperti yang terdapat di Taman Herba Perak di Batu Gajah.http://idristalu.blogspot.com/2010/07/taman-herba-perak.html

Pohon-pohon hiasan ditanam di sekitar resort. Cukup menarik. Akan lebih menarik jika pihak pengurusan resort ini (Majlis Daerah Lenggong) melihat bagaimana Resort Jeram Gading di Jelebu menanam pohon-pohon buah-buahan di resort mereka.
Alangkah menariknya jika tanaman nadir seperti buah pauh, asam kumbang, kundang, rambai, jejentik, tampoi, jias (perian), perah, keranji, bangkong, kundang dan sebagainya ditanam di resort ini terutama di tepi tasek yang indah itu.http://idristalu.blogspot.com/2009/07/jelebu-jeram-gading.html


Pesiaran indah untuk tetamu resort berjogging.

Antara chalet yang disediakan di sini.

Tasek Raban yang indah dilihat dari resort ini.

Pondok rehat atau disebut juga sebagai wakaf.

Suasana indah dan bersih di Resort Tasek Raban.

Tangga untuk turun ke jeti, bagi yang ingin memancing di tasek yang luas itu.

Jeti indah di Tasek Raban.

Suasana nyaman di Resort Tasek Raban.

Masjid Lama Lenggong

By Idris Ismail Talu

Masjid ini merupakan masjid pertama untuk umat Islam di bandar kecil Lenggong menunaikan ibadah sembahyang mereka sebelum Masjid Jame' yang kini terletak di Jalan Mahkamah Lenggong dibina.

Masjid lama ini masih tetap dirawat.

Bangunan masjid lama ini masih utuh dan kukuh.

Lokasinya kini terhimpit dengan Medan Selera Lenggong.

http://idristalu.blogspot.com/

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran